Wednesday, November 20, 2013

Hudud: Bukan Desak Negeri PR, Tapi Desak K'jaan M'sia -PAS


KUALA LUMPUR: Merujuk kepada laporan-laporan mengenai usul ‘Negeri pentabiran PR akan didesak laksana hudud’, PAS ingin menjelaskan bahawa terdapat kesilapan kepada laporan-laporan tersebut.

Usul yang diterima dengan pindaan untuk perbahasan ialah untuk mendesak Kerajaan Malaysia agar melaksanakan undang-undang Syariah dan membantu mana-mana negeri yang inginkan perkara yang sama untuk melaksanakannya.

“Ia bukanlah usul yang fokus pada negeri-negeri Pakatan Rakyat semata-mata,” jelas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Katanya, umum mengetahui, halangan kepada terlaksananya undang-undang Islam ada di tangan kerajaan pusat yang diterajui Umno. Oleh itu, jelas beliau tidak munasabah untuk PAS mendesak negeri-negeri Pakatan Rakyat sahaja untuk melaksanakan undang-undang Syariah tatkala Kelantan masih menghadapi pelbagai cabaran perundangan yang menjadi penghalang selama ini.

Beliau berkata, hasrat untuk melaksanakan undang-undang Syariah bukan sahaja daripada kerajaan Kelantan yang diterajui PAS.

“Kita mesti memahami kewajipan melaksanakannya adalah kewajipan bagi umat Islam dan pemimpin negara,” ujarnya lagi.

Kerana itu, kata beliau ada usul daripada beberapa PAS kawasan yang mencadangkan agar pihak kerajaan pusat tidak menghalang mana-mana negeri yang ingin melaksanakan sistem perundangan Islam untuk menangani masalah rasuah, riba, salahguna kuasa, jenayah dan ketidakadilan ekonomi, sama ada negeri di bawah Pakatan Rakyat atau di bawah Barisan Nasional, untuk dibahaskan di Muktamar ke-59 ini.

Menurutnya, Adun Umno dari Dun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat pernah menyatakan hasratnya untuk melihat undang-undang Syariah dilaksanakan di negeri Johor. Tambah beliau lagi, seperti kata Ahli Parlimen Ketereh dari Umno, Tan Sri Annuar Musa umat Islam wajib berusaha untuk memastikan hukum Syariah ini berjaya direalisasikan.

Namun begitu, katanya PAS menggalakkan bahawa negeri-negeri yang ingin melaksanakan undang-undang Syariah untuk mempersiapkan diri dari sudut infrastruktur dan sebagainya sesuai dengan bidang kuasa kerajaan negeri.

Lihat..
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails