Saturday, January 19, 2013

Gaji RM425,000 Sebulan Pun Gagal Urus Air S'ngor


 
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

KEMASKINI
KUALA LUMPUR: Meskipun gaji beliau sekurang-kurangnya RM425,000 sebulan, Pengerusi Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail gagal menangani isu gangguan air baru-baru ini.

Ini berikutan kenyataan Syabas kepada media pada 9 Januari bahawa gangguan bekalan air di Ampang, Cheras dan Gombak hanya dapat dipulihkan pada perayaan Tahun Baru Cina pada 10 Februari.

Bagaimanapun, apabila kerajaan negeri campur tangan dengan melakukan pemantauan terhadap kerja-kerja pembaikan, gangguan air dapat dipulihkan pada Jan 15 – empat minggu lebih awal daripada perangkaan Rozali. Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ini membuktikan Rozali gagal menguruskan bekalan air di Selangor dengan baik, lapor Selangorku.

“Saya beritahu Datuk Seri Najib Razak supaya beri hak urus air Selangor kepada kerajaan negeri.
“(Kerana) kita mampu urus air lebih baik dan mementingkan kepentingan pengguna berbanding Syabas,” ujar Abdul Khalid di hadapan lebih seribu hadirin dalam Majlis Makan Malam Kutipan Dana Pilihan Raya di sebuah restoran di Petaling Jaya malam tadi.

Sebaliknya menurut Abdul Khalid, Najib enggan menyerahkan hak pengurusan air kepada kerajaan negeri kerana lebih mengutamakan kepentingan kroni mereka berbanding kepentingan rakyat Selangor. Abdul Khalid turut menyelar tindakan Syabas yang sebelum ini bertindak menyaman Kerajaan Negeri yang tidak membenarkan mereka menaikkan tarif air di Selangor.

Pada 29 Disember, kira-kira 500,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur, Gombak dan Ampang mengalami gangguan bekalan air selama lebih dua minggu akibat kegagalan pam di rumah pam Wangsa Maju. Syabas didakwa cuai kerana kesemua lima pam termasuk dua pam simpanan untuk gantian di masa kecemasan turut rosak.

Pada 8 Januari, dilaporkan bahawa Rozali berkata gangguan bekalan di ketiga-tiga tempat itu hanya akan selesai pada Tahun Baru Cina. Sehari selepas itu, Kerajaan Selangor berkata ia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah itu dalam seminggu. Pada 15 Januari, hampir semua pengguna di kawasan yang terjejas mendapat bekalan air.
 
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Air: Pusat Dolak Dalih,S'ngor Bawa Ke Mahkamah?
KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri berhasrat untuk membawa isu penstrukturan semula industri air di Selangor ke mahkamah sekiranya ia masih belum menemui jalan penyelesaian. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu mungkin akan dilakukan untuk membuat semakan kehakiman jika Kerajaan Pusat masih berdolak-dalik dalam isu tersebut.

“Saya akan tulis surat (kepada Kerajaan Pusat berhubung hasrat menjalankan penyusunan semula industri air),” katanya selepas menghadiri Majlis Dialog Industri, di sini, semalam.

Hadir sama, Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah air di Selangor. Abdul Khalid berkata, pihaknya kini menghantar pegawai pakar untuk membantu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi memastikan operasi air dapat diuruskan dengan betul.

“Sebab itu setiap tiga hari sekali, akan ada pengumuman dalam akhbar untuk memaklumkan keadaan status pengurusan air. Kerajaan Negeri akan pantau keadaan ini supaya kita diberitahu tentang keadaan sebenar.
“Bukan itu saja, kita juga menambah nilai pengurusan supaya tidak lagi pam-pam air yang rosak dibiarkan begitu saja,” katanya.

Beliau menyifatkan, isu air yang dimainkan banyak pihak kebelakangan ini menunjukkan bahawa program penswastaan air yang dijalankan di Selangor itu gagal dan ia hanya boleh diselesaikan menerusi penyusunan semula air seperti yang termaktub di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Air membenarkan pelaksanaan itu mengikut WSIA.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu tidak berhasrat untuk campur tangan dalam usaha Kerajaan Negeri mengambil alih pegangan ekuiti dalam syarikat-syarikat konsesi terlibat memandangkan ia transaksi komersial di antara kedua-dua pihak yang sewajarnya dilaksanakan berdasarkan konsep 'willing buyer', 'willing seller', seperti model holistik yang dihasratkan Kerajaan Selangor. (SH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails