Satu sumber berkata, suspek bergelar Datuk itu ditahan pada pukul 12 tengah hari ketika dia hadir untuk memberi keterangan berhubung skim pelaburan forex di Pejabat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urus Setia Ketua Polis Negara di Menara 238, Jalan Tun Razak di sini. 
“Kita tahan suspek untuk bantu siasatan melibatkan 129 laporan polis dengan jumlah kerugian sebanyak RM13.9juta.
“Tempoh tahanan reman terhadap lelaki itu akan dibuat esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! difahamkan, usahawan permotoran itu merupakan suami kepada pelakon wanita berusia 23 tahun dan mereka juga baharu mendirikan rumahtangga pada 18 Mac lalu.
Pada 15 Mei lalu, polis menahan seorang lelaki yang bergelar Datuk bagi membantu kes yang sama.
Suspek berusia 35 tahun yang juga pemilik sebuah syarikat produksi itu ditahan susulan laporan dibuat seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan forex yang ditawarkan suspek.  
Dalam perkembangan sama, pihak polis meminta orang ramai yang menjadi mangsa penipuan forex untuk tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil. - K! ONLINE