Sunday, December 30, 2012

Pelajar Dirogol Di N/Delhi, Mati Di S'pura.


ORANG RAMAI memegang sepanduk bagi mendesak perogol wanita itu dihukum mati dalam satu tunjuk perasaan di New Delhi, India semalam.

NEW DELHI - Seorang pelajar perubatan yang dirogol beramai-ramai tanpa perikemanusiaan di sini meninggal dunia di sebuah hospital di Singapura semalam dengan para pemimpin India merayu orang ramai agar bertenang dan tidak melakukan bantahan jalanan yang ganas.

Polis mengadakan kawalan ketat di pusat bandar raya ini selepas berita kematian pelajar berusia 23 tahun itu tersebar. Mangsa dilaporkan meninggal dunia pada pukul 4.45 pagi semalam setelah menjalani rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak dua hari lalu.

Dia dibawa ke hospital berkenaan yang memiliki kepakaran dalam melakukan pembedahan pemindahan organ itu pada Khamis lalu selepas dirawat selama 10 hari di sebuah hospital di ibu kota India di sini. Mengetuai penghormatan kepada pelajar itu yang tidak didedahkan identitinya, Perdana Menteri Manmohan Singh berkata, beliau memahami gelombang tunjuk perasaan yang tercetus susulan kejadian pada 16 Disember lalu.

"Kita telah lihat emosi dan kemarahan rakyat susulan insiden ini," kata Manmohan dalam satu kenyataan.
"Kita faham reaksi sebegini daripada golongan muda di India dan warga India yang benar-benar mahu perubahan dilakukan," tambahnya.

Pelajar perempuan itu diserang semasa dia bersama seorang rakan lelakinya menaiki sebuah bas sekolah yang dicuri enam lelaki mabuk pada 16 Disember lalu. Bukan sahaja dirogol beramai-ramai, malah mangsa turut diserang menggunakan sebatang besi sebelum dicampak keluar dari bas yang sedang bergerak bersama kawan lelakinya. Polis dan pihak pendakwa raya memberitahu, pada hari kejadian, kedua-duanya baru keluar dari sebuah panggung wayang. Rakan lelakinya turut diserang dalam insiden tersebut.

Menurut pihak berkuasa, bas bercermin gelap itu berjaya melepasi beberapa pos pemeriksaan polis sebelum kedua-dua mangsa dicampak keluar dari kenderaan berkenaan. Mayat pelajar itu dijangka diterbangkan ke India lewat semalam dengan diiringi oleh ibu bapanya yang berada di sisi mangsa semasa dia menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan.

"Dia mengalami kegagalan organ ekoran kecederaan serius pada badan dan otak," kata ketua eksekutif hospital berkenaan, Dr. Kelvin Loh.
"Mangsa cekal dan terus berjuang untuk hidup tetapi trauma pada badannya terlalu teruk untuk diatasi." tambahnya.

Kejadian rogol beramai-ramai berlaku setiap hari di India dengan ramai mangsa enggan membuat laporan polis kerana kurang percayakan sistem perundangan negara di samping bimbangkan reaksi negatif daripada pegawai polis lelaki. Namun, serangan amat kejam itu menyebabkan kemarahan orang ramai menggelegak dan mendorong pemerintah menjanjikan keselamatan lebih baik kepada wanita serta hukuman lebih berat untuk jenayah seks.

Pihak polis pula dikritik hebat kerana menggunakan kekerasan dalam usaha menyuraikan protes berkaitan serangan berkenaan termasuk kerap menggunakan gas pemedih mata dan meriam air. Dalam perkembangan berkaitan, enam lelaki yang ditangkap berhubung serangan itu didakwa kerana membunuh semalam dengan mereka berdepan hukuman mati jika didapati bersalah.

Sementara itu Pesuruhjaya Tinggi India ke Singapura, TCA Raghavan berkata, keluarga mangsa amat bersedih dengan kematian anak perempuan mereka. "Namun, mereka berharap kematiannya akan menjadi titik-tolak kepada masa depan yang lebih baik untuk wanita di sini dan India keseluruhannya," kata Raghavan.(Kosmo)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails