Mereka sebulat suara menolak sebarang usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Mungkin keterlaluan menyatakan ia sebagai perhimpunan terbesar dalam sejarah tanah air.

Namun, perhimpunan raksasa #DaulatHimpunan812 men­cipta rekod bahawa ia yang terbesar mengumpulkan orang Melayu dalam sejarah moden Malaysia.
Meskipun perhimpunan itu cuba diperlekehkan dan digagalkan oleh pihak tertentu termasuk menggunakan bantuan dipercayai daripada Red Bean Army (RBA), itu tidak melunturkan semangat peserta untuk datang dengan pelbagai jenis pe­ngangkutan termasuk berkonvoi demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Mereka yang hadir datang dari setiap pelosok negara tanpa mengira ideologi politik dan dialek bahasa, berhimpun di beberapa kawasan di ibu kota sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Perhimpunan yang bermula seawal pukul 12 tengah hari dan berakhir pukul 6 petang itu dilihat mencapai matlamatnya apabila bukan sahaja berjaya menzahirkan kebimbangan orang Melayu terhadap ICERD.
Lebih penting, ia dapat membuktikan orang Melayu boleh berhimpun secara aman tanpa mengganggu orang lain.
Sesiapa sahaja pasti me­nganggap perhimpunan itu sangat berjaya dengan lebih 300,000 peserta kekal tidak berganjak untuk mendengar ucapan tokoh-tokoh yang hadir meskipun cuaca panas terik ‘membakar’ kulit.
Antara kepemimpinan yang hadir ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; dan Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya selaku penganjur serta beberapa pe­mimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Video Oleh MEDIA SOSIAL
Kejayaan mengumpulkan ratusan ribu peserta itu pasti memberi isyarat jelas dan amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa isu ICERD tidak boleh dipermain-mainkan.
Apa yang lebih istimewa, perhimpunan itu menggabungkan dua parti terbesar orang Melayu, UMNO dan Pas yang selama ini sangat diimpikan oleh orang Melayu sejak zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menge­tuai pentadbiran negara buat kali pertama sebelum ini.
Himpunan tersebut yang mendapat liputan media antarabangsa juga menyaksikan semangat dalam kalangan orang Melayu yang tinggi dalam mempertahankan hak mereka sehinggakan ada yang hadir secara berkonvoi motosikal dan berbasikal.
Apa yang menarik, boleh di­sifatkan #DaulatHimpunan812 adalah perhimpunan paling bersih dan berdisiplin diadakan membabitkan parti politik, apabila peserta yang hadir tidak mencetuskan sebarang provokasi, membuang sampah di tempat disediakan, mengikut arahan pihak berkuasa selain amaran turut diberikan oleh penganjur bawah perhimpunan itu dila­rang untuk me­rokok. (Utusan)