Thursday, February 07, 2013

P/Legenda Mohd Ali Tidak Nazak -May May Ali



AP GAMBAR fail menunjukkan Ali (kanan) di sebuah stadium di New Orleans pada 2 Januari lalu.

NEW ORLEANS - Seorang anak perempuan kepada petinju legenda Muhammad Ali menafikan khabar angin tentang bapanya itu sedang nazak.

Dia menyatakan bahawa bapanya itu berada di rumah menonton satu perlawanan bola sepak Amerika semasa khabar angin itu tersebar. Anak petinju legenda itu, May May Ali berkata, dia telah bercakap dengan bapanya melalui telefon pada pagi Ahad lalu dan dia berada dalam keadaan sihat. 

Katanya, dia sedang menonton perlawanan di rumahnya di Arizona dengan memakai sehelai jersi pasukan Baltimore Ravens.

"Dia berada dalam keadaan sihat. Suaranya kedengaran baik.
"Khabar angin seperti ini akan datang sekali-sekala tetapi ia tidak membawa apa-apa makna buat mereka," katanya menerusi telefon.

Keluarganya kemudian telah memuat naik sekeping gambar Ali di laman Twitter. Gambar itu memaparkan Ali sedang duduk di atas sebuah kerusi dengan memakai sehelai baju Ray Lewis. Khabar angin itu tersebar selepas sebuah akhbar tabloid Britain memetik kenyataan adik Ali iaitu Rahman yang menyatakan bahawa bekas juara tinju dunia itu semakin nazak.

Laporan kematian Ali itu juga telah tersebar secara meluas di internet. Terdapat ucapan takziah di laman sosial Twitter dan Facebook ekoran khabar angin itu dianggap sebagai benar. Ali turut mengalami masalah penyakit Parkinson. Dia menyambut ulang tahun kelahiran ke-71 pada bulan lalu.
Ali merupakan juara heavyweight dunia sebanyak tiga kali. - Agensi

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Peninju legenda Muhammad Ali adalah seorang pejuang Islam di Amerika. Muhammad Ali lahir di Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat. Namanya mengikuti nama ayahnya, Cassius Marcellus Clay, Sr. Ali kemudian menukar namanya selepas bergabung dengan Nation of Islam dan akhirnya memeluk Islam Sunni pada tahun 1975.  

Terinspirasi oleh Malcolm X untuk bergabung dengan Nation of Islam, dan diberi nama Muhammad Ali oleh tokoh NO 1, Ellijah Muhammad.  Muhammad Ali secara tegas menentang penglibatan Amerika Syarikat dalam perang Vietnam. Beliau menentang peraturan wajib jadi tentera ke Vietnam, sehingga dihukum lima tahun penjara. 

Namun selepas suatu keputusan dalam satu sidang dan menjalani hukuman penjara tiga tahun, hukuman tersebut dibatalkan. Antara kesannya sehingga kini, Islam lebih banyak dipeluk oleh kalangan Afro-American berbanding penduduk dari kulit putih. Apalagi dengan adanya perbezaan ras yang ternyata masih kental. Namun kewujudan muslim Afro-American ini sedikit sebanyak turut mewarnai benua Amerika dengan warna Islam. 

Jumlah penduduk USA sekarang dianggarkan 308 juta dan yang beragama Islam dianggarkan hanya sekitar 3 juta sahaja, atau sekitar 1%. Jumlah ini sangat minoriti, dan sayangnya rata-rata mereka hidup tertindas. Terutama setelah peristiwa runtuhnya menara WTC 11 September 2001.


Sila lihat..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails