PANDAN JAYA: Semasa gangguan air di Lembah Klang 
tempoh hari, seorang warga emas, Muhamad Din, terpaksa bersaing dengan 
penduduk lain di pangsapurinya untuk mendapat sebaldi air daripada lori 
tangki Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Meskipun tinggal di aras bawah Blok M2 Pangsapuri Pandan Jaya, 
kekuatan lelaki berusia 70-an ini tidak cukup untuk beliau beratur 
panjang menunggu giliran dan berulang alik ke lori tanker. Kesal dengan krisis itu, beliau menulis sepucuk surat kepada Perdana 
Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid 
Ibrahim untuk tindakan susulan.
Muhamad terpaksa menjaga isteri yang sakit dan seorang anak kelainan upaya (OKU).
“Saya susah betul bila air tiada. Isteri saya ada dirumah pula sakit pada ketika itu. Perihal air jangan dibuat main.
“Lori tanker memang ada tapi tak dapat. Saya pun tak larat nak 
angkat. Mujur orang ramai bagi ruang untuk saya ambil air dulu,” katanya
 dengan nada sayu kepada TVSelangor dan pegawai Pejabatu DUN Cempaka 
yang bertemu beliau hari ini.
Muhamad antara setengah 
juta penduduk di Ampang, Cheras dan Gombak 
yang terputus bekalan air dari 29 Disember hingga ke 15 Januari. Ia 
berpunca daripada kegagalan pam di rumah pam Wangsa Maju yang diuruskan 
Syabas. Siasatan Jawatankuasa Pemantau Bekalan Air Selangor mendapati 
kegagalan pam tersebut adalah disebabkan Syabas tidak menyelenggaranya 
dengan baik.
Muhamad berharap masalah air tidak dijadikan modal 
permainan politik pihak berkepentingan kerana ia keperluan harian 
rakyat. “Saya berharap ia (gangguan air) tidak berulang lagi.
Jelasnya, beliau menulis surat berkenaan secara 
peribadi tanpa melibatkan pihak lain. Lebih menyedihkan, beliau 
menguruskan isteri tersayang yang 
bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan kini berada di Hospital 
Ampang. Beliau menyara anak dan isterinya dengan bantuan wang pencen 
bekas tentera berjumlah RM1,000 sebulan. (IH) 

 
 

No comments:
Post a Comment