Thursday, January 20, 2011

Krisis Istana K'tan Disalah Tafsir -Tengku Razaleingh

Tengku Razaleigh memberitahu polis kenyataannya yang disiarkan Sin Chew Daily telah disalah tafsir. — Foto oleh Choo Choy May
KL, 19 Jan 11: — Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah memberitahu polis hari ini bahawa kenyataannya mengenai krisis istana Kelantan tahun lalu telah “disalah tafsir” oleh akhbar harian Sin Chew Daily. Anggota kerabat diraja Kelantan itu memberikan kenyataan kepada pegawai penyiasat Saiful Nizam Mislah dari Kota Baru di kediamannya di Jalan Langgak Golf di sini petang ini selama kira-kira 90 minit.

“Saya memberitahu polis bahawa saya ada membuat kenyataan tetapi daripada terjemahan menunjukkan ia telah disalah tafsir,” kata Tengku Razaleigh kepada pemberita selepas kenyataannya dirakamkan.

Beliau juga menafikan mempersoalkan pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Muhammad V September lalu. “Mengapa mesti saya membuat dakwaan liar terhadap keluarga saya sendiri,” kata beliau yang mesra dikenali sebagai “Ku Li” ketika ditanya sama ada mempertahankan kenyataannya yang disiarkan akhbar itu pada 24 September lalu.

“Mengapa mesti saya mempersoalkan pelantikan. Saya tidak . . . adakah anda lihat di mana-mana?” kata Tengku Razaleigh sambil menekankan, beliau hanya bercakap mengenai perlembagaan dan peruntukan pelantikan dan penurunan takhta seorang raja.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada sidang media hari ini, Tengku Razaleigh juga berkata: “Bagi membuat penjelasan, saya ingin mengatakan bahawa apabila saya membuat kenyataan, saya tidak sedar adanya sebarang pindaan pada Perlembagaan Negeri Kelantan yang akan memberi kesan ke atas Sultan. Saya difahamkan perkara ini berada di Mahkamah Persekutuan dan saya tidak mahu membuat spekulasi tentang bakal keputusannya.”

Antara yang hadir di rumah Tengku Razaleigh ketika kenyataan diambil ialah Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, Thamrin Ghafar dan bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Osu Sukam. Pada sidang media di sini awal bulan lalu, Tengku Razaleigh memberitahu, beliau masih berpendapat Tuanku Ismail Petra adalah pemerintah Kelantan yang sah dan bukannya anakanda baginda Tengku Muhammad Faris Petra.

Pada 7 Disember lalu, Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata tindakan Tengku Razaleigh yang masih mempertikai kedudukan Sultan Kelantan dari segi undang-undang adalah hak dan pandangan peribadi beliau. Katanya, ini kerana kedudukan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, telah pun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Tengku Razaleigh yang juga bekas menteri kewangan dalam kenyataan kepada medianya masih mempersoalkan status kedudukan Sultan Kelantan dari undang-undang. Tengku Razaleigh mengeluarkan kenyataan itu selepas diminta mengulas keputusan Sultan Muhammad V memperkenankan penarikan balik dua anugerah kebesaran negeri, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) dan tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) (Al-Muhammadi I).

Ia berikutan kenyataannya yang disiarkan akhbar tersebut dan menyinggung perasaan Sultan Kelantan. Tuanku Muhammad Faris Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu. Tengku Razaleigh, 73, yang juga Ketua Umno Gua Musang adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid. (IH0

Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails