Difahamkan, ketiga-tiga penganjur himpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) itu akan hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi proses rakaman percakapan. 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tindakan itu diambil susulan satu laporan polis yang diterima mengenai perkara tersebut.
“Kita akan panggil mereka petang ini. Mereka sudah berjanji untuk tidak melibatkan kanak-kanak sebelum permit diberikan tapi tidak ditunaikan.
“Ini satu kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 jadi kita akan ambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ronda Cegah Jenayah bersama Ketua Polis Negara di perkarangan Pasar Seni, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi memaklumkan, pihaknya akan menilai semula situasi di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, bagi mengurangkan jumlah anggota polis yang bertugas.
“Buat masa ini, tiada sebarang ancaman di lokasi (kuil), tapi kita tidak boleh ambil mudah mengenai situasi tersebut.
“Saya akan berbincang dengan polis Selangor petang ini mengenai tindakan selanjutnya,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE