Monday, November 18, 2013

Najihatussalehah Azam Tembusi Melayu Luar Bandar


 
KL: Latar belakang dan pengalaman bergelumang dengan masyarakat Melayu di luar bandar menjadikan Dr Najihatussalehah Ahmad terpanggil untuk menawarkan khidmat sebagai Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS.

Beliau yang dicalonkan untuk jawatan nombor dua dalam sayap itu berazam untuk mencari jalan konkrit menembusi 'pasaran' golongan masyarakat berkenaan.

"Gabungan antara pemimpin pelbagai latar belakang dan budaya perlu diletakkan secara sistematik supaya Dewan Muslimat PAS boleh menjadi rujukan untuk wanita di luar sana.

"Oleh itu, Dewan Muslimat perlu berstrategi bukan sekadar untuk memenuhi taqwim tahunan parti dengan merancang program yang inovatif," jelasnya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas calon Dun Belanja pada PRU13 lalu berkata, agenda tarbiyah bersifat dalaman parti dan pengisian ilmu untuk masyarakat akan diperkemas sekiranya diberi kepercayaan untuk jawatan tersebut.

"Kerja-kerja tarbiyah tidak boleh dipandang sebelah mata. Modal insan yang ada dalam jemaah perlu cukup dibekalkan ilmu supaya biar badai melanda, jiwa muslimat tetap utuh.

"Ini penting supaya objektif PAS untuk mewujudkan masyarakat yang memahami tentang keperluan menegakkan negara berasaskan syariat Allah dapat dilaksanakan," ujarnya lagi. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails