Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, ugutan Hamzah kononnya akan ada lagi ahli Parlimen dari UMNO yang akan melompat parti sekiranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak meletakkan jawatan dengan segera telah mengesahkan lagi dakwaan tersebut.


“Hamzah tidak berhak lagi mencampuri urusan UMNO kerana beliau bukan lagi pemimpin UMNO. 

“Ugutan beliau bahawa akan ada lagi ahli Parlimen UMNO akan melompat parti dengan sendirinya mengesahkan bahawa beliaulah perancang kepada segala yang berlaku malah beliau mempunyai agenda melalui apa yang beliau lakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Sementara itu, tambahnya, dalam keadaan UMNO sedang menghadapi pelbagai cabaran, semua pemimpin dan ahlinya di pelbagai peringkat mesti memelihara perpaduan serta bersama bertanggungjawab memulihkan semula parti tersebut.


“Memang bukan mudah memimpin ketika UMNO sudah tiada kuasa. Sudah tiada apa termasuk kedudukan atau pangkat yang boleh diberi bagi menguatkan dan mengikat ahli parti ketika ini hanya kesetiaan serta perpaduan sesama kita sahaja.

“Oleh yang demikian, berilah kepercayaan kepada Presiden dan pimpinan tertinggi parti ketika ini untuk memulihkan keadaan. Mendesak supaya pemimpin bercuti atau berundur ketika ini tidak akan menyelesaikan masalah malah sebenarnya menjayakan matlamat parti lawan untuk melihat UMNO terus berpecah-belah,” katanya. - UTUSAN ONLINE.