Oleh A Kadir Jasin
Perdana Menteri Wanita: Kenapa Isteri PM Tak Boleh?
Dah takde ke menteri kat Malaysia ni atau Jawatan sebagai bini PM adalah jawatan kerajaan.”
Terima kasih Sdr Bawal. Sebenarnya beberapa orang pembahas lain juga turut membangkitnya hal ini dan isu-isu lain yang melibatkan kegiatan dan tindak-tanduk isteri Perdana Menteri.
Seperti yang telah tegaskan berulang kali, dalam sistem kita tidak ada satu jawatan yang dipanggil “First Lady” atau Wanita Pertama. Kalaupun ada seorang yang boleh diberikan jolokan “First Lady” atau Wanita Pertama, orang itu adalah Seri Paduka Raja Permaisuri Agung kerana “First Gentleman” atau Lelaki Pertama dalam sistem kita adalah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
Hak Guna Duit Negara
Mengenai bolehkah duit negara digunakan membiayai lawatan dan kegiatan isteri Perdana Menteri, saya ingin merujuk Sdr Bawal dan para pembaca sekalian kepada laporan New Straits Times pada 12.11.2010 yang berbunyi:
“NO permanent or contractual staff are provided for Datin Seri Rosmah Mansor, wife of Prime Minister Datuk Seri Najib Razak.
In a written reply to Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera), Najib said officers from his office sometimes helped his wife in carrying out her official duties.
However, the Members of Parliament (Remuneration) Act 1980 states that the prime minister's wife is entitled to claim food, lodging and winter apparel allowances when she accompanies her husband on his official duties overseas.”
(Tidak ada pegawai tetap atau kontrak diperuntukkan kepada Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam jawapan bertulis kepada Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera), Najib berkata pegawai dari pejabatnya kadang kala membantu isterinya menjalankan tugas rasminya.
Bagaimanapun, Akta Ahli Parlimen (Gajian) 1980 mengatakan isteri Perdana Menteri berhak membuat tuntutan elaun makan, penginapan dan pakaian musim sejuk apabila mengiringi suaminya dalam tugas rasmi di luar negara.”)
Terpulanglah kepada pembahas dan pembaca membuat interpretasi dan mencari kesimpulan mengenai lawatan Rosmah ke Asia Barat tanpa diiringi oleh Perdana Menteri.
Cadangan Rosmah Masuk Politik
Dalam bahas blog ini, ada beberapa pembahas mencadangkan agar Rosmah masuk politik dan bertanding pilihan raya umum akan datang. Bagi saya, cadangan sebegini bukan jenaka tetapi boleh dilihat sebagai sesuatu yang serius dan berkemungkinan berlaku.
Malah seorang bekas menteri kanan yang diketahui cucup akrab dengan Mohd Najib dan Rosmah berkata isteri Perdana Menteri itu berpengaruh dan berpotensi memanfaatkan kedudukan istimewanya untuk satu peranan yang lebih besar.
Kita boleh bincang dan bahas hal ini, tatapi saya minta tolong berhati-hati dan bersopan santun. Saya tidak akan menyiarkan ulasan yang berunsur fitnah dan hasutan yang boleh membawa padah.
Soalnya kenapa tidak Rosmah? Buat permulaan, beliau sudah pun mempunyai profil yang cukup tinggi dan mempunyai kedudukan de fakto dalam sistem pemerintahan negara memalui Projek Permata Negara untuk kanak-kanak pintar yang mendapat peruntukan langsung dari Perbendaharaan sebanyak RM111 juta dalam belanjawan 2011 dan RM100 juta pada 2010. Beliau juga memperoleh dan menikmati liputan berita yang cukup rapi dan meluas daripada media massa arus perdana.
Kenapa tidak? Bukankah sudah wujud gandingan suami-isteri dalam landskap politik Malaysia iaitu Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail? Malahan, gandingan bapa-emak dan anak pun sudah ada – Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah.
Selain itu wujud dinasti politik lain seperti gandingan Lim Kit Siang dengan Lim Guan Eng, Karpal Singh dengan Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh Deo. Malah Mohd Najib, Anwar, Hishammuddin Hussein, Mukhriz Mahathir dan ramai lagi adalah pewaris dinasti politik.
Jadi kenapa tidak Rosmah? Kalau Rosmah tidak ada peranan yang berkesan dan definitif, masakan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, membuat pertemuan khas dengan beliau dalam rangka lawatannya ke Malaysia pada tahun 2009 dan secara terbuka mengiktiraf kesepakatan Rosmah-Mohd Najib?
Jadi apa salahnya atau memeranjatkan sangat jikalau Rosmah bertanding pilihan raya dan akhirnya menjadi pengganti suaminya?
Gandingan Ahli Keluarga Perkara Biasa
Hal ini berlaku bukan sahaja di Singapura di mana Lee Hsien Loong menjejaki bapanya menjadi Pardana Menteri, malah ia juga berlaku di banyak negara di dunia.
Contohnya di India di mana Indira Gandhi menjejaki bapanya Jawaharlal Nehru, menjadi Perdana Menteri. Indira digantikan pula oleh anaknya Rajiv Gandhi. Indira dan Rajiv kedua-duanya mati dibunuh. Kini isteri Gandi, Sonia seorang keturunan Itali menjadi Presiden parti pemerintah, Indian National Congress dan anak mereka, Rahul adalah Ahli Parlimen dan diuar-uarkan sebagai bakal Perdana Menteri.
Di Sri Lanka, Chandrika Bandaranaike Kumaratunga yang menjadi Presiden dari 1994 hingga 2005 adalah anak kepada dua Perdana Menteri -- bapanya S.W.R.D Bandaranaike dan ibunya Sirimavo Bandaranaike.
Di Filipina, apabila calon Presiden Benigno “Ninoy” Aquino dibubuh, isterinya, Corazon Aquino bertanding dan menang. Kini anak mereka, Benigno Aquino III, menyandang jawatan itu. Presiden Gloria Macapagal-Arroyo pula adalah anak Presiden Diosdado Macapagal.
Sheikh Hasina Wazed, Perdana Menteri Bangladesh sekarang adalah anak sulung Sheikh Mujibur Rahman, pengasas dan Presiden pertama negara itu manakala Begum Khaleda Zia, bekas Perdana Menteri, adalah janda Presiden Ziaur Rahman yang dibubuh.
Di Pakistan, Allahyarhamah Benazir Bhutto menduduki kerusi yang pernah diisi bapanya, Zulfikar Ali Bhutto sebagai Perdana. Zulfikar mati di tali gantung, Benazir mati dalam pengeboman bunuh diri.
Di Argentina, Presiden Néstor Carlos Kirchner digantikan oleh isterinya Cristina Fernandez de Kirchner. Eva “Evita” Peron hampir menjadi Naib Presiden Argentina di samping suaminya kalau tidak kerana mati batuk kering.
Kini, isteri Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, Ibu Kristiani Herawati diuar-uarkan akan bertanding jawatan Presiden apabila tempoh perkhidmatan suaminya tamat.
Tidak Mustahil Rosmah Jadi PM
Kesimpulannya, adalah tidak mustahil Rosmah Mansor atau mana-mana wanita selebriti bertanding pilihan raya dan, jika dikehendaki oleh majoriti pembesar parti mereka, dicalonkan sebagai Perdana Menteri.
Saya rasa pembangkang pun akan pening kepala kalau Rosmah bertanding. Hubungan beliau yang akrab dengan bintang-bintang Bollywood, boleh digunakan untuk menarik puluhan ribu hadirin ke ceramah-ceramah pilihan rayanya.
Yang perlu hanya membawa bintang-bintang filem Bollywood dalam kempen beliau. Selain itu, beliau juga seorang penyanyi yang bagus yang tentunya boleh memikat hati pengundi Melayu yang rata-rata gilakan Bollywood dan sukakan hiburan.
Kalau negara Islam yang lebih besar dan konservatif seperti Pakistan dan Bangladesh boleh menerima Perdana Menteri dan Presiden wanita, pastinya Malaysia yang lebih progresif tidak akan menolak kepemimpinan wanita.
Hatta Pas pun sedang hebat mempromosikan penyertaan wanita dalam hierarkinya manakala PKR sudah pun dipimpin oleh wanita. Wallahualam. (Diangkat dari The Scribe A Kadir Jasin)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kini sudah ada yang meramalkan PM wanita yang pertama di Malaysia adalah isteri PM sekarang. Sebelum itu ada yang menyebut dan meramalkan isteri Ketua Pembangkang di parlimen akan jadi PM wanita yang pertama. Begitu juga puterinya ahli parlimen Lembah Pantai dan naib Presiden PKR termasuk dalam ramalan. Tetapi yang jelas, orang di bawah pokok kelapa yang mudah menjolok luruh buah kelapa!
1 comment:
PM perempuan??? hancurlah negara sehancurnya
Post a Comment