Thursday, June 28, 2012

Ku Renung Bangunan MPPP, Teringat Tokoh2 PAS..



CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

KEBETULAN saya dapat melihat program 'Perhimpunan Hijau dan XPresi Anak Muda' Pulau Pinang pada 24 Jun lalu melalui atas sebuah hotel, di tepi Padang Haji Ahmad Badawi, Butterworth. Padang Bangunan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang  bersejarah, di mana di situlah PAS ditubuhkan pada tahun 1951.

Padang yang masih digunakan sekarang, begitu anggun bila dilihat pada malam hari kerana lampu-lampu yang menghiasinya, mencorakkan padanan warna yang cukup menawan. Arahan dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar bangunan lama dipelihara begitu tepat sekali, sebab ianya mempunyai seni reka bentuk yang unit.

Asal bangunan lama dicat dan diperindahkan sebegitu rupa sesuai dengan Georgetown yang mendapat pengisytiharan sebagai 'Bandaraya Warisan' dari UNESCO tiga tahun lalu. Mana-mana bangunan lama tidak kira ia berteraskan penjajah Inggeris atau bangsa lain seperti Melayu, Cina dan India perlu ndipelihara kesenian yang terpahat lama dengan baik.



 Gambar-gambar di atas, Bangunan Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang bersejarah.. 

Saya turun ke padang itu lepas solat asar, kebetulan bertemu Setiausaha PAS Balik Pulau, rakan lama, Cikgu Taufek. Dia mengatakan bahawa Ustaz Saleh Man Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang ada di pentas, dan memang saya berjanji akan menemuinya melalui telefon tadi. Maka saya ke pentas dan dia nmenjemput saya naik dan duduk di sisinya, bila saudara Omar memberi laluan. Terima kasih Umaq!

Dia bersebelahan sebaris dengan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi, Hu Pang Chou Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS. Di belakang ada YB Nasir ADUN Kedah dan beberapa lagi. Al-hamdulillah, memang saya sudah lama tidak bertemu Ustaz Saleh. 

Majlis terus berlalu dengan nyanyian lagu dan nasyid disertai acara lelong dan sebagainya, sebagai perencah penyedap hidangan di majlis.

Gambar di bawah Ustaz Saleh Man, Pesuruhjaya PAS P.Pinang sekarang, sedang berceramah.
Ku renung terus bangunan lama itu lagi.. Ia mengingatkanku kepada pemimpin-peminpin PAS Pulau Pinang peringkat awalan, yang sudahpun pergi meninggalkan dunia ini. Antaranya..

1. Haji Mansur JP.: Nama sebenar Haji Mansur bin Haji Hasan Kwantung. Ayahnya beragama Islam, Islam asal dari negara China, berambut panjang bertocang. Rumahnya di tengah pekan Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau mendirikan sistem pendidikan Islam pondok yang pertama di pulau, tidak termasuk Seberang Prai, di kawasan surau simpang 3 Bayan Lepas, Kampung Seronok dan Teluk Kumbar.

Surau tersebut masih ada sampai sekarang. (Sumber temuramah Ibnu Hasyim dengan anak bongsunya Hj Murshid di awal 1990an. Rujuk buku Ibnu Hasyim: Krisis UMNO-PAS, Penyelesaian Menurut Islam ??). Hj Mansur JP berjawatan sebagai Naib Yang Di Pertua Aguang PAS yang pertama selepas penubuhan PAS pada tahun 1951. (Rujuk buku Ibnu Hasyim: 1950-200 PAS Kuasai Malaysia?)

2. Hj Ahmad Badawi: Beliau adalah menantu kepada Haji Mansur JP. Ayah kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Hj Ahmad Badawi. Ada kenyataan menyebutkan beliau adalah penaja Pemuda PAS dan menjadi ketua Pemuda yang pertama. Tetapi akhirnya beliau kembali kepada UMNO.

3. Ustaz Ahmad Azam. Berketurunan Banjar, menjadi penaja Persatuan Banjar di Malaya. Beliau menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang pertama dan dihantar menjadi Pesuruhjaya PAS Terengganu yang pertama selepas di Pulau Pinang. Terengganu pernah ditawan PAS dalam pilihan raya 1959 di zaman pentadbiran beliau. Beliau pernah menjadi Naib Persatuan Ulama Malaysia.

4. Tuan Hj Ahmad Tuan Husin: Berketurunan Banjar asal Pontianak Indonesia. Beliau adalah tuan guru Pondok Pengajian Islam di Pokok Sena Pulau Pinang, Pernah menjadi Ahli Parlimen PAS pertama dalam pilihan raya umum pertama 1955 di Malaya. Waktu itu PAS memenangi 1 Kerusi Parlimen di Kerian Perak, dan 1 kerusi DUN (Semanggul) Perak.

5. Tuan Hj Yusuf Rawa: Menjadi Pesruhjaya PAS Pulau Pinang selepas Ahmad Azam. Pernah mengalahkan Dr Mahathir bekas Perdana Menteri Malaysia, dalam pilihan raya umum di Kedah (sebelum Dr Mahatihi menjdi PM). Menjawat jawatan tertinggi dalam PAS sebagai Yang Di Pertua Agung PAS dan Mursyidul Am.

6. Hj Zabidi Ali: Menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, dan ahli parlimen tunggal PAS Pulau Pinang, sejak Kerajaan Campuran PAS/BN hingga Anwar Ibrahim masuk UMNO mengalahkan beliau. Di zaman mudanya, beliau terkenal sebagai pelopor Kampung Pertanian.

7.  Ustaz Hamdan Abdul Rahman: Menjadi Pesuruhjaya PAS sebelum yang sekarang. Menjadi ADUN tunggal PAS di DUN Pulau Pinang sehingga beliau meninggal dunia.


Begitulah antara tokoh-tokoh PAS Pulau Pianang dalam kenangan. Perjuangan mereka untuk menegakkan agama Allah, melalui partiNya atau parti Islam, bagi negara Malaysia tercinta. Al-hamdulillah!


Catatan Santai Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

P.Pg  25 Jun 2012

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails