Saturday, April 03, 2010

Kecoh DUN & Parlimen, Apakata Tok Guru Nik Aziz

KEMASKINI
APRIL 02, 10. KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu semua pihak kembali kepada peraturan bagi mengelakkan berlaku kekecohan sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Mursyidul Am Pas itu berkata, setiap kekecohan yang berlaku itu berpunca daripada sesuatu sebab. Katanya, Dewan adalah suatu tempat yang mulia dan tempat mereka yang cerdik dan tahu mengenai undang-undang untuk membincangkan sesuatu perkara.
dan tempat mereka yang cerdik dan tahu mengenai undang-undang untuk membincangkan sesuatu perkara.

"Untuk mengelak perkara seperti itu berlaku, kita kena kembali kepada peraturan dan undang-undang. Kalau akhirat kita kena ikut agama iaitu al-Quran dan hadis, kalau dunia kita kena ikut perlembagaan dan undang-undang. Semuanya adalah peraturan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kekecohan yang berlaku di Parlimen semalam dan Dewan Undangan Negeri Perak antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang. Dalam kejadian di DUN Perak Rabu lalu, semua 28 wakil rakyat pembangkang keluar meninggalkan sidang dewan kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat yang masuk hari kedua.

Sementara di Parlimen semalam hampir semua Ahli Parlimen pembangkang mengambil tindakan serupa selepas tamat sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong. Sehubungan itu beliau menasihatkan pihak berkenaan perlu mengikut peraturan bagi mengelakkan kekecohan yang berlaku.

Dalam ceramahnya, Nik Aziz berkata setiap perbalahan yang berlaku di kalangan manusia adalah berpunca daripada mereka ingin menjaga kepentingan manusia yang lain menerusi hawa nafsu, tanpa berpandukan kepada ajaran Islam. - Bernama

Komen Blog Ibnu Hasyim:

i). ' Kalau akhirat kita kena ikut agama iaitu al-Quran dan hadis, kalau dunia kita kena ikut perlembagaan dan undang-undang. ' Yang penting dan perlu dijelaskan lagi ialah perlembagaan dan undang-undang itu mestilah tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Hadis.

ii). 'setiap perbalahan yang berlaku di kalangan manusia adalah berpunca daripada mereka ingin menjaga kepentingan manusia yang lain menerusi hawa nafsu, tanpa berpandukan kepada ajaran Islam.' Siapa yang tidak berpandukan kepada ajaran Islam? Lihat perlembagaan partinya. Hanya PAS parti yang berperlembagaan Islam dan secara tidak langsung mempengaruhi rakan-rakan partinya. (2MA)

Berita dari Harakahdaily.net: Dun Perak kecoh kerana tidak ikut peraturan - Nik Aziz

KOTA BHARU
, 3 April: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak tidak akan menjadi kecoh sekiranya anggota dewan khususnya mematuhi perlembagaan negeri yang sedia ada, namun yang paling utama ialah mematuhi perlembagaan diselaraskan dengan Al-Quran.

Serentak dengan itu, beliau yang juga Menteri Besar mempertikaikan ahli Dewan Negeri yang ‘dibawa masuk’ (menjadi anggota Dewan) melalui mahkamah, namun beliau akur bahawa perjalanan Dewan Negeri termasuk di Perak perlu berdasarkan peraturan.

“Dalam dewan ada peraturan, dan menjadi peraturan dewan (bahawa) mereka yang menganggotai dewan itu mesti wakil rakyat.

“Dan kalau nak jadi wakil rakyat mesti melalui undi (malalui proses demokrasi), itulah peraturannya. Tetapi sekiranya (ahli yang menjadi anggota Dewan itu) sebahagiannya melalui undi, dan sebahagiannya pula melalui tok hakim (mahkamah), mana boleh demikian,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang disifatkan sesetengah pihak sebagai dalam ‘zoo’ sedangkan padanya termasuk di negeri Perak, ada peraturannya.

Beliau mendakwa kekecohan yang berlaku dalam dewan itu di mana golongan yang cerdik yang tidak boleh tunduk kepada perbuatan zalim, manakala mereka yang satu pihak lagi merasakan dizalimi, mereka melawan.

“Itu tanda mereka cerdik, tetapi kalau dikhianati namun mereka buat senyap saja itu tanda tak cerdik. Bagaimana pun, perbalahan itu mesti ada punca, takkan sebelah A lawan B dengan tidak ada sebab, tidak begitu. Mesti B buat masalah pada A dan A kena lawan atau pun A buat masalah pada B dan B kena lawan.

“Islam pun mengajar demikian. Demokrasi pun ajar, jadi jangan nampak benda kekecohan dalam Dewan lalu diburukkan lagi keadaan. Mesti ada sebab, kita kena tengok kepada sebab, kekecohan itu kerana apa termasuk dalam Dewan Undangan Negeri Perak,” katanya.

Beliau mendakwa, kekecohan itu disebabkan rakyat yang mengundi memilih calon A ke dalam dewan, namun orang lain pula membawa masuk orang lain melalui mahkamah.

“Mana boleh, sepatutnya memberi peluang kepada rakyat. Ini kerana membawa masuk wakil dalam dewan pun rakyat, hendak membawa masuk calon lain pun terlebih dahulu mesti tanya rakyat.

“Itu yang kita sebut beri peluang kepada pilihanraya semula, ini bendanya. Orang bawa masuk wakil rakyat melalui dewan, kita (pihak tertentu) mengubahnya,” katanya.

Mursyiyul Am menasihatkan bahawa semua perkara hendaklah bertindak dengan betul mengikut peraturan.

“Dari segi agama mestilah mengikut Islam. Kalau tak mahu agama, ikutlah perlembagaan, tetapi perlembagaan itu setakat di dunia sahaja. Apabila masuk kubur (mati) tidak berguna lagi.

“Oleh sebab itu kita di Kelantan mempastikan bahawa proses perlaksanaan perlembgaan selaras dengan Quran, dengan itu dalam kubur nanti (di akhirat) kita selamat , dan atas dunia pun kita jadi selamat, insya Allah,” katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails