Friday, February 08, 2013

Rogol, Lumpuhkan Dg 'Tangan Besi. -KDN India.


MASALAH kekurangan polis wanita di India perlu diatasi segera bagi membantu mengendalikan kes berkaitan rogol dan kewanitaan.

MENTERI Dalam Negeri India, Sushil Kumar Shinde berkata, India perlu melumpuhkan jenayah terhadap kaum wanita dengan 'tangan besi'.

"Kes rogol hingga mengakibatkan kematian seorang pelajar pada Disember lalu memberi impak yang besar terhadap negara ini. Justeru, sebagai permulaan, kerajaan mahu lebih ramai wanita direkrut sebagai anggota untuk bertugas di setiap balai polis yang terdapat di New Delhi," tegas Shinde.

Berikutan itu, Shinde telah mengadakan satu mesyuarat tergempar bersama pegawai-pegawai penguat kuasa undang-undang dari seluruh India untuk mempertimbangkan kaedah bagi meningkatkan perlindungan terhadap kaum wanita. Beliau memberitahu perwakilan bahawa keseluruhan sistem perlu dinilai semula.

"Tragedi sebegini dan kemarahan terhadap wanita serta kelemahan penguatkuasaan undang-undang dalam masyarakat, tidak boleh diterima untuk sistem demokrasi yang kita laksanakan. Ia perlu dibendung segera," ujar beliau. 

Kenyataan itu senada dengan kenyataan yang dilontarkan peguam bela Mahkamah Agung, Priya Hingorani yang mengatakan: "Walaupun pendidikan dari semasa ke semasa boleh menggalakkan kesaksamaan gender dan membantu mengubah pemikiran, pada pandangan saya, literasi undang-undang ialah keperluan utama saat ini."

Sebelum itu, Shinde mengumumkan bahawa setiap daripada 166 balai polis di seluruh New Delhi akan mempunyai pegawai wanita yang boleh ditemui setiap masa. Selain itu, lebih ramai wanita akan direkrut di seluruh negara untuk bergelar anggota polis. Buat masa ini, kebanyakan balai polis di bandar tersebut tidak mempunyai wanita sebagai kakitangan mereka. Lantaran itu, sesetengah pegawai berkata, situasi tersebut menyebabkan mereka sukar untuk membantu mangsa wanita.

TUNJUK perasaan dan bantahan terhadap jenayah rogol di India semakin mendapat perhatian masyarakat dunia. 

"Dalam hal ini, setiap balai polis perlu memiliki sekurang-kurangnya sembilan pegawai wanita untuk menjadikan mereka lebih prihatin kepada keperluan golongan Hawa," tambah Shinde.

GANGGUAN seksual terhadap wanita India sering berlaku terutama di dalam pengangkutan awam seperti komuter. 

Dalam pada itu, pihak berkuasa mengumumkan siri kaedah kawalan keselamatan yang bertujuan untuk menjadikan bandar tersebut lebih selamat. Ini termasuk melakukan lebih banyak rondaan malam oleh polis, pemeriksaan terhadap pemandu bas dan pembantu mereka serta mengharamkan langsir atau cermin gelap pada kenderaan awam seperti bas.

Kerajaan juga telah menubuhkan satu jawatankuasa seliaan hakim bersara Mahkamah Agung untuk mengesyorkan perubahan pada undang-undang antirogol. Tidak ketinggalan, satu talian bantuan telah dilancarkan untuk wanita yang berada dalam kesusahan. Ia disambungkan terus ke balai polis di seluruh bandar.

Dalam perkembangan lain, sejak berlakunya kes rogol Jyoti, seorang perunding kecantikan, Geeta Misarvan, 34, mengakui dia akan cuba pulang kerja lebih awal dan melahirkan rasa tidak percaya terhadap keupayaan polis untuk melindunginya.

"Tiada tempat di negara ini yang selamat. Saya bimbang dengan masa depan anak perempuan saya yang membesar di sini. Sudah pasti dia akan berdepan masalah dan risiko sama yang saya hadapi setiap kali meninggalkan rumah," keluh Misarvan. (IH)

Lihat setrusnya..

E-Buku IH-64: Rogol Di India
E-Buku IH-64: Rogol Di India

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails