Tuesday, February 19, 2013

Tanah Untuk Rakyat, PAS Pahag Tangani Masalah..



KUALA LIPIS: Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam melancarkan Kempen Tanah Untuk Rakyat yang digerakkan selama sebulan untuk menangani permasalahan tanah yang tertunggak dan terabai sejak puluhan tahun.

Pada majlis yang diadakan di Taman Bakti, Padang Tengku itu, turut diedarkan borang aduan tanah di mana sebanyak 200 borang habis dalam masa yang singkat. Borang tersebut akan diproses dan diambil tindakan oleh Sekretariat Bertindak Tanah PAS Pahang yang baru ditubuhkan.

Tuan Ibrahim berkata, sekretariat tersebut ditubuhkan susulan tawaran Pakatan Rakyat (PR) Pahang yang menyediakan lot-lot kediaman, tanah kebun dan tanah ladang Felda Plantation yang telah diumumkan semasa Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau Disember lalu.

Sebelum ini rakyat negeri Pahang dikatakan menghadapi masalah birokrasi ketika berurusan memohon tanah yang telah diusahakan, mereka terpaksa menempuh antara 20 ke 30 meja di pejabat tanah, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) serta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Akibatnya, untuk pelupusan tanah kerajaan difahamkan terpaksa memakan masa antara 10 hingga 20 tahun. Turut menjadi rungutan ialah prosedur pembangunan tanah seperti pindah milik urusniaga hartanah, tukar syarat, pecah sempadan dan pecah lot yang dikatakan setakat ini memakan masa dua hingga tiga tahun.

“PR akan selesaikan semua masalah berkaitan tanah dan permudahkan semua urusan sebaik saja diberi mandat memerintah negeri ini,” kata Tuan Ibrahim selepas menerima borang aduan daripada yang hadir.

Sementara itu, Pengarah Sekretariat Bertindak Tanah PAS Pahang Yohanis Ahmad, berkata borang aduan tanah boleh dimuat turun dari blog tanahrakyat.blogspot.com dan kempen tersebut akan berjalan selama sebulan. Selain borang, semua permasalahan juga boleh diemelkan kepada aduantanah@gmail.com . (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails