Saturday, January 22, 2011

Kontroversi Interlok Dibawa Ke Tenang? -DAP


KL, 22 Jan 11: DAP akan membawa kontroversi novel sastera Interlok ke medan pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang yang mempunyai 1,780 pengundi India jika kerajaan enggan untuk menyelesaikan isu tersebut, kata naib pengerusinya M. Kulasegaran.

Kempen pilihan raya kecil Tenang bermula hari ini dengan persaingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Kulasegaran juga mengetepikan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pertemuan Selasa lalu antara wakil MIC, pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang lain berakhir dengan konsensus bahawa penggunaan novel itu oleh pelajar-pelajar Tingkatan Lim tidak berniat mahu menghina kaum India.

“Penjelasan sedemikian atau hujah itu sebenarnya mengabaikan satu perkara penting di mana tiada seorang pun mempersoalkan niat penulis,” kata Kulasegaran dalam satu kenyataan hari ini.

“Banyak pihak beranggapan pertemuan itu akan mencapai konsensus bahawa novel itu telah menyinggung masyarakat India dan kontroversi itu mesti diselesaikan segera,” kata Ahli Parlimen Ipoh Barat ini.

Semalam, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran mencadangkan beberapa usul untuk memudahkan tugas guru yang mengajar novel Interlok di sekolah-sekolah termasuk menyediakan glosari dan nota kaki untuk menjelaskan maksud perkataan-perkataan tertentu. Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya guru yang mengajar novel berkenaan disediakan panduan yang jelas bagi mengelakkan timbul masalah pada kemudian hari.

Kulasegaran mendakwa kerajaan persekutuan mengheret isu daripada mencari jalan penyelesaian.

“Sesuatu yang mengecewakan kerajaan persekutuan tidak boleh memahami sentimen masyarakat orang India,” kata beliau.

“Jika pemimpin-pemimpin Kabinet memahami sentimen masyarakat India, maka mereka sudah tentu tiada iltizam dan kemahuan politik untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Kulasegaran mendakwa masyarakat India marah kerana banyak fakta dalam novel itu tidak tepat dan membawa maksud menghina mereka. Wakil rakyat itu juga mempersoalkan sama ada Interlok boleh menggalakkan perpaduan kaum dan sama ada novel kontroversial itu boleh digunakan di sekolah.

“Mengapa sukar sangat bagi Kementerian Pelajaran untuk membetulkan kesilapan?” kata beliau.

“Melainkan diselesaikan, DAP akan terus membawa isu Interlok ketika dan selepas pilihan raya kecil Tenang,” katanya lagi.

Seramai 12 peratus atau 1,780 daripada 14,753 pengundi di Tenang adalah masyarakat India. Kulasegaran juga memberi amaran tindakan melewatkan keputusan mengenai novel itu akan menyebabkan orang India menentang BN.

“Tiada pihak yang harus terkejut jika isu berlarutan, malah ia berkembang menjadi isu peringkat nasional ketika pilihan raya umum akan datang, dengan kemarahan di kalangan masyarakat terhadap BN,” katanya. (IH/Sumber The Malaysian Insider)

Sila lihat P/K DUN Tenang secara keseluruhan...
E-Buku IH-25: P/K DUN Tenang

E-Buku IH-25: P/K DUN Tenang

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails