Saturday, January 26, 2013

40% Calon Muda, Bukan Islam, Muslimat.. PRU 13

K/TERENGGANU - Pas akan menampilkan lebih 40 peratus calon daripada golongan muda yang berusia 40 tahun ke bawah, di samping penambahan kerusi Muslimat dan menampilkan calon bukan Islam buat kali pertama dalam sejarahnya, pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13). Lapor Sinar Harian hari ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, secara keseluruhannya lebih kurang 25 peratus calon muda itu adalah calon baru bagi parti itu. Menurutnya, antara pembaharuan terbesar yang dibuat ialah menampilkan calon bukan Islam daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), atas tiket Pas dan menampilkan ramai calon Muslimat, sebagai pengiktirafan kepada golongan itu.
 
“Sebelum ini ada penyokong Pas yang bertanding tetapi mereka menggunakan lambing parti lain. Tetapi untuk PRU13 ini, Majlis Syura Ulama Pas sudah bersetuju untuk membenarkan non-Muslim mewakili dewan himpunan.
“Rasionalnya pemilihan calon bukan Muslim ini ialah mereka adalah calon daripada DHPP dan mereka sudah menerima prinsip-prinsip dasar perjuangan Pas. Selain itu, kita sudah semak latar belakang mereka dan jika elok dan mampu jadi pemimpin, kita pilih,” katanya ketika ditemui Markas Pas Kuala Ibai di sini, semalam.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas menerima calon bukan Islam disebabkan komitmen mereka dalam dewan himpunan, untuk mewakili Pas. Beliau turut menegaskan bahawa ia bukan disebabkan faktor ketandusan calon Melayu, sebaliknya ia bagi ‘melawan’ calon MCA atau MIC serta di kawasan majoriti non-Muslim.

“Ada juga yang kawasan Melayu tetapi kedudukan non-Muslim ramai, kita tempatkan juga. Mereka ini (calon) adalah orang lama dan terlibat aktif dalam pilihan raya yang lepas. Kita ada kira-kira 35,000 ahli DHPP seluruh negara. Majoritinya adalah India dan Cina, termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ketika ditanya mungkin ada halangan dalam kalangan Pakatan Rakyat (PR), Tuan Ibrahim menjelaskan, kesemua calon non-Muslim ini bertanding di kerusi Pas dan tiada halangan daripada PR keran tidak melibatkan kerugian kepada calon PR. Selain itu, beliau berkata, hampir 95 ke 98 peratus pembahagian kerusi antara PR sudah selesai, cuma ada beberapa kerusi yang belum diputuskan dan dijangka akan selesai minggu ini.

Beliau menyatakan pada sidang media selepas merasmikan program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di Markas PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai semalam.

DHPP sebagai sayap parti PAS yang baru, mempunyai keahlian seramai 35,000 orang di kalangan bukan Melayu dan bukan Islam. Dalam PRU12 pada 2008, PAS Johor meletakkan calon wanita bukan Islam, Kumutha Raman, pemegang ijazah undang-undang dari Britain, bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tiram dalam kawasan Parlimen Johor Baharu. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails