Saturday, April 03, 2010

Sebat: Boleh Ampunkan Kartika Kecuali... -Mohd Amar

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

KOTA BARU, 2 April 10— Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, soal pengampunan atau sebaliknya terhadap bekas model Kartika Sari Dewi Shukarno tidak berbangkit.

Ini kerana menurut beliau, asas hukuman tersebut bukan berdasarkan kepada hukuman Islam.

“Kalau hukuman itu adalah hukuman Islam ataupun hukuman syarak sungguh, tak boleh ampun.

“Islam menetapkan hukuman sebat sebanyak 20 sebatan kepada orang Islam yang melakukan kesalahan meminum arak.

“Tapi dalam kes Kartika hanya dikenakan enam sebatan sahaja. Dan enam itu sebenarnya bukan undang-undang Islam,” kata beliau ketika dihubungi petang ini.

Oleh yang demikian Mohd Amar bertegas, antara hukum Islam dan undang-undang pentadbiran syarak adalah dua pegertian yang berbeza.

“Kalau betul-betul hukuman itu dijalankan berdasarkan kepada hukuman Islam, maka 20 sebatan tak boleh diubah-ubah, mesti kena 20 juga.

“Enam sebatan itu adalah undang-undang yang diadakan di bawah kuasa pentadbiran syarak, bukan undang-undang Islam,” katanya.

Justeru dalam kes Kartika yang telah mendapat pengampunan Sultan Pahang terhadap kesalahannya tidak berbangkit kerana kata beliau, “dalam konteks itu Sultan sebagai ketua agama negeri mempunyai kuasa untuk mengampun kecuali hukuman itu benar-benar mengikut hukum Islam."

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengampunkan Kartika daripada hukuman sebat atas kesalahan meminum arak yang ditangguhkan sejak Ogos tahun lalu, sebaliknya diganti dengan kerja-kerja khidmat masyarakat selama tiga minggu.

Bagi membolehkan pelaksanaan hukuman itu, Kartika akan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pahang untuk tindakan susulan.

Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan.

Pagi tadi, Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia kecewa dengan keputusan Sultan Pahang yang membolehkan hukuman sebat ke atas Kartika digantikan dengan kerja-kerja khidmat sosial. (The Malaysian Insider/2MA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails