Thursday, October 24, 2013

Pemilihan Presiden PAS: 2 Pencalonan, 1 Ditolak, Mengapa?



KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat menerima dua pencalonan untuk jawatan Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan ke-59 tahun ini.

Pengerusinya, Asmuni Awi bagaimanapun memberitahu, satu daripada pencalonan itu ditolak kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan. Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Pusat Media PAS, Jalan Raja Laut, di sini hari ini.

Katanya, jumlah borang pencalonan yang diterima sebanyak 134 kawasan tetapi ditolak 31. Ini, jelasnya menjadikan borang yang sah dan diterima hanya 103 borang untuk pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Asmuni memaklumkan pihaknya menerima enam pencalonan, tetapi hanya lima yang diterima iaitu Datuk Husam Musa, Mohamad Sabu, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Salahuddin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Manakala, bagi jawatan Naib Presiden PAS pula, 12 pencalonan dibuat tetapi yang diterima hanya 10 iaitu Datuk Abu Bakar Chik, Datuk Husam Musa, Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mahfuz Omar, Mohamad Sabu, Datuk Mohd Amar Abdullah, Dr Mujahid Yusof Rawa, Nasruddin Hassan, Salahuddin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bercakap kepada media, Asmuni berkata calon-calon yang disenaraikan ini boleh mengambil sendiri borang penerimaan pencalonan bermula 28 Oktober ini, sebelum jam 2 petang. Bagaimanapun, kata Asmuni sekiranya calon-calon tersebut tidak berbuat demikian, pihak jawatankuasa akan menghantar borang penerimaan tersebut secara pos ekspres kepada mereka.

"Kita juga akan menghubungi mereka secara terus untuk bertanyakan sekiranya mereka menerima borang penerimaan pencalonan tersebut atau sebaliknya bagi memastikan calon-calon tahu mereka dicalonkan," kata Asmuni. Tarikh akhir beri jawapan 8 November

Sementara itu, semua calon tersebut perlu memberikan jawapan kepada Jawatankuasa Pemilihan pada 8 Nov sebelum jam 5 petang, sama ada bersedia untuk bertanding atau menarik diri. Berbeza dari peraturan sebelum ini, Asmuni menegaskan,  bagi pemilihan kali ini setiap calon perlu memberikan jawapan pada tarikh yang ditetapkan itu.

"Ia berbeza kerana sebelum ini, mana-mana calon yang tidak memberikan jawapan sama ada menerima atau menarik diri, dianggap sebagai terima.  Tetapi, untuk kali ini, kami menetapkan setiap calon yang gagal berbuat demikian (memberi jawapan pengesahan  untuk bertanding) sebagai tidak layak untuk bertanding," tegas beliau.

Tambah Asmuni, jawatankuasa juga akan mengadakan satu lagi prosedur saringan selepas menerima jawapan pengesahan bertanding daripada calon-calon iaitu bagi memastikan calon yang bertanding tidak berstatus muflis. Turut serta pada sidang media tersebut Pengarah Muktamar PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan. Muktamar PAS kali ke-59 akan diadakan pada 22 hingga 24 Nov, di Shah Alam, Selangor yang menyaksikan para perwakilan akan memilih pemimpin tertinggi parti bagi sesi 2013-2015. (Sumber Hrkh)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mengapa  2 Pencalonan Presiden,  tetapi 1 ditolak?  Kita tunggu jawapannya.

Lihat lanjut.. E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013 E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails