Thursday, November 21, 2013

Syariah: PAS Telah Tunai Kewajipan, Tahniah Brunei!




SHAH ALAM: PAS telah menjalankan kewajipannya yang diarahkan oleh Allah apabila telah menjadikan undang-undang jenayah Islam sebagai sebahagian daripada undang-undang negeri di Kelantan pada tahun 1993 menerusi Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Terengganu pada tahun 2003 menerusi Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003.

Demikian ditegaskan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Datuk Tuan Guru Harun Taib dalam ucaptama pada muktamar tahunan dewan itu kali ke-52 di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini pagi ini.

Teks beliau dibacakan oleh timbalannya, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pada muktamar yang bertemakan ‘Ulama Haraki Menangani Fasad Mengisi Kemenangan’.

Tambahnya, tinggal lagi kewajipan kerajaan pusat untuk memberikan laluan mudah bagi kedua-dua kerajaan ini melaksanakannya.

“Sejak 1992 lagi saya menegaskan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II tidak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia dan boleh dilaksanakan di Kelantan,” ujarnya.

Justeru, DUPP menggesa negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat juga berusaha mengikut jejak langkah Kelantan dan Terengganu.

Sehubungan itu, ujarnya Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada kerajaan Brunei Darussalam yang telah mewartakan undang-undang jenayah Islam sebagai undang-undang negara baru-baru ini.

“Kita berdoa agar Allah berikan kekuatan kepada mereka dalam berhadapan dengan tekanan masyarakat antarabangsa yang sudah tentu tidak menyenangi undang-undang jenayah Islam,” ujarnya.

Beliau berkata, sangat memalukan apabila Malaysia sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dalam keadaan majoriti rakyatnya adalah muslim sehingga kini masih berdolak-dalih dan tidak berusaha melaksanakan kewajipan yang diarahkan oleh Allah ini.

Maka, kata beliau menjadi kewajipan Ulamak Haraki untuk kehadapan membicarakan kewajipan masyarakat Islam menerima dan melaksanakan undang-undang jenayah Islam yang terbukti berjaya menjaga kehormatan nyawa dan harta benda manusia.

Katanya, seminar dan kolokium menjelaskan kebaikan dan keadilan Islam menerusi Hudud dan Qisas perlu dipergiatkan hingga akhirnya bukan sahaja masyarakat Islam sedar kewajipan mereka malah bukan Islam juga menyedari bahawa mereka juga perlu menerima kebaikan undang-undang Islam ini.

Beliau menambah, amat malang kerajaan dilihat masih belum bersedia untuk kembali kepada undang-undang jenayah Islam merangkumi Hudud dan Qisas termasuk juga diyat dalam menghadapi situasi jenayah berat yang mengancam keselamatan nyawa dan harta benda. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails