Monday, November 18, 2013

Suhaizat Kayat Yang Saya Kenali – Amran Ahmad


Saya mengenali Suhaizan Kayat sekitar tahun lewat 90an, ketika beliau bertugas sebagai tutor di Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat, Universiti Teknologi Malaysia dan saya sebagai pelajar di universiti yang sama.

Beliau seorang yang berani dan lantang menyuarakan pendapat dan pandangan terhadap isu-isu semasa dalam dan luar negara. Beliau ketika itu sememangnya rapat dengan kepimpinan PAS dan NGO di Malaysia namun tetap menjalankan tugasnya dengan baik sehingga memperolehi Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Sains Komputer dan seterusnya dilantik sebagai pensyarah.

Badai melanda UTM pada tahun 2001 melalui kes pendedahan Wan Norhayati (Wanti) yang telah memfitnah gerakan Islam di kampus UTM sebagai gerakan militan dan bersenjata yang menyebabkan gerakan Islam di kampus seluruh Malaysia diserang dan hampir dijumudkan.

Beberapa pensyarah di UTM telah dituduh dan dipanggil untuk dibicarakan kerana disyaki terlibat dalam parti PAS. Ada pensyarah mengaku bersalah dan ada yang tidak mengaku bersalah dalam perbicaraan tersebut.

Namun, Suhaizan telah mengambil langkah drastik meninggalkan perbicaraan yang sedang berlangsung ke atasnya dan meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah di UTM. Tindakan ini dibuat selari dengan pendirian yang tidak membenarkan dirinya dibicarakan dalam sistem yang tidak adil dan jelas mahu membunuh semangat juang anak muda dalam gerakan Islam.

Bermula saat itu, beliau terlibat aktif dalam Dewan Pemuda PAS di Gelang Patah dan Negeri Johor. Betapa sukarnya menembusi kampung-kampung yang ada di sekitar Gelang Patah pada ketika itu. Ada masanya ceramah beliau hanya dihadiri enam orang sahaja. Ada masanya dihalau penduduk kampung walaupun kampung mereka telah tergadai kepada projek Pelabuhan Tanjong Pelepas ketika itu.

Namun, beliau tabah dengan dugaan ini. Sebagai seorang exco DPPNJ ketika diketuai Mazlan Aliman, beliau telah menjadi pelengkap yang signifikan kepada Mazlan ketika itu. Gerakan menggempur kampung-kampung dan Felda di sekitar Johor yang karat Umno bukanlah suatu yang kerja yang mudah. Ketabahan dan ketokohan beliau akhirnya membuatkan beliau dipilih bertanding dalam pilihan raya atas tiket PAS.

Beliau pernah bertanding di parlimen Parit Sulong, Simpang Renggam dan DUN Kempas dalam beberapa siri PRU. Dalam PRU13 yang lalu, Suhaizan telah diberikan kepercayaan untuk bertanding di parlimen Simpang Renggam dan DUN Kempas sekaligus. Kepercayaan sebegini lazimnya hanya diberikan oleh parti kepada tokoh tertentu dalam PAS seperti Presiden, Naib Presiden dan beberapa figura penting.

Ini menunjukkan kepercayaan yang tinggi telah diberikan oleh Majlis Syura Ulama PAS dan PAS itu sendiri kepada beliau.  Beliau juga dalam masa yang sama telah diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor dan seterusnya Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat. Di peringkat Nasional, beliau meneruskan agenda menggempur Umno melalui pelbagai isu.

Namun, isu yang signifikan daripada sentuhan beliau adalah isu tanah dan PPSMI. Dua diisu ini menyebabkan Umno terkedu sehingga memaksa PPSMI dimansuhkan. Keupayaan beliau melibatkan tokoh-tokoh pendidik dan ilmuan seperti Pak Samad Said dalam menggerakkan isu PPSMI adalah suatu pencapaian yang bukan kebiasaan dalam PAS.

Kematangan dan ketokohan beliau menyebabkan banyak NGO semakin mesra dengan PAS dan bersama membentuk satu gelombang rakyat menentang kezaliman Umno di Malaysia. Isu pentarbiyyahan dan kefakehan calon Ketua Pemuda PAS dalam bidang agama kini mula didendangkan oleh pihak tertentu. Lebih jauh lagi, ada pula yang mendendangkan isu “kejelasan akidah” dalam gerakan dengan menggambarkan mereka yang tidak berlatar-belakangkan pengajian agama belum tentu jelas akidahnya.

Subhanallah, saya tidak pernah berjumpa kempen sebegini sejak mengenali PAS pada awal tahun 90an. Ramai tokoh-tokoh bukan ulama dari Johor seperti Salehuddin Ayob dan Mazlan Aliman kini cemerlang perkhidmatannya kepada PAS. Suhaizan telah melalui pendidikan agama formal di sekolah agama kerajaan negeri Johor sehingga tahap darjah khas.

Untuk makluman semua, darjah khas adalah pencapaian tertinggi dalam sistem persekolahan sekolah agama kerajaan negeri Johor. Suhaizan juga sering mendalami pengajian agama melalui siri usrah, kuliah dan ceramah samaada anjuran PAS dan kumpulan yang cintakan Islam.

Selain tarbiyyah formal, beliau juga telah melalui tarbiyyah amali dengan cemerlang melalui ujian dan dugaan dalam perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran. Pengorbanannya meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah universiti bukan suatu yang boleh dipandang ringan. Ramai ustaz-ustaz pada ketika itu memilih untuk melalui jalan selamat, tetapi beliau telah memilih untuk melalui jalan perjuangan sebagai pilihan. Dikala masyarakat kampung gelap ilmu agama dan maklumat semasa, beliau dan beberapa pemuda terus kental menggempur dan memberi sinar pengetahuan kepada mereka.

Ketika para ustaz lebih gemar menjadikan Mercedes dan kereta mewah sebagai mercu “dakwah” mereka, Suhaizan hanya bergerak kesana kemari menerobos kampung dan pedalaman hanya dengan Proton Saga yang telah selesai hutangnya. Itulah Suhaizan yang saya kenali sejak dahulu.

Dengan pengalaman, kesetiaan dan kesungguhan dan pengorbanan beliau dalam kerja-kerja Islam; selain latar belakang pendidikan yang baik serta keterbukaan beliau bersama NGO dan masyarakat diluar lingkungan PAS dan masyarakat bukan Islam, maka saya berasa Suhaizan adalah calon terbaik untuk jawatan ketua dewan Pemuda PAS Malaysia untuk sesi akan datang. – 18 November, 2013.

* Penulis adalah sahabat lama Suhaizan yang kini adalah pensyarah kanan di sebuah IPTA Malaysia. Suhaizan adalah calon ketua Pemuda PAS dalam muktamar PAS ke 59.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails