Wednesday, June 27, 2012

Warga Korea Ini Pilih Islam. Mengapa?


Gambar hiasan: Antara "girly punk" dan "pelawak terhebat"

HAMPIR tiga dekad lalu, Lee Kwang Sun, 53, membuat keputusan paling besar yang telah merubah kehidupannya kini. Warganegara Korea Selatan itu memeluk agama Islam dan memilih nama Abd. Hafiz Lee Kwang Sun.
Pada masa itu, keputusan memeluk Islam tidak dipengaruhi oleh sesiapa kerana tiada seorang pun ahli keluarganya meninggalkan agama asal mereka iaitu Buddha. Dengan keputusan tersebut, Abd. Hafiz menjadi sebahagian daripada golongan minoriti di negara berkenaan.
Menyorot kehidupan sebagai seorang mualaf di Korea, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Abd. Hafiz untuk mendalami agama Islam. Masjid dan surau pula sukar ditemui di negara yang mempunyai kira-kira 100,000 penganut beragama Islam.
“Tiga tahun selepas memeluk Islam iaitu pada tahun 1984, saya ditawarkan menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan,” Abd. Hafiz mengimbas detik awal penghijrahannya ke Malaysia.

Takdir yang tertulis memungkinkan Abd. Hafiz bakal menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Malaysia apabila bertemu jodoh dengan seorang wanita mualaf Korea yang juga penuntut UIAM.
Wanita tersebut, Lee Hyea Sun, atau nama Islamnya Sophia Abdullah, 49, menjadi suri hatinya selepas Abd. Hafiz menamatkan pengajian.
“Malaysia menjadi tanah terbaik untuk kami membina kehidupan dan keluarga kerana di samping penerimaan masyarakat, agama Islam mudah dipraktikkan di sini. Lagi pun di sini ada pusat Islam, masjid dan surau pun boleh ditemui di merata-rata tempat,” katanya.

Kini, hampir tiga dekad Abd. Hafiz dan isterinya menetap di One Ampang Avenue yang terletak bertentangan pusat beli-belah Ampang Point. Dia dikurniakan dua cahaya mata, Muhamad Lee Seung Jae, 20, dan Sharif Lee Seung Ho, 18.
Selain menjalankan perniagaan perdagangan, Abd. Hafiz merupakan Pengerusi Persatuan Korea di Malaysia. Persatuan tersebut sudah empat dekad beroperasi. Beliau menyandang jawatan pengerusi yang ke-33 sejak lima tahun lalu.
“Apabila tinggal di sini, kami perlu menghormati budaya, undang-undang dan rakyat Malaysia serta belajar menerima cara hidup masyarakat di sini,” ujarnya fasih bertutur bahasa Melayu.

Keputusan Abd. Hafiz tidak menetap di Korea bukan sahaja dipengaruhi faktor agama. Bahkan, beliau sudah jatuh cinta dengan Malaysia terutama makanannya.
“Saya tidak sanggup meninggalkan Malaysia lama-lama jika pulang ke Korea untuk menziarahi keluarga atau atas urusan perniagaan,” ujarnya yang sering merindui nasi lemak setiap kali pulang ke Korea.
Menceritakan pengalaman awalnya di UIAM, Abd. Hafiz sanggup berlapar sehingga seminggu dan hanya makan makanan segera kerana tidak suka dengan makanan masyarakat Malaysia yang kelihatan pelik dan sangat ringkas.
“Di Korea, kami biasanya dihidangkan dengan tujuh hingga lapan hidangan sampingan dan nasinya agak melekit. Peringkat awal, saya rasa cukup pelik dengan nasi lemak kerana ia dihidangkan bersama kacang tanah.
“Tetapi, lama-kelamaan saya tidak tahan untuk makan nasi dan terpaksa makan nasi lemak kerana ia mudah didapati di kampus. Tak sangka, saya sangat menyukainya dan kini ia menjadi makanan kegemaran saya,” katanya.
Abd. Hafiz mengakui beliau tidak begitu merindui Korea kerana restoran Korea mudah didapati di Malaysia selain isterinya juga mahir memasak masakan Korea. “Selain nasi lemak, saya juga menyukai nasi yang dimakan bersama ikan, sambal belacan, sayur campur dan kuah kari ayam di restoran mamak,” tambahnya.
Dalam pada itu, demi menghormati Malaysia, Persatuan Korea di Malaysia turut mengadakan kelas bahasa Melayu pada setiap hujung minggu. Kelas tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
“Walaupun tiada masalah komunikasi kerana rata-rata rakyat Malaysia boleh bertutur di dalam bahasa Inggeris, ramai orang Korea mahu belajar bahasa Melayu supaya dapat memahami budaya dan tradisi orang Malaysia.
“Kelas bahasa Melayu tersebut mendapat tunjuk ajar daripada profesor di Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Kang Kyoung Seok yang terkenal sebagai pakar tulisan jawi,” katanya.
Kebanyakan bangsa Korea di Malaysia adalah ekspatriat yang bekerja di syarikat-syarikat Korea Selatan seperti syarikat permotoran Hyundai, bisnes restoran atau menjalankan perniagaan perdagangan.
“Di Malaysia, terdapat kira-kira 20,000 orang Korea termasuk 5,000 pelajar. Orang Korea mudah menerima cara hidup di sini kerana Korea dan Malaysia adalah negara Asia, justeru perbezaannya tidak begitu ketara. (IH/Pelbagai sumber)

Lihat sebelum in..
E-Buku IH-43: Kisah-kisah Saya Pilih Damai... Islam
E-Buku IH-43: Kisah-kisah Saya Pilih Damai... Islam 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails