Friday, May 29, 2020

Dr M dan 4 lagi keluar Atau Dikeluarkan PPBM. Kisah Azmin &A Kadir Jasin.

Malaysiakini
Dr M dan 4 lagi keluar PPBM sendiri, bukan dipecat, kata Wan Saiful

FMT Reporters
PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Wan Saiful Wan Jan berkata Dr Mahathir Mohamad dan 4 ahli Parlimen lain bukannya dipecat parti itu, sebaliknya mereka bertindak keluar parti sendiri.

Katanya, tiada parti di dunia ini yang akan membenarkan ahli Parlimen mereka duduk di kerusi berbeza daripada kedudukan parti.

“Apabila mana-mana ahli Parlimen PPBM memilih menyertai kelompok bukan bersama parti sendiri dalam Parlimen, maka secara automatik keahlian mereka gugur.
“Ia bukan satu perkara mengejutkan. Saya mahu tegaskan bahawa mereka tidak dipecat. Mereka keluar hasil tindakan sendiri.
“Sebagai bandingan, apabila seseorang itu dengan sendiri berjalan keluar dari rumah, dia bukan dikeluarkan dari rumah itu, tetapi tindakan dia sendiri menyebabkan secara automatik dia berada di luar rumah. Itulah yang berlaku dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, surat bertarikh hari ini yang dilihat FMT menyatakan keahlian Mahathir, Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah dalam PPBM dihentikan serta-merta selepas mereka mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya itu menyatakan ahli Parlimen terbabit duduk bersama blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat sehari pada 18 Mei lalu.

Katanya, tindakan itu diambil terhadap 5 pemimpin itu mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan PPBM. Fasal 10.2.2 perlembagaan PPBM menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka mengisytiharkan keluar parti, manakala Fasal 10.2.3 pula menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka menyertai atau menjadi ahli parti politik lain.

Wan Saiful menyeru semua ahli kembali memperkukuhkan parti dan terus setia bersama PPBM untuk terus mengenang jasa tokoh besar.
“Kita hargai segala sumbangan mereka dan jangan nafikan betapa besarnya jasa mereka, dan kita gunakan semua itu sebagai asas untuk membawa parti lebih maju ke depan.”

Mahathir ialah pengerusi dan seorang daripada pengasas PPBM, manakala Mukhriz ialah timbalan presiden yang bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti bulan depan.
Syed Saddiq pula ialah ketua Pemuda PPBM, manakala Maszlee dan Amiruddin pernah menjadi menteri pendidikan dan timbalan menteri kewangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails