Tuesday, February 05, 2013

Akta Laut Wilayah Jejas Kedaulatan Sabah


 
KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Sabah menyifatkan penggubalan rang undang-undang berkaitan pelantar benua dan dasar laut di negeri ini sebagai satu cubaan halus yang menghapuskan secara halus hak dan kedaulatan negeri.
Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, akta yang diluluskan pada April 2012 lalu telah menghapuskan hak dan kuasa kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang sudah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Meskipun akta ini adalah bertujuan menetapkan lebar laut wilayah Malaysia, namun ianya perlu dilihat juga sebagai satu akta yang bakal menghapuskan hak dan kuasa kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang sudah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan dipelihara dalam Perkara 2 Perlembagaan Malaysia.

“Ini sekaligus menyaksikan kedaulatan, kehormatan dan hak kerajaan Negeri Sabah bakal ‘hilang’ buat selama-lamanya,” ujar beliau.

Menurutnya, telah ada satu ordinan yang berkaitan sempadan Negeri Sabah yang meliputi pelantar benua dan dasar laut serta tanah dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Dalam Section (2) of the North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.

“di sini apa yang tercatat dalam bahasa Inggerisnya, the boundaries of the colony of North Borneo are hereby extended to include the area of the continental shelf being the seabed and its subsoil which lies beneath the high seas contiguous to the territorial waters of North Borneo... maksudnya sudah jelas mengenai satu-satu perlembagaan dan akta,” jelasnya.

Katanya, rang undang-undang Laut Wilayah 2012 turut menafikan hak Kerajaan Negeri Sabah dan rakyatnya seperti mana yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia.

“Dalam perkara 2, Perlembagaan Malaysia ada menyebut mengenai pengubahan sempadan mana-mana negeri yang tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri tersebut.

“Dalam kes ini, adakah penguatkuasaan akta baru tersebut sudah melalui perbincangan dan saringan dan kelulusan di peringkat Dewan Undangan Negeri Sabah,” soalnya.

Beliau turut menyentuh mengenai dua seksyen dalam Akta Laut Wilayah 2012 yang menunjukkan had wilayah laut di semua negeri di Malaysia termasuk sabah dan Sarawak.

“Dua seksyen utama yang terkandung dalam akta ini, iaitu Seksyen 3 dan Seksyen 4 yang menghadkan wilayah laut di semua negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak hanya kepada tiga batu nautika, berbanding dengan kuasa Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang meliputi keseluruhan pelantar benua.

“Dua seksyen dalamyang baru diperkenalkan ini dilihat ingin menghapuskan secara halus kedudukan istimewa, kuasa negeri dan hak Negeri Sabah dan Sarawak ke atas pelantar benua tersebut,” ujarnya.

Jelasnya, akta tersebut juga telah menjejaskan kedaulatan Sabah termasuk dalam soal pembayaran royalti petroleum.

“Royalti petroleum akan tertakluk kepada hanya ehsan Kerajaan Persekutuan semata-mata dan tidak lagi wajib dibayar sebagai satu kewajipan dalam perjanjian,” jelasnya.

Pemuda PAS Sabah katanya, meminta wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) menyatakan pendirian mereka dan menolak akta ini.

“Buka setakat  Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak patut menolak akta ini, malah setiap wakil ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah dan Sarawak perlu menyatakan pendirian mereka terhadap akta ini.

“Rakyat di kedua-kedua buah negeri Sabah dan Sarawak diajak untuk bersama-sama mempertahankan kuasa dan hak sedia ada ini bagi menjamin sebuah negeri yang berdaulat, berprinsip dan tidak mudah dijadikan bahan eksploitasi mana-mana pihak,” tegas beliau. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails