Saturday, February 01, 2020

Husam Musa&Ganja. Pernah Gesa K'jaan Iktiraf Bagi Tujuan Perubatan


'Minyak ganja' pernah bantu rawat Husam 
Oleh Ramieza Wahid dan Rahmat Haron Diterbitkan   |  Dikemaskini 


WAWANCARA | Senator Husam Musa merupakan antara pemimpin yang menggesa kerajaan supaya mengiktiraf ganja bagi tujuan perubatan, khususnya spesies hem.
Ketika ditanya sekiranya beliau pernah mencuba produk kesihatan berasaskan hem untuk tujuan perubatan, Husam menjawab:
"Saya pernah ada pati minyak hem.
"Hem ini mengaktifkan reseptor. Dalam badan kita ada beratus-ratus reseptor dan ada satu yang boleh dirangsang oleh kanabis.
"Jadi apabila kita ambil minyak hem reseptor itu akan diaktifkan dan ia adalah kejadian tuhan," katanya kepada Malaysiakini di Petaling Jaya semalam.
Terdahulu Husam merasmikan seminar tertutup mengenai perubatan hem anjuran Persatuan Perubatan Hemp Malaysia di Kuala Lumpur.
Beliau juga diberi taklimat oleh pakar mengenai manfaat hem untuk perubatan.
Persidangan itu menghimpunkan sejumlah pakar perubatan hem tempatan serta antarabangsa, termasuk dari Thailand, Belanda, Korea Selatan dan Indonesia.
Beza dua spesies
Kata Husam, sistem tubuh dan otak manusia memiliki reseptor endocanabinoid yang membolehkan seseorang mendapat ketenangan, tidur atau rehat.
Ia juga katanya menjadikan tubuh seseorang menerima bahan mengandungi tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD) secara semula jadi.
Diminta penjelasan lanjut jika Husam memang pernah mencuba minyak hem, bekas exco kanan Kelantan itu berkata, beliau seorang yang percaya ada produk ganja boleh membantu dari segi kesihatan.
“Kenapa tidak? Saya percaya dengan apa yang saya pelajari.
“Ia adalah ekstrak minyak hem, bukan kanabis marijuana asli,” katanya kepada Malaysiakini.

Umumnya terdapat dua spesies tumbuhan ganja, iaitu Cannabis Sativa (yang dirujuk sebagai hem) dan Cannabis Indica (yang dirujuk sebagai marijuana).
Kedua-dua spesies mempunyai manfaat perubatan yang berbeza dengan bahan THC dan CBD.
Hem memiliki kandungan THC rendah, manakala marjuana pula mempunyai kadar THC yang tinggi.
Marijuana dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah kerana kandungan THC yang tinggi pada bunga tumbuhan betinanya sehingga dapat memberikan kesan khayal dan boleh digunakan untuk melegakan kesakitan penghidap barah, atau mengurangkan kesan sampingan rawatan kimoterapi.
Sementara itu, serat batang pokok hem pula merupakan bahan asas yang digunakan dalam lebih 25,000 bidang industri, termasuk kain, tali, kertas dan gentian.
Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak membezakan dua spesis ganja hem dan marijuana ini.
Bermanfaat cergaskan minda
Husam turut menjelaskan hem (yang tinggi CBD) juga dibuat minyak bagi tujuan perubatan untuk penyakit sawan dan epilepsi.
"Mengikut kajian minyak hem berguna dalam rawatan sakit kanser, sawan, masalah saraf, ketegangan, bahkan jantung," katanya.
Hujung tahun lalu, Forbes melaporkan AS meluluskan penanaman, pengedaran dan penggunaan hem, manakala China pula merupakan pengeluar 50 peratus produk industri hem dunia.
Menurut Husam kegunaan minyak hem boleh memberi manfaat dalam beberapa aspek.
“Berdasarkan pada bacaan dan kajian saya sendiri mengenai sejarah kanabis, bahan ini sangat berguna untuk kecergasan minda, inspirasi intelektual dan kesihatan badan,” kata lagi.
Husam mencadangkan supaya kerajaan dan masyarakat lebih aktif mengkaji kegunaan hem dari segi perubatan dan memahami kegunaan bahan itu secara lebih adil.
Beliau berkata cadangannya supaya Malaysia memperkenalkan tanaman ganja kesihatan bagi tujuan perubatan akan dilihat sebagai langkah terkedepan jika berjaya direalisasikan.
Diperkenalkan oleh doktor
“Isu ini telah diputuskan oleh kabinet dua bulan lalu dan ini adalah satu langkah ke depan, walaupun langkah ini agak terlewat berbanding negara lain," katanya ketika berucap dalam seminar itu.
Beliau juga berharap kerajaan lebih terbuka menerima cadangan daripada pihak profesional mengenai penanaman ganja kesihatan di Malaysia.
“Sekiranya kerajaan telah berani membuat kajian, saya berharap kerajaan akan lebih terbuka untuk menerima input profesional dalam baja, bentuk perladangan serta kegunaan ganja kesihatan dari segi perubatan secara terkawal," katanya lagi.
Sementara itu, Husam juga mengakui telah menggunakan minyak hem bagi merawat penyakitnya pada 2015.
Menjawab pertanyaan wartawan jika setakat ini minyak hem boleh dikatakan mujarab atau sesuai dengan rawatan penyakit yang dihidapinya, Husam berkata: "Ya."
"Saya diperkenalkan dengan minyak hem oleh seorang doktor untuk rawatan saraf bagi masalah penyakit bell's palsy saya.
"Bell's palsy ialah kegagalan kawalan saraf muka kerana jangkitan pada saraf utama di belakang telinga.
"Caranya, satu titik minyak ini diletakkan di bawah lidah. Minyak itu tak ada rasa apa, pedas atau pahit... rasa minyak saja, tak ada rasa loya, tak ada rasa high, tak khayal," katanya.
Bagaimanapun, kata Husam harga minyak ekstrak hem itu agak mahal iaitu RM550 untuk 100ml kerana faktor kesulitan perundangan yang menyukarkan kelulusan bekalan dan penggunaan ubat berkenaan.
WAWANCARA | Senator Husam Musa menjelaskan terdapat tiga faktor utama yang menjadi punca penggunaan ganja bagi tujuan perubatan mendapat cacian dan cemuhan.
Hal itu, katanya, disebabkan tumbuhan berkenaan difitnahkan bermudarat sejak bertahun-tahun lamanya.
"Jadi terdapat tiga faktor mengapa ia jadi begitu.
"Pertama faktor kejahilan, diikuti kebimbangan yang tidak menentu ataupun prasangka, dan yang ketiga, kesangsian yang berpanjangan.
"Jadi kita mesti mulakan dari satu titik sebab kita tidak boleh selama-lamanya dikawal oleh kebimbangan yang tidak menentu," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara pada Khamis lalu di Sri Damansara, Petaling Jaya.
Terdahulu, bekas exco kanan Kelantan itu ditanya sekiranya pengambilan ganja untuk perubatan akan menggalakkan lagi masalah penyalahgunaan dadah.
Menurut Husam, sejarahnya bermula apabila British menggubal Akta Dadah Berbahaya pada 1952 dan memasukkan tumbuhan ganja (kanabis) tanpa membezakan spesis hem dan marijuana.
Boleh jana pendapatan
"Bahan ini sangat berguna untuk kecergasan minda, inspirasi dan intelektual serta kesihatan badan tetapi oleh kerana ia difitnah melalui pengharaman oleh British pada 1952 dan dikaitkan dengan penagihan semata-mata, aspek baik dalam kanabis dilupakan.
"Jadi kanabis dah disangka buruk sehingga yang nampak adalah ketagihan manakala aspek positif tidak di ketengahkan.
"Jadi sekarang kita kena berlaku adil menggunakan semula kanabis dan juga herba yang lain secara wajar," katanya.
Husam menjangkakan penanaman hem untuk industri dan ganja perubatan - jika dibenarkan kerajaan - dapat menjana pendapatan rakyat dan membawa pulangan hasil kepada negara.
Katanya jumlah pulangan itu juga dianggarkan sangat besar.
Pada masa sama katanya jika semua pihak sekadar mengutamakan kebimbangan dan mengabaikan langkah mencari formula yang sepatutnya, negara akan ketinggalan dari dua segi.
"Pertama, hasil kepada negara termasuk petani-petani dan manfaat kesihatan," katanya lagi.
Menjelaskan lanjut, Husam memberi contoh cadangan syarikat multinasional Coca Cola untuk mengeluarkan minuman kesihatan berasaskan kanabis yang tinggi CBD tetapi rendah THC.
"Bayangkan Coca Cola mengeluarkan minuman berasaskan kanabis yang tidak menyebabkan ketagihan tapi memberi rasa senang kepada jiwa dan beri kesan kepada kesihatan yang baik.
"Bayangkan berapa jumlah pasaran yang mereka dapat, dan kita hanya terkebil-kebil sebab kita dikawal oleh kejahilan dan lebih mengutamakan kebimbangan tanpa cuba menghapuskan kesangsian kita," ujarnya.
Melekat dalam fikiran
Husam juga berkata orang ramai terutamanya pengidap penyakit kronik seperti barah dan sawan boleh mendapat manfaat jika pasaran ganja untuk perubatan dibuka dengan kawal selia seperti produk kesihatan lain.
"Sekarang ini satu cara untuk memupuk (kefahaman ganja perubatan) adalah tentang ubat dan drugs (dadah) atau rawatan untuk penyakit kronik seperti barah dan sawan," jelasnya.
Husam juga diminta mengulas mengenai kawal selia peraturan di antara industri alkohol berbanding ganja untuk tujuan perubatan.
"Itu sebabnya dalam Islam, alkohol Allah haramkan kerana ia sudah ada kemudaratan lebih banyak berbanding manfaat. Asasnya kerana mudarat alkohol.
"Tapi dari kes ganja untuk perubatan, ia sangat berbeza, sebab kita boleh asingkan yang baik dan yang buruk.
"Pati CBD dapat diambil daripada pokok hem (yang rendah THC).
"Kita ambil manfaat ganja perubatan dan kita buang mudaratnya. Jadi lebih lagi keadaannya dari alkohol," ujarnya.
Husam berkata fitnah British pada 1952 masih melekat pada pemikiran orang ramai sedangkan terdapat manfaat perubatan yang dapat dipertimbangkan.
"Tak faham kerana difitnahkan British pada 1952, rakyat diberitahu bahawa ganja berbahaya, sedangkan ada lagi kegunaan lain yang boleh beri manfaat. Saya rasa ini semua adalah mindset," jelasnya.


Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Mohd Noor pada awal Februari lalu dilaporkan berkata penggunaan tumbuhan semula jadi seperti ganja dalam perubatan adalah harus jika tidak mengancam keselamatan.
Wan Salim bagaimanapun berkata kajian terperinci perlu dilakukan oleh pakar bagi membuktikan keberkesanannya, selain kaedah itu diambil hanya selepas tiada pilihan lain yang lebih baik.
“Jika kanabis dilihat memudaratkan penggunaannya, jatuh haram. Penggunaannya juga dilarang bagi tujuan keseronokan atau khayal.
“Kebenaran penggunaan mengikut kuantiti ditetapkan perlu diperjelaskan selain kawalan ketat," katanya.
 Wan Salim
Sementara itu, ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan, pula berkata penggunaan produk berasaskan ganja yang diimport perlu diberi peluang dan diterima secara terbuka bagi tujuan perubatan. 
Pada 10 Feb lalu, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zulkifli Abdullah, dilaporkan media sebagai berkata, pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, namun perlu memperoleh kebenaran menteri kesihatan.
Zulkifli yang juga bekas ketua polis Kelantan, Perak dan Kuala Lumpur berkata terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan penanaman pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus.
“Jadi saya rasa, sayanglah kalau benda ini betul (ganja perubatan) dan boleh dilakukan dalam negara. Kalau kita tengok Akta Dadah Berbahaya, pokok ganja ini boleh diusahakan untuk tujuan perubatan,” kata beliau lagi.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye pula pada 11 Februari lalu berkata produk berasaskan ganja bagi tujuan perubatan boleh diimport tetapi perlu mematuhi tiga syarat yang dikenakan kerajaan dan syarikat yang berbuat demikian perlu mendaftarkannya di Kementerian Kesihatan.
"Selamat digunakan, terbukti berkesan dan maklumat kegunaan yang jelas.
“Walaupun ganja diklasifikasikan sebagai dadah berbahaya tetapi ada dadah berbahaya seperti morfin yang digunakan sebagai ubat, namun digunakan dengan formulasi dan kuantiti tertentu.
“Jadi, sekiranya hendak import ubat perlu berdaftar di bahagian farmasi Kementerian Kesihatan. Kalau sudah berdaftar dan melepasi syarat dikenakan maka ia boleh digunakan mengikut syarat-syarat ditetapkan,” katanya. (https://www.malaysiakini.com/)

Lihat sebelum ini..

2 comments:

Anonymous said...

Hudud lebih penting dari dadah. Hudud selesai masalah, dadah tambah masalah.

Anonymous said...

ha ha ha

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails