Monday, January 17, 2011

MPSJ: Saya Bukan Anti Islam -Ronnie Liu


KL, 17 Jan 11: Ronnie Liu menegaskan pendiriannya membantah keputusan melarang umat Islam bekerja di premis-premis menjual alkohol bukan bermakna beliau seorang yang “anti-Islam”. Liu menjadi sasaran media pro-Umno dan juga pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) ekoran arahannya agar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) agar menarik balik larangan tersebut yang dikuatkuasakan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom kelmarin mendakwa Liu menghina Islam dengan mengeluarkan arahan sedemikian. Dalam responsnya hari ini, Liu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor berkata, dakwaan seumpama itu sangat tidak adil.

“Sangat tidak adil bagi (Datuk Seri) Jamil melabelkan saya sebagai anti-Islam... saya prihatin dengan golongan muda yang bekerja untuk menyara kehidupan mereka.

“Jika mereka kehilangan kerja, bank dan syarikat kewangan akan mencari mereka... maka, bolehkah Jamil membantu bayar bil mereka dan mendapatkan pekerjaaan bagi mereka yang dihentikan kerja?” kata Liu

“Siapa beliau (Jamil) untuk mengutuk saya? Beliau bukan ketua agama. Yang di-Pertuan Agong dan Sultan adalah ketua agama Islam, bukannya beliau,” tambah Liu.

Difahamkan ramai Exco Kerajaan Negeri tidak gembira dengan keputusan terbaru itu. Liu mempertahankan bahawa keseluruhan Exco Kerajaan Negeri bersetuju untuk menarik balik keputusan itu sementara satu kajian yang mendalam dijalankan meskipun Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Hasan Ali, yang bertanggungjawab kepada soal agama berkata beliau menyokong penuh keputusan MPSJ.

Awal minggu lalu, MPSJ memutuskan untuk membatalkan lesen perniagaan permis yang melanggar Enakmen Jenayah Syariah Selangor, yang melarang umat Islam bekerja di premis-premis yang menjual alkohol. Liu berkata, pendirian kerajaan negeri tidak bersetuju dalam perkara itu menghantar mesej tegas bahawa pihak berkuasa tempatan “perlu berfikir sebelum bertindak.”

“Saya merasakan Yang Dipertua MPSJ (Datuk Adnan Md Ikshan) wajar dipersalahkan dalam hal ini. Beliau harus bertanggungjawab sebab beliau tidak berbincang dengan kerajaan negeri sebelum memutuskan untuk menguatkuasakan keputusan ini,” kata Liu lagi.

Pada 14 Januari lalu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor bercadang menubuhkan sebuah tabung khas untuk membantu pekerja beragama Islam yang meninggalkan pekerjaan di premis dan pusat hiburan menjual minuman keras. Jelas Khalid, empat ahli exco negeri iaitu Hasan, Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Rodziah Ismail — diminta menubuhkan sebuah sekretariat yang akan mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membincangkan penubuhan tabung berkenaan.

Beliau berkata kerajaan negeri sedar kebanyakan orang Islam yang bekerja di tempat sedemikian membuat keputusan atas sebab ekonomi. Katanya, kerajaan negeri menghormati pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang melarang umat Islam bekerja di premis berkenaan.

“Pada masa sama, sebagai kerajaan prihatin dan adil, kita perlu memberi tempoh yang cukup kepada semua pihak termasuk pemilik premis dan pekerja yang terlibat,” katanya.

Khalid dijangka akan mengadakan pertemuan dengan semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan hari ini bagi mendapat pandangan mereka bagi memastikan penguatkuasaan enakmen itu dilaksanakan dengan baik dan berkesan. (Sumber The Malaysian Insoider)

2 comments:

Anonymous said...

Persoalannya, setiap tindak tanduk Ronnie Liu sendiri tidak disenangi oleh DAP sendiri.
Tindakan yang diambil oleh YDP MPSJaya itu memang mengikut kehendak Peraturan Syariah Selangor.
Cuma Exco PAS dan PKR kena bergerak pantas memastikan mereka yang terlibat mendapt pekerjaan pilihan.
Terutama juga kepada 7Eleven, satu-satunya syarikat kepunyaan Antah Group dulu dan sekarang mungkin elah dimiliki Vincent Tan yang terus menerus menjual arak 24 jam.
kenapa negara Amerika Syarikat sendiri mengharamkan menjualan arak selepas jam 10 malam?
Dan tidak dibenarkan minum dikhalayak ramai.
Adakah undang2 kita dikuatkuasakan?
Sebab terlalu banyak kedai makan Cina menjual arak di tepi jalan dan bukan makan di dalam kedai.
Kenapa Ronnie Liu tidak bertindak dalam hal ini?

free compass said...

jaga tepi kain sendiri. kenapa orang bukan islam perlu masuk campur dalam hal berkaitan agama islam. kita ada ganggu agama mereka ke?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails