Thursday, November 10, 2011

Haji: Najib Tak Faham Selesai Wukuf Dg Selesai Haji?


SEPANG, 10 Okt 11: Kenyataan Twitter Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Ahad lalu bahawa beliau telah selesai menunaikan ibadah haji sedangkan masih ada rukun haji yang belum dilaksanakan ketika itu telah disalah tafsir, kata Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sambil menolak sebarang andaian kononnya Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa kenamaan lain tidak selesai mengerjakan ibadah haji, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sebagai tetamu diraja kerajaan Arab Saudi, Perdana Menteri serta jemputan yang lain dapat menjalankan ibadah dengan baik.

Bercakap kepada pemberita sejurus tiba dari Tanah Suci di KLIA di sini hari ini, Jamil Khir (gambar) dipetik Bernama Online berkata, Perdana Menteri dan rombongan telah mendapat kawalan yang baik dan teratur bagi menyempurnakan semua ibadah semasa mengerjakan haji.

“Yang dimaksudkan (dalam Twitter Perdana Menteri), bukan selesai ibadat haji (tetapi) selesai wukuf. Wukuf ini dari Zohor 9 Zulhijjah sehingga Maghrib hari yang sama. Jadi yang dimaksudkan selesai itu, selesai wukuf.

“PM selesai (menunaikan ibadah haji). Haji ialah kita mesti pergi di Arafah. Kalau kita tidak berada di Arafah, maka tiadalah haji itu.

“Jadi pada petang itu mungkin... barangkali soalan itu ditanya petang itu... selesai itu, selesai arafah. Haji itu belum selesai lagi.

“Kita masih ada untuk nak melontar selama tiga hari pada hari-hari Tasyrik. Jadi ini yang mungkin disilap faham,” kata beliau.

Bernama dalam laporannya Ahad lalu berkata, Najib dan Rosmah selesai menunaikan ibadah haji bersama jutaan umat Islam lain.

“Alhamdulillah urusan haji kami sudah selesai,” kata Perdana Menteri menerusi laman Twitternya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di Malaysia. Najib dan Rosmah ialah antara 28,000 rakyat Malaysia yang menyempurnakan ibadah haji tahun ini.

Menunaikan rukun Islam kelima itu bersama Perdana Menteri ialah ibu beliau, Tun Rahah Mohamad Noah dan adik Najib, Datuk Mohamed Nazim serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Isu itu timbul apabila Mufti Perlis Dr Juanda Jaya melahirkan rasa agak terkejut dengan laporan berita bahawa seorang pemimpin kanan negara bersama isterinya serta orang kenamaan lain telah selesai ibadat haji.

Juanda berpendapat bahawa sedangkan paling awal jemaah haji akan menamatkan ibadat mereka adalah pada waktu Zohor Selasa lalu, itupun jika mereka melakukan nafar awal iaitu setelah selesai bermabit di Mina malam 11 dan 12 Zulhijjah dan melontar tiga jamrah pada dua hari berkenaan.

“Haji hanya akan selesai paling awal pada 12 Zulhijjah atau Selasa 8 November. Bagi yang melakukan Nafar Thani dan mahu melengkapkan tempoh bermabit dan melontar di Mina mereka akan selesai haji pada 9 November bersamaan 13 Zulhijjah.

“Melainkan kalau yang berkenaan tidak mahu menyelesaikan urusan wajib haji yang dua di atas dan hanya mahu membayar dam atau denda akibat tidak selesaikan wajib haji. Itu hal lain,” kata mufti itu.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Samada PM Najib salah faham antara selesai wukuf di Arafah dengan selesai haji. Atau beliau salah tulis tetapi yang penting, bukan salah tafsir. (IH)

IKLAN: Seluar Dalam Ajaib -Baik Untuk lelaki.
Seluar Dalam Ajaib

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails