Saturday, September 13, 2008

Misteri Pulau Puaka Di Aceh.


Ibnu Hasyim:
Catatan Perjalanan.

SAYUP-SAYUP dari pantai sekitar Banda Aceh, nampak kebiruan kelumpuk-kelumpuk kepulauan. Antaranya ialah Pulau Aceh atau Pulau Beras.. adalah sebuah pulau berhampiran Pulau Sabang. Kalau Pulau Sabang terkenal sebagai tempat perlancungan, tetapi pulau ini agak lain sikit. Apa lainnya?

“Sebelum tsunami pulau ini dipenuhi pokok-pokok ganja, menjadi antara pengeluar dadah ganja terbesar di Aceh. Waktu itu, undang-undang dadah berbahaya tidak seketat sekarang. Perusahaan penanaman ganja menjadi sumber pendapatan penduduk.” Kata seorang, yang saya temui di Chow Kit, KL.

Dikatakan, beliau adalah generasi awal orang Aceh penghijrah dari negaranya, yang meneroka di KL sebagai peniaga-peniaga kedai runcit Aceh.. berkembang hingga berselerak bercambahan seperti yang ada sekarang.

Mengimbau kenangan lama beliau, katanya..

“Aku anak Krung Gueh keluaran Sekolah Ekonomi Asas Luok Seumawe, sewaktu umur 21 tahun telah bertolak ke Medan, melalui Dumai... aku masih ingat, waktu itu bertarikh 1 Jan 1979. Pada pagi jam 7.00 sampai di Pantai Kundur Melaka, dengan pas lawatan. Kami 7 orang dibekal RM4-00. Kagum aku dengan ringgit Malaysia masa itu, kami dapat makan seorang seketul roti & sebungkus air kotak, bila dibayar masih berbaki RM1.60. Hebat fikirku, memang Malaysia mewah dan kaya! Di situlah timbul ilhamku untuk jadi seorang peniaga. Walaupun mulanya aku menjadi buruh di Felda Sungai Koyan 2, Raub, tetapi akhirnya aku dapat peluang mengedar rokok kretek Gudang Garam Indonesia di KL. Untungnya lumayan masa itu, membuat perniagaan aku cepat meningkat.”

“Berapa untung sebungkus masa tu?”

“Gudang garam merah, jualan runcit RM5 sebungkus.. memang mahal kerana tidak cukup barang. Tolak borong RM4-00, aku untung RM2-00 lebih sebungkus. Ha! kerana rokok kreteklah peniaga-peniaga kedai runcit kecil tepi jalan bisa hidup bertumbuhan dan berkembang!”

“Tak salah ke dari sudut undang-undang negara?”

“Mungkin waktu itu kerajaan bagi can, nak tolong orang Aceh. Rokok simpan bawah meja, bila pembeli minta baru keluarkan!” Jelas beliau.

“Begitukah juga dengan pengedaran ganja?”

“Ssshht!” Sambil jari telunjuknya diletak dibibir. “Sejak dulu lagi Malaysia adalah antara negara penerima ganja terbesar dari Aceh!”

Hal ini mengingatkan semasa muda-muda saya di kampung Balik Pulau, Pulau Pinang. Ketika berjalan-jalan di tepi pantai, bila terserempak dengan penyeludup-penyeludup, akan dihadiahkan sebungkus kecil ganja, sebagai proses ‘tutup mulut’. Maka murahlah harga ganja di situ, dan mudahlah juga anak-anak muda jadi penagih. Seingat saya 1 kertus ganja baru 50 sen saja. (1 kertus = 1 balutan padat termasuk daunan dan biji ganja, bulatan sebesar syiling 20 sen, panjangnya kira-kira 3 inci.). Ramai anak-anak muda kampung saya jadi penagih ganja.

Minggu lepas, semasa saya berkunjung ke Aceh, saya bertanya seorang kawan kakitangan sebuah akhbar tempatan mengenai pulau itu, apakah masih ada kegiatan tanaman ganja di situ? Jawabnya, “Ya, masih banyak!”

“Apakah pihak berkuasa tidak pergi memberkas penanamnya?”

“Kalau pergi ke pulau itu di sebelah siangnya, tidak pernah ada penduduk, walaupun pokok-pokok ganja masih berkembang subur. Nak tangkap siapa, tiada orang? Namun ganja-ganja di situ tetap beredar di pasaran. Itulah sebenarnya yang menjadi misteri di pulau berpuaka itu!”

Bila sebut ‘berpuaka’, teringat pula cerita seorang nelayan yang sering menangkap ikan sekitar pulau itu sebelum tsunami. Dia pernah melihat sebuah kapal dari luar negara berlabuh. Membawa beberapa bahan peledak, dan meletupkannya di dasar laut berhampiran pulau itu, bergegar dan menimbulkan gelombang agak besar juga. Berita itu tersebar luas di Banda Aceh, tetapi ianya lenyap terus bila datang gelombang yang jauh lebih besar lagi, iaitu tsunami 2004. Apakah ianya juga sebuah legenda misteri berpuaka di pulau itu??

Akhirnya berkata seseorang di depan saya, yang ditemui di Chou Kit ini, “Kita orang-orang Aceh, kini visa tsunami tinggal di Malaysia sudah terancam, kita perlu fikirkan bagaimana untuk terus berniaga di sini.. atau memegang visa perniagaan, walaupun terpaksa berulang-alik ke Aceh!”

Nampaknya, saya pun sudah dianggap mempunyai roh sebagai rakyat Aceh, selepas baru pulang dari Aceh. Sekian, catatan perjalanan kali ini, Wallahu aklam.

Catatan Perjalanan: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
Chow Kit KL. September13, 08.

Ibnu Hasyim: CATATAN PERJALANAN & SANTAI mengenai Aceh.
1.. Peluang Berniaga Di Aceh. KL. 28-09-07
2.. Peluang Berniaga Di Aceh 2. 06-10-07
3.. Janji Damai Helsinki, Mana Islamnya? Sept8, 08.
4.. Kampung Kedah Aceh Selepas Tsunami. Sept9, 08.
5.. Misteri Pulau Puaka Di Aceh. Sept13,08.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails