Friday, June 01, 2018

Anggota UMNO Dipelawa Sertai PAS – Tuan Ibrahim

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

PAS mempelawa anggota UMNO menyertai parti itu untuk membentuk gabungan yang kuat selepas parti berteraskan bangsa Melayu itu tewas besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lepas.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu sentiasa buka pintu kepada ahli UMNO untuk berbuat demikian kerana pada masa sama tidak mungkin parti itu akan bentuk kerjasama dengan UMNO.

“Saya sudah lama ajak mereka (UMNO) masuk PAS. Apabila mereka sudah hilang kuasa pada PRU lalu, saya rasa sudah tiba masanya untuk mereka sertai PAS, bukan PAS yang akan sertai UMNO.
“Apa yang berlaku pada PRU lepas adalah kerana rakyat tolak Barisan Nasional (BN), jadi atas sebab itu kita buka pintu kepada BN dan UMNO untuk sertai PAS,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Kesyukuran Pasca PRU14 di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa UMNO dan PAS perlu bergabung dan membentuk kerjasama yang dapat memberikan cabaran kepada Pakatan Harapan (PH) dan dalam masa sama menjaga kepentingan Melayu.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaan PAS sekiranya dijemput untuk berada dalam jawatankuasa yang akan ditubuhkan kerajaan bagi melihat dan mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saya minta kerajaan kekalkan peranan Jakim selain mempertingkatkan jabatan itu. Jakim mendapat pengiktirafan dunia apabila cop halalnya diiktiraf seluruh dunia selain jabatan tersebut bertanggungjawab untuk menyelaras isu-isu agama Islam dan sistem perundangan negara,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai tawaran PAS kepada Pakatan Harapan untuk mewujudkan kerajaan gabungan di Kedah, beliau berkata perkara itu disuarakan bagi mengelak berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan isu perlantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Itu jalan keluar yang ada tetapi kalau mereka tidak terima kita sedia untuk hadapi PRN. Tetapi rakyat baru sahaja selesai mengundi jadi kalau boleh kita ingin elak PRN daripada berlaku, namun kita lihat sahaja keputusannya nanti,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata timbul sedikit kesulitan berhubung pelantikan jawatan Speaker di DUN Kedah berikutan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri memperoleh 18 kerusi DUN pada PRU14, menyamai jumlah 18 kerusi yang dimiliki PAS dan BN iaitu masing-masing 15 dan tiga kerusi. – BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Cuma ahli umno please. Politicians are not welcome. Melainkan mereka bertaubat dan berubah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails