Saturday, December 12, 2020

FINAS rangka mekanisme bantu waris Seniman P Ramlee...


Antara babak filem lakonan P Ramlee.

HALAMAN HIBURAN

Bantu waris jana pendapatan 

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sedang merangka mekanisme membantu waris Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan tokoh perfileman Melayu lain meraih pendapatan daripada tayangan semula filem dihasilkan bintang legenda sama ada di kaca televisyen (TV) atau pawagam.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, berkata, kertas kerja sedang dirangka untuk membawa cadangan membantu waris tokoh perfileman termasuk P Ramlee mendapat manfaat kewangan daripada tayangan karya lama.

"Kita semua tahu semua pemilikan hak cipta filem Melayu lama termasuk karya arahan Allahyarham P Ramlee dipegang Shaw Brothers Hong Kong.

"Semua pemilikan ini bagaimanapun sudah melepasi tempoh tamat iaitu 50 tahun daripada tarikh karya diterbitkan, Jun lalu.

Zakaria menjelaskan FINAS komited untuk membantu penggiat seni yang banyak berjasa kepada industri hiburan tempatan. - NSTP/Rohanis Shukri

"Justeru, FINAS sedang mencari formula bagaimana hendak mengutip sumbangan hasil daripada tayangan semula filem hitam putih ini untuk membantu waris bintang legenda terbabit," katanya kepada BH Online.

Zakaria berkata, timbalannya, Datuk Norman Abdul Halim sedang menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bagi mendapatkan kelulusan.

Zakaria berkata, inisiatif terbaru itu sejajar dengan program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 yang memberi bantuan kepada penggiat seni termasuk seniman dan seniwati yang pernah menabur jasa dalam dunia hiburan.

Terbaru, program amal digerakkan Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS itu menyaksikan Zakaria menziarah anak P Ramlee, Sazali di Semenyih.

"Melalui program kebajikan ini, kita cuba membantu meringankan beban penggiat seni. Pada masa akan datang, kita mahu memperluaskannya dengan menziarah waris pelakon lama.

"Kita ada data mengenai waris setiap tokoh filem Melayu lama. Ada dalam kalangan mereka memerlukan bantuan.

"Jika inisiatif ini berhasil, program ini akan menjadi sesuatu kejayaan yang besar buat FINAS," katanya.

Sazali mendakwa jumlah royalti diterima bagi lagu arwah bapanya, tahun ini, merosot 90 peratus. - NSTP/Hazreen Mohamad

Zakaria bagaimanapun berkata, sumbangan kewangan kepada waris tokoh perfileman di mana karyanya ditayangkan semula, tidak dianggap royalti.

"Wang itu lebih kepada sumbangan dan kumpulan yang disasarkan adalah stesen penyiaran swasta serta pawagam.

"Ini sesuai dengan bidang kuasa FINAS yang lebih menjurus kepada kedua-dua pihak itu," katanya.

Zakaria menambah, perbincangan lanjut bersama stesen penyiaran dan pawagam berhubung projek istimewa itu akan dilakukan selepas cadangan itu mendapat kelulusan menteri.

"Kita yakin pihak terbabit tidak ada masalah untuk memberi sumbangan.

"Jika mereka boleh membayar RM100,000 setahun kepada Shaw Brothers ketika syarikat itu masih memegang hak cipta, takkanlah mereka tidak boleh sumbangkan RM10,000 atau RM20,000.

"Semua wang ini adalah untuk tabung yang objektifnya mahu membantu waris seniman yang banyak berjasa pada industri perfileman negara," katanya.

Zakaria berkata, filem Allahyarham P Ramlee tidak pernah lapuk dek zaman.

"Walaupun berulang kali ditayangkan, filem Seniman Agung tetap mendapat sambutan penonton.

"Mesej dalam karya P Ramlee sangat relevan dengan masyarakat hari ini," katanya.

Baru-baru ini, waris kepada P Ramlee, Sazali meluahkan rasa kecewa apabila jumlah royalti yang diterima, sebagai antara sumber pendapatan sampingan keluarga, merosot 90 peratus.

Mengakui terkejut dengan jumlah yang diterima, Sazali tidak menolak kemelut yang melanda badan kutipan royalti memberi tempias kepada pengurangan jumlah kutipan ketika ini. (BH)

HIBUR HIBUR SIKIT: 

3 comments:

Kumpulan Pejuang Kemerdekaan Bangsa Orang Asal Melayu Islam Malaysia (Malaysian Indigenous Malay Muslim Peoples' Liberation Group) said...

MENGELIRUKAN! Apa MAKSUD Finas ni, hanya SUMBANGAN dr. Stesyen Penyiaran Swasta & BUKAN Royalti - apalagi karya2 FILEM, MUZIK & LAGU amat BERNILAI patutnya menghasilkan ROYALTI2 yg. dah BERJUTA utk. Waris2 Allahyarham SENIMAN2 NEGARA AGUNG P. Ramlee, cthnya!

Kerana PEMILIKAN HAK CIPTA sampai SELAMAnya - maka PINDAHkan segera pemilikan hak cipta ini dr. Shaw Brothers, yg. dah TAMAT tu - kepada WARIS2 Allahyarham TS P. Ramlee, yg. sepatutnya kpd. bukan hanya Sazali tetapi ahli keluarga lain juga, seperti keluarga Allahyarham Nasir P. Ramlee yg. juga hidup amat DAIF selama ni!

Lagipun selama ni, Allahyarham TS P Ramlee telah jelas diTIPU oleh si PENCEKIK DARAH, Shaw Brothers dr. HONG KONG ni - berkaitan PEMILIKAN HAK CIPTA ni!! Zaman dulu, manalah Artis2 faham psl. PEMILIKAN HAK CIPTA & ROYALTI - maka patutnya dah lama KEM. MULTIMEDIA & FINAS mengkaji KONTRAK asal Pemilikan Hakcipta Shaw Brothers tu dgn. para SENIMAN/SENIWATI/KARYAWAN Islam/Melayu kita dulu, dlm. apa2 karya FILEM, LAGU & MUZIK!!

Kumpulan Pejuang Kemerdekaan Bangsa Orang Asal Melayu Islam Malaysia (Malaysian Indigenous Malay Muslim Peoples' Liberation Group) said...

Lihat berita menyayat hati psl. Allahyarham Nasir P. Ramlee ni, di - http://roslay-raffie.blogspot.com/2010/08/permintaan-terakhir-nasir-pramlee.html?m=1

Kumpulan Pejuang Kemerdekaan Bangsa Orang Asal Melayu Islam Malaysia (Malaysian Indigenous Malay Muslim Peoples' Liberation Group) said...

Patutnya juga CANTIKkan segera2 KUBUR2 Artis2 TERKEMUKA kita dulu, serta seluruh PERKUBURAN ISLAM AMPANG, terutamanya KUBUR2 Allahyarham TS P. Ramlee, Allahyarhamah TS Saloma & Allahyarham AR Tompel terCINTA kita - kerana KUBUR2 ini sering diKUNJUNGI oleh para PEMINAT tempatan & asing!

Juga, patutnya di zaman ini, setiap tanah PERKUBURAN Islam kita diHIASI indah dgn. pelbagai POKOK2 & BANGKU spt. TAMAN - supaya lebih selesa, indah dan kerap dilawati!!

Lihat di - https://mforum1.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=715956&extra=&ordertype=1&mobile=2

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails