Friday, April 24, 2015

Peguam Azilah Tarik Diri Kes Saman Keluarga Altantuya (32)

LIHAT pendedahan ini, Perdana Menteri Najib perlu letak jawatan?    
E-Buku IH-102: Pendedahan Ini, PM Akan Letak Jawatan?
E-Buku IH-102: Pendedahan Ini, PM Akan Letak Jawatan?

PEGUAM Datuk Hazman Ahmad menarik diri daripada mewakili bekas anggota Unit Tindakan Khas Cif Inspektor Azilah Hadri dalam kes saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya Shaariibuu berhubung kematian wanita Mongolia itu.
  
Hazman memaklumkan perkara berkenaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Suraya Othman ketika kes itu disebut di dalam kamarnya hari ini.
  
Ketika dihubungi pemberita, peguam itu memberitahu keputusan untuk menarik diri dibuat berikutan beliau tidak mendapat arahan daripada Azilah berhubung kes saman itu.
  
Bagaimanapun, Hazman berkata Suraya meminta beliau mengemukakan permohonan untuk menarik diri secara rasmi pada tarikh pengurusan kes saman itu pada 29 Mei.
  
Sementara itu, peguam Ram Karpal Singh, yang mewakili keluarga Altantuya, memberitahu pemberita mahkamah memerintahkan pihaknya memfailkan permohonan bagi membuat pindaan ke atas pernyataan tuntutan anak guamnya.

"Mahkamah arahkan pihak kami failkan permohonan selewat-lewatnya 28 Mei sebelum tarikh pengurusan kes pada 29 Mei ini," katanya.
  
Selain Ram dan Hazman, peguam C.F. Kwan hadir bagi pihak penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar hadir bagi pihak kerajaan Malaysia.
  
Pada 4 Jun 2007, bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan ibu wanita Mongolia itu, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Koperal Sirul Azhar Umar, Abdul Razak dan kerajaan Malaysia, menuntut pampasan RM100 juta.
  
Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006.
  
Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri sementara Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.
  
Bagaimanapun, pada 13 Jan lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah, serta menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.
  
Dalam kenyataan tuntutan, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.
  
Mereka mendakwa Altantuya telah ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C-4 oleh Azilah dan Sirul Azhar manakala cebisan mayatnya ditemui di satu kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 7 Nov 2006.
  
Keluarga itu mendakwa Abdul Razak bersubahat dengan kedua-dua anggota polis terbabit untuk membunuh Altantuya.
  
Keluarga Altantuya mendakwa akibat daripada perbuatan Azilah, Sirul Azhar dan Abdul Razak, mereka mengalami kehilangan dan kerugian terutama kedua-dua anak lelaki Altantuya yang kehilangan kasih sayang ibu serta satu-satunya pencari nafkah untuk mereka.
-Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails