Tuesday, October 22, 2013

Seni Budaya: Presiden PAS Komen Filem 'Semerah Padi' P Ramlee.

Mat Sabu menyuapkan kek hari jadi kepada Abdul Hadi. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 21 Oktober, 2013.



HALAMAN HIBURAN 

"BUDAYA adalah fitrah manusia," kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di majlis perbincangan soal seni budaya dan dialog bagaimana mahu melawan budaya cetak rompak yang menzalimi industri muzik tempatan, di KualaLumpur malam tadi.

Dengan diketuai sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau berbincang bagaimana mahu meningkatkan industri ini di samping meletakkan industri muzik di jalan yang tepat. Bersama mereka adalah para penyanyi, pelakun, pembuat filem, budayawan, karyawan termasuk kartunis dan penyair tanah air.

Antaranya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, tokoh sains dan matematik Profesor Shahrir Mohd Zin, budayawan Dinsman, penyanyi Mel dari kumpulan Wing, kartunis Zunar dan lain-lain nama besar lagi.
Turut serta adalah pelakon Abby Abadi dan suaminya serta penyanyi Wan Aisyah.

Antara pemimpin PAS yang menyertai dialog budaya ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib-naib Presiden Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar di samping dua exco kerajaan negeri Selangor.

Mel, Zua dari kumpulan XPDC dan juga Blank dari kumpulan rock Gamma telah membuat persembahan secara live di depan para pimpinan PAS termasuk Abdul Hadi.

Presiden PAS itu menyokong aktiviti kebudayaan yang tidak bercanggah dengan Islam. Namun, katanya, ada juga kebudayaan yang digunakan sebagai alat untuk merosakkan nama baik Islam.

"Misalnya filem Semerah Padi lakunan P Ramlee yang dibuat semasa zaman penjajahan dahulu. Ia sengaja memberikan nama tidak baik kepada hukum hudud," kata Abdul Hadi kesal kerana filem itu tidak memberikan gambaran yang betul tentang syariat Islam sehingga menakutkan orang terhadapnya.

"Mana ada mereka gunakan keperluan empat saksi untuk jatuhkan hukuman hudud?" kata beliau merujuk kepada filem yang memberikan gambaran salah tentang perundangan Islam itu.

Hadir juga di majlis itu, Exco kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab dengan pendidikan, Dr Halimah Ali dan  Pengerusi Lajnah Seni dan Budaya PAS, Dr Muhaimin Sulam.

Menurut The Malaysian Insider, "PAS keluar dari kebiasaannya malam tadi apabila berbincang soal seni dan budaya sambil berdialog bagaimana mahu melawan budaya cetak rompak yang menzalimi industri muzik tempatan."

"Syabas Dr Muhaimin Sulam., teruskan masuk ke alam remaja bersama ruh Islam!" komen weblog Ibnu Hasyim.
(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails