Sunday, May 27, 2018

Hanya 34 dari 314 Hotel Di Melaka Ada Sijil Halal. Pengusaha Disaran Memilikinya..




ALOR GAJAH, 10 Ramadan 1439H, Sabtu – Kerajaan negeri Melaka menyarankan pengusaha restoran dan hotel di negeri itu mendapatkan sijil halal dalam usaha mengoptimumkan industri makanan halal yang semakin berkembang pesat di negara ini.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pemilikan sijil halal dapat meningkatkan keyakinan pengguna terutama orang Islam dalam memilih makanan yang mematuhi aspek Syariah.
“Kita amat menggalakkan dapur di resort dan hotel mendapatkan sijil pengesahan halal bagi membolehkan umat Islam mengunjungi premis berkenaan tanpa keraguan lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan ini (yang mana sering diadakan majlis berbuka puasa) sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.
“Justeru, kita akan menggiatkan lagi promosi berkaitan produk halal termasuk makanan memandangkan Melaka merupakan negeri pelancongan dengan 16.79 juta pelancong direkodkan berkunjung ke negeri ini tahun lepas,” katanya kepada Bernama pada program Ihya Ramadan Tenaga Nasional Berhad (TNB) peringkat negeri di Masjid Al- Qaniteen, Tanjung Rimau Luar di sini malam tadi.
Semalam, Bernama melaporkan hanya 34 daripada 314 dapur di resort dan hotel di Melaka memiliki sijil pengesahan halal setakat ini.
Untuk rekod, daripada jumlah itu hanya dua dapur resort dan hotel bertaraf lima bintang mempunyai sijil pengesahan halal, empat bintang (11 buah), tiga bintang (15), dua bintang (2) dan tiada bintang (4).
Adly sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada 50 penerima terdiri daripada anak yatim, fakir miskin dan orang kurang upaya. Turut hadir Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman dan Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Bahagian Pembahagian TNB Melaka, Ahmad Rezahan Mohammad.- Bernama

3 comments:

Anonymous said...

Hah, TAHNIAH IBNU HASYIM. Ini baru BERITA yang sesuai dipaparkan.

Anonymous said...

Puji PH baru berita? Pira!

Anonymous said...

Baru Dua minggu memerintah bro

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails