Saturday, May 16, 2015

Membina Tasawur Usuliy Dalam Perlaksanaan Hudud. -Dr Mujahid.

TAJUK ini sudah sepatutnya lama dinukilkan dan oleh kerana isu hudud kini terus menjadi polemik yang kini sudah masuk ke daerah perdebatan yang lebih luas, penulis akan cuba melihat isu hudud dalam memakukannya pada bingkai perbahasan usuliy (اصولي) (prinsip-prinsip perundangan Islam) yang menjadi teras kepada perlaksanaan syariat termasuk hudud atau lebih tepat Sistem Hukuman Dalam Islam (نظام العقوبة في الاسلام).

Saya akan menggunakan istilah hudud sebab itu lebih mudah difahami dalam penulisan ini. Tulisan ini juga mengingkari mana-mana pihak yang berwenangan menghukum dengan kekufuran seorang muslim dalam memahami dan membahaskan aspek perlaksanaan hukum hudud. 

Bagi bukan Islam tulisan ini diharapkan dapat memberi keadilan kepada sikap penentangan atau salah faham mereka kepada tajuk penting ini.

Menentukan Daerah Perbahasan

Adalah penting ketika hudud diberi suntikan emosi lebih dari perspektifnya yang objektif untuk kita tetapkan daerah perbahasan hudud. Premis pertama perbincangan dipandu dengan perkara yang wajib disepakati bersama oleh umat Islam dan tidak boleh keluar daripada kesepakatan ini.  Premis kedua ialah perkara yang harus kita berbeza pandangan tanpa melihat niat kepada perbezaan pandangan tetapi tertumpu kepada asas hujahan untuk mencapai tujuan dan maksud syariat (maqasid syariah).

Premis Pertama

1. Bersetuju bahawa Islam mencakupi semua bidang kehidupan diringkaskan kepada semua bidang dalam kehidupan dunia untuk mencapai kebahagiaan di akhirat. Syariat pula adalah apa yang ditentukan panduan atau jalannya untuk berada pada Aqidah sebenar dan panduan hukum untuk menjalani kehidupan di dunia. Firman Allah:
ثم جعلناك على شريعة من الامر فاتبعها ولا تتبع اهواء الذين لا يعلمون


  • “Kesudahannya kami jadikan engkau (wahai Muhammad) menjalankan satu syariat (yang lengkap) dari hukum hakam agama, maka turutilah syariat itu dan jangan engkau menuruti hawa nafsu orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)” (Al Jathiah: 18).
Sesiapa yang mengingkari hakikat ini seolah-olah ia mengingkari kewujudan Islam itu sendiri.

2. Bersetuju bahawa dalam syariat Islam adanya sistem Hukuman Balas atau عقاب pada jenayah yang dibahagikan kepada hudud, qisas dan ta’zir. Selain hudud, pemimpin dan pakar perundangan negara yang menetapkan apakah hukuman yang perlu untuk menjaga ketenteraman awam daripada pertimbangan maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan) yang ada.

Sesiapa yang mengatakan tidak perlu kepada semua ini seoalah-olah mengajak kepada masyarakat yang tanpa perundangan membawa kepada huru-hara dan porak peranda.

3. Bersetuju bahawa dalam perlaksanaan undang-undang Islam adanya ketetapan hukum boleh dilaksanakan tanpa kuasa pemerintahan seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain kerana ianya ditetapkan hukumnya dan maslahatnya adalah akhirat untuk ditanggung taklifnya atas individu. Adapun perlaksanaan untuk hukum yang membawa maslahat orang ramai dan ia maslahat dunia maka pemerintah melalui kuasa perlu membuat keputusan dengan syarat perkara itu ada asas kukuh perbezaan pandangannya. (lihat Al Ahkam fi tamyiz al fatawa an il ahkam wa tasaruffat al qadhi wal imam (ms 59,60: Shuhabudin Ahmad Ibnu Idris Al Qarafi ( 626-684h), kajian Dr Abdul Salam Al Balaji, Darul Man, Ribat, 2010).

4. Bersetuju bahawa perlaksanaan hukum terbahagi kepada  Hukmu Taklifi (حكم تكليفي) dan Hukmu Wadhie (حكم وضعي). Hukmu Taklifi adalah apa yang dituntut pada sesuatu perlakuan dari mukallaf atau diminta tidak melakukannya atau diberi pilihan untuk melakukannya atau tidak. Ini melibatkan hukum wajib, haram, makruh, dan mubah. Hukmu Wadhie pula ialah apa yang tertuntut dari mukallaf dengan menjadikan sesuatu hukum SEBAB pada sesuatu untuk dilaksanakan atau diletakkan sesuatu SYARAT kepada terlaksananya sesuatu hukum itu ataupun hukum itu tidak terlaksana kerana TERHALANG.

Dr Wahbah Az Zuhaili memberikan contoh menegakkan hudud sebagai Taklif Wadhie atas keperluan syarat, kerana walaupun sebab hukumanc72804a2352987499980e768945c55cahudud boleh berlaku disebabkan mencuri,  namun syarat untuk melaksanakan diperlukan. Ulama terbilang ini meletakkan di bawah kategori Syarat yang berlandaskan Syarie juga. Syarat adalah wujudnya keperluan hukum itu diluar daripada hakikat hukum tersebut dan tidak terlaksana tanpanya seperti rukun dalam solat tidak sempurna tanpa syarat taharah yang dil uar daripada rukun solat (lihat Al Wajiz fi Usul Al Fiqh, ms 135-138, Dr Wahbah Az Zuhaili, Darul Fikri, Dimasyq, Syria).

Perbahasan atas asas Usul Fiqh penting sebab kita tidak boleh sewenang-wenangnya menolak hujah yang mencadangkan agar penelitian yang besar perlu diberikan kepada proses untuk mengeluarkan sesuatu perintah hukum termasuk hudud. Apatah lagi sesetengah kita yang tanpa mengetahui disiplin istinbat (perumusan) sesuatu hukum dalam syariat secara tidak bertangunggjawab menidakkan keperluan bersikap cermat dan berhati-hati dalam memahami Khitab Allah (perintah Allah) kepada para mukallaffin (hamba yang dipertanggungjawabkan perlaksanaan hukum).

5. Bersetuju bahawa perbahasan konstruktif tentang hudud adalah dengan melihat kepada persoalan-persoalan pengkaedahan perundangan, masalah semasa perundangan negara, persediaan asas hudud hendak diperundangkan dan realiti-realiti semasa yang terpaksa dihadapi. Semua perbahasan inj tidak mengeluarkan seseorang daripada Aqidah Islam kerana perbahasan ini diambil sejarahnya dari zaman Rasulullah s.a.w dan diambil pengajaran oleh para sahabat dan para tabiin kemudiannya sehinggalah disiplin ilmu pengkaedahan terbentuk dalam kajian Usul Fiqh yang kita warisi hari ini. Antara contoh yang diberikan oleh Dr Abdul Salam Balaji ialah;

a. Menangguhkan perlaksanaan hudud kerana khuatir terhadap yang dikenakan hukuman akan lari kepada musuh semasa peperangan. Memelihara kemaslahatan orang yang sabit hukum kerana memelihara maslahah pada dirinya seperti mengandung.

b. Hukum Mualafatul Qulub atau orang yang ingin ditawan dalam asnaf zakat ditiadakan zaman Umar kerana bilangan muslim semakin ramai. Menghidupkan sunnah tarawih secara jamaah di masjid setelah hilang kebimbangan bahawa perbuatan itu dikhuatiri menjadi wajib.

c. Menghalang Nikah Kitabiyat (mengahwini perempuan ahli kitab) di kalangan sahabat walaupun ia diharuskan oleh syariat kerana maslahat menjaga keperluan wanita muslimat daripada ditinggalkan dan kerana khuatir perkahwinan kitabiyat boleh menjadi keselamatan khuatir mereka boleh menjadi pengintip.

d. Melihat realiti semasa seperti menangguhkan hukuman curi pada seorang hamba miskin dan memberi amaran kepada tuannya yang menyebabkan hambanya mencuri kerana tidak diberi makan.

Kesemua tindakan ini bukan berasakan kepada menolak sesuatu perintah Allah tetapi melihat kepada sesuatu keadaan, perkara mendatang yang diletakkan dalam bingkai realiti semasa yang dihadapi, ia kemudiannya dikenali sebagai Fiqh Al Waqi’ (Fiqh Realiti) (lihat Dr Abdul Salam Balji, ms 28-29, dalam kajian tesis Phdnya tahun 2002, bertajuk Tatawwur Ilmu Usul Al Fiqh wa Tajjaruduhu, Darul Ibnu Hazam, 2010).

Soal perlaksanaan hudud dalam perbahasan kerangka usuliy (prinsip asas hukum) tidak pernah menyatakan menolak hudud apatah lagi mengingkarinya, apa yang diperbahaskan dalam kerangka Ahkam Syar’iyyah (hukum syara’) ialah keseluruhan hikmah pensyariatan antara berusaha memenuhi sebab, menyempurnakan syarat dan menghindari halangan ataupun diberi status penangguhan. Ibnu Al Qayyim Al Jauziyah dalam I’lam Muwaqqaien dalam tajuk “Perubahan dan Perbedaan Fatwa Berdasarakan Perubahan Waktu, Tempat, Kondisi dan Niat serta Sesuatu Yang Terjadi Kemudian” memberi empat contoh bagaimana ia berlaku. Asasnya ialah menurut beliau;

  • “Ini adalah pasal yang besar sekali manfaatnya, banyak sekali terjadi kesalahan besar terhadap syariat yang justeru menimbulkan dosa, kesulitan dan pembebanan sesuatu yang sebenarnya syariat sendiri tidak menetapkan hal yang demikian…syariat membawa keadilan dan rahmat dan kemaslahatan bagi kesemuanya sehingga setiap masalah yang keluar dari keadilan menuju kesesatan dari rahmat menuju kepada sebaliknya, hikmah kepada kekacauan maka yang demikian itu bukanlah bagian dari syariat meskipun masuk ke dalamnya takwil” (lihat I’lamul Muwaqi’in, Ibnu Qayyim, terjemahan Asep Saefullah FM & Kamaludim,) ms 459, Darul Fajr, Kuala Lumpur, 2000).
Premis Kedua

Premis kedua sebagaimana dipersetujui adalah persoalan dalam menafsirkan dan memahami apakah realiti, konteks dan permasalahan yang dihadapi apabila kita meletakkan isu hudud dalam konteks kuasa dan infrastrukturnya. Kita boleh berbeza pandangan dalam menetapkan apakah syarat kepada perlaksanaan hudud tercapai atau tidak. Kita juga boleh berbicara dan berbahas apakah keutamaan yang lebih utama yang hendak kita tumpukan sebagaimana kita juga boleh berbahas dan berbeza pandangan tentang konsekuensi perlaksanaan kepada persediaan kefahaman, reaksi musuh Islam dan persediaan proses keadilan menurut acuan Islam dan kaedah pembuktiannnya. Tidak salah untuk kita berbeza pandangan dalam hal ini dan ia tidak menggugurkan Aqidah kita asalkan premis pertama disepakati terlebih dahulu.

Tahqiq Al Manat (تحقيق المناط) (proses merealisasikan hukum) adalah paksi perbahasan yang mungkin menerima berbagai pandangan. Ia adalah melihat kepada illah (faktor)  atau hikmah mengapa sesuatu hukum itu ditentukan dan pada ketika ianya tidak tercapai maka perlaksanaan sesuatu hukum itu perlu diberi penelitian yang diiktirafi oleh syara’ penangguhannya.

Article-23-Abdullah-Bin-Bayyah-Syaikh Abdullah Bin Bayah, seorang ulama terkenal dunia menamakan pemimpin, presiden negara atau parlimen sebagai penentu Tahqiq Al Manat bagi melihat realiti negara dan implikasinya samada menangguh atau melaksanakan. Syaikh Abdullah Bin Bayyah memberi dalil kes-kes zaman Nabi dan sahabat seperti saranan Ibnu Al Qayyim dalam waktu perang, kesukaran hidup dan ancaman musuh sebagai alasan untuk mencapai keputusan Tahqiq Al Manat samada melaksanakan atau tidak hudud (lihat Syaikh Abdullah bin Bayyah, Tanbih al-Maraji’ fi Ta’sil Fiqh al-Waqi’, Dar al-Tajdid li Nasyr wa Tawzi’).

Di sinilah perbahasan yang tuntas diperlukan dan bukan mentakfirkan atau menuduh seseorang muslim lain sebagai anti-hudud asalkan perkiraan tersebut menjadi perbahasannya. Lainlah jikalau seseorang mengingkari dan mengatakan hudud sudah tidak relevan dan mengajak orang menolaknya maka ia adalah keluar dari kedua-kedua premis yang dibincangkan. Bagi bukan Islam mereka perlu difahamkan bahawa hudud tidak boleh dibuang dari kamus orang Islam dan ia adalah tanggungjawab kerana jika salah mereka memahaminya umat Islam akan terganggu dengan pandangan mereka.

Rumusan

Tulisan ini adalah untuk memberikan isu hudud pada tahap pemikiran yang berobjektif berpandukan kepada panduan syariat dan bukan perbahasan emosi yang menghodohkan wajah Islam itu sendiri.

Setiap perkiraan dalam perlaksanaan adalah usaha bercermat dengan prinsip-prinsip usul yang ditetapkan oleh manhaj syariat Islam. Bermudah dalam isu hudud tanpa memberi gambaran tujuan syariat atau maqasid syariah yang lebih besar adalah terdedah kepada tuduh menuduh yang boleh membawa kepada mendokong kelompok Takfiri (mengkafirkan orang lain).

Alangkah sedihnya isu hudud dikuasai oleh golongan yang mengambil mudah lantas merosakkan erti kemuliaan dan kerahmatan Islam. Lebih buruk ia terdorong atas kepentingan politik semata-mata dengan menjadikan hudud sebagai taruhan meraih sokongan dan bukan diberi perspektif berpandukan disiplin ilmu yang mahal harganya.

Penulis Artikel ini ..
Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa merupakan Ahli Parlimen Parit BuntarPerak Darul Ridzuan dari PAS dan merupakan anak kepada Al-Mursyidul Am PAS yang pertama iaitu Allahyarham Tuan Guru Yusof Rawa. Beliau merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat. Bapa beliau Yusuf Rawa merupakan Presiden PAS dari 1982 hingga 1989.
Pendidikan
Kerjaya
  • Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang (2007- )
  • Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS (2005- )
  • AJK PAS Pusat (2005- )
  • AJK Pemuda PAS Pusat (2001-2005)
  • Yang Dipertua PAS Kawasan Bayan Baru, Pulau Pinang
  • Tenaga Pengajar Masjid dan Surau
  • Guru Bahasa Arab
  • Petugas Sukarela Bantuan Islam Antarabangsa
  • Pensyarah Universiti Multimedia, Melaka Bandar Raya Bersejarah (1999-2004) Universiti Multimedia

Politik

Bertanding kali pertama di Jasin, Melaka pada tahun 1999 dan seterusnya di Tasek Gelugur, Pulau Pinang pada tahun 2004. Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 beliau mengalahkan calon dari Barisan Nasional - UMNO, Senator Datuk Abdul Raman Suliman dengan majoriti sebanyak 7,551 undi. Beliau memperolehi 21,221 undi berbanding lawannya memperolehi hanya 13,670 undi.

Meneruskan perniagaan keluarga dalam bidang penerbitan buku yang mana beliau merupakan pengarah urusan syarikat tersebut iaitu Safir IImu Sdn Bhd di Bayan Baru, Pulau Pinang. Selain aktiviti politik beliau juga terlibat dalam aktiviti keilmuan seperti menyampaikan kuliah-kuliah agama di seluruh negara terutama dalam bidang sirah dan beliau juga telah menulis hampir 10 buah buku antaranya ialah Dakwah dan Tarbiah (1992), Masjid dan Peranannya (1993), Khilaf Satu Fenomena (1994), Global View of Islam (1996), Moral Ethica of Study (2000) dan Permata dari Pulau Mutiara (2003) (IH)

Lihat sbelum ini..

Isu Hudud, 1 Hingga 3

Isu Hudud, 1 Hingga 3 
E-Buku IH-88: Hudud, Perspektif Baru Atau Goncang PR?

2 comments:

Anonymous said...

Adalah lebih baik selesaikan dahulu hakikat kalimah bacaan alQuran "alIslam" yang hari ini hanya difahami dari sudut takwilan saja kepada lisan arabic "Salaamun, Salama, Salmi, Sullami, Istaslama, sebelum perkara hudud dijadikan modal politik...
1) Apa itu Islam (alIslam)...
2) Siapa berkuasa menguatkuasakan Islam pada mana2 anak Adam ?
3) Pada bahagian mana jasad anak Adam ituIslamNya bersarang ?
4)Kepada apakah anak Adam itu menguatkuasakan IslamNya ?
5) Bagaimana menjadi Islam yang benar disisi Allah (alQuran) ?
6) Bagaimana gugur dari Islam ?
7) gugur dari islam jadi apa ?

Kalau hakikat kalimah bacaan alQuran "alIslam, lil-Islam" pun belum mengenal, maka amat jaggal lah untuk membicarakan tentang Hudud...
... Padahal kalimah bacaan alQuran "Hudud" itu tidak sama sekali berupa hukum, sebalikNya Had : Batas : Sempadan hukum Allah, manakala hukum adalah "Ahkam, Hakam, Pahkum, Litahkum...
Apakah Had : Batas : Sempadan hukum Allah (alQuran) itu ???

Anonymous said...

tugas manusia patuh pada perintah Allah yang akan menentukan kesannya adalah Allah

Allah lebih tahu hal hal manusia sampai bila pun tak kan hidup aman sebab itu hukum jenayah Islam perlu dijalankan disamping urusan hidup seharian

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails