Sunday, January 20, 2013

Warga M'sia Antara 15 Mayat Tawanan Rentung?


 SEORANG tebusan yang cedera menerima rawatan di hospital selepas dibebaskan oleh pasukan militan semalam.


SEORANG tentera Algeria berada di satu pos kawalan yang terletak 10 kilometer dari kompleks gas In Amenas di mana militan menahan puluhan tebusan warga asing.

15 mayat rentung ditemui di kompleks gas Algeria
ALGIERS - Pasukan tentera khas Algeria semalam menemui 15 mayat rentung di kompleks pemprosesan minyak dan gas di In Amenas yang diserang oleh kumpulan militan pada Rabu lalu. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti mayat-mayat berkenaan selepas tentera Algeria melancarkan operasi menyelamatkan tebusan yang terdiri daripada warga asing dan Algeria.

Punca kematian masih belum dapat dipastikan. Lebih 20 orang warga asing masih dalam tahanan atau hilang di dalam kompleks terbabit ketika krisis tebusan memasuki hari keempat. Bilangan dan nasib tebusan yang terselamat atau terbunuh belum dapat disahkan. Laporan menyatakan jumlah tebusan yang maut adalah antara 12 hingga 30 orang. Mereka terdiri daripada warga Norway, Jepun, Britain dan Amerika Syarikat (AS).

Satu sumber keselamatan Algeria memberitahu seramai 30 orang tebusan, termasuklah sekurang-kurangnya tujuh warga Barat dan 18 orang militan terbunuh dalam operasi tentera Algeria pada Khamis. Pemimpin-pemimpin dari Britain, Jepun dan beberapa negara lain melahirkan kekecewaan atas operasi tentera Algeria yang dibuat tanpa sebarang rundingan.

Ketua kumpulan pengganas yang menyerang kompleks berkenaan dikenali sebagai Abdul Rahman al-Nigeri, seorang pejuang veteran dari Nigeria, lapor agensi berita Mauritania. Pasukan tentera dilihat mengepung kompleks itu sambil beberapa buah helikopter memantau keadaan. Serangan itu dibuat bagi menuntut operasi tentera Perancis di Mali dihentikan. - Reuters

Sementara itu menurut Kosmo Online ..

MIRI - Seorang rakyat Malaysia menceritakan, dia terselamat daripada menjadi tebusan kumpulan militan yang menawan loji gas di In Amenas, Algeria dengan bersembunyi di atas bumbung bangunan sebelum berlaku serangan berdarah yang mengorbankan puluhan orang pada Rabu lalu.

Patrick Purait Awang, 40-an, yang berasal dari Miri, Sarawak sempat memanjat bumbung sebaik sahaja terdengar bunyi siren amaran di loji milik syarikat BP itu. Menurut kakak mangsa, Susan Awang, perkara itu dimaklumkan oleh adiknya itu dalam perbualan dengan isterinya pada Jumaat lalu.

"Patrick memberitahu dia selamat dan meminta keluarga tidak bimbang," kata Susan ketika ditemui di rumahnya di Kanada View Garden di sini semalam.

Dalam kejadian itu, seramai 60 pemberontak lengkap bersenjata menyerang dan menawan loji tersebut dan menjadikan 150 pekerja termasuk lima rakyat Malaysia sebagai tebusan. Bagaimanapun, Patrick berjaya melepaskan diri lebih awal manakala dua lagi, K. Ravi dan Lau Seek Siang diselamatkan dalam serangan balas tentera Algeria sehari kemudian. Serangan ke atas loji tersebut dipercayai tindakan balas militan terhadap kerajaan Algeria yang membenarkan ruang udaranya digunakan pesawat tempur Perancis untuk menyerang pemberontak di Mali.

Menurut Susan, dalam perbualan tersebut, Patrick sempat memberitahu dia dalam perjalanan ke Kedutaan Malaysia di Algeria bagi mendapatkan perlindungan keselamatan. "Isteri Patrick yang sebelum ini jatuh sakit kini beransur pulih selepas mendapat berita suaminya selamat," ujarnya.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataannya semalam menjelaskan, Kedutaan Malaysia di Algeria sedang berusaha membawa pulang tiga rakyat Malaysia itu dalam masa terdekat. Mereka bagaimanapun belum dapat mengesahkan nasib dua lagi tebusan, Chong Ngen Chung dan Tan Ping Wee.
"Pihak kami seantiasa menghubungi keluarga mangsa untuk menyampaikan perkembangan terkini," kata kenyataan itu.
pix_topright

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Adakah terdapat warga Malayia antara 15 mayat tawanan yang ditemui rentungdi Algeria itu?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails