Saturday, December 12, 2020

Mereka ketakutan dan tiba-tiba menghilangkan diri. -Noore Kasi

 

Kira-kira 40 Orang Asli dari Kampung Orang Asli Simpang Arang, melarikan diri ke hutan selepas mendengar khabar angin mengenai guru agama di kampung itu dijangkiti COVID-19. - Foto NSTP/Farid Noh

40 Orang Asli lari ke hutan, akibat diserang khabar angin COVID-19.

ISKANDAR PUTERI: Akibat khabar angin kononnya guru agama di Kampung Orang Asli Simpang Arang, Gelang Patah di sini dijangkiti COVID-19, kira-kira 40 penduduk melarikan diri ke hutan sejak Isnin lalu.

Mereka daripada 15 keluarga yang ada membawa bersama bayi itu, bimbang dijangkiti wabak COVID-19.

Tok Batin Kampung Orang Asli Simpang Arang, Noore Kasi, berkata khabar angin itu menyebabkan mereka ketakutan dan tiba-tiba menghilangkan diri.

"Saya mendapat maklumat mereka lari bersembunyi di kawasan hutan kira-kira lapan kilometer dari Kampung Simpang Arang di kawasan muara sungai.

"Saya ada memujuk mereka pulang semula ke kampung kerana ujian saringan guru agama disahkan negatif, tetapi mereka tetap tidak mahu pulang.

"Saya memaklumkan perkara ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Kota Iskandar, Pandak Ahmad bagi memohon bantuan kerana risau keselamatan mereka termasuk daripada haiwan buas kerana hanya tinggal di bawah khemah sahaja," katanya.

Terdahulu, tinjauan di hutan berkenaan mendapati kawasan muara sungai sudah dibersihkan dengan penduduk dilihat membawa kelengkapan termasuk dapur dan tong gas untuk memasak.

Bagaimanapun, setiap keluarga hanya berlindung di khemah kanvas atau pun atap zink semata-mata yang tidak menjamin keselamatan mereka.

Mengulas lanjut, Noore berkata, terdapat kira-kira 1,000 masyarakat Orang Asli di Kampung Simpang Arang dengan majoriti penduduk tidak ikut berpindah selepas mendengar penjelasannya mengenai perkara sebenar.

Sementara itu, Pandak yang juga Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berkata, beliau akan memaklumkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mengenai isu berkenaan, esok.

"Hari ini, saya datang meninjau kawasan hutan yang dijadikan tempat tinggal sementara kira-kira 15 keluarga Orang Asli suku Seletar dari Kampung Simpang Arang.

"Keadaan tempat tinggal mereka tidak sempurna kerana kebanyakan keluarga hanya menggunakan khemah kanvas sahaja dan mendedahkan mereka kepada ancaman haiwan buas dan cuaca buruk apatah lagi terdapat bayi dibawa bersama.

"Saya akan dapatkan surat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebagai pengesahan bahawa guru agama berkenaan bukan sahaja negatif COVID-19, malah khabar angin yang mereka dengar juga tidak tepat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan terus berusaha memujuk mereka pulang semula ke kediaman di Kampung Simpang Arang yang lebih sempurna yang dibina kerajaan," katanya.

Penangan khabar angin COVID-19, 40 Orang Asli lari ke hutan

ISKANDAR PUTERI

Sila lihat.. 

E-Buku IH-32: Bersama Orang Asli..

E-Buku IH-32: Bersama Orang Asli..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails