Wednesday, January 06, 2010

B/Islam Guna Nama Allah, Pandangan PKR -MN Manuty


PETALING JAYA, Jan 5 - Parti Keadilan Rakyat (PKR), satu lagi komponen Pakatan Rakyat (PR), dalam kenyataan terbuka berhubung polemik penggunaan “Allah” berpendirian bahawa keinginan masyarakat bukan Islam untuk menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan perlu diterima secara terbuka.

“Kami berpendirian bahawa keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang positif.

“Dan, perlu diterima secara terbuka dan tidak perlu pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menjadikan isu ini sebagai agenda politik untuk menampakkan bahawa merekalah jaguh dalam mempertahankan Islam di negara ini,” kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr Muhd Nur Manuty.

Kenyataan berhubung pandangan itu dimuatkan di blog Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Pandangan ini dikemukakan selepas rakan komponen mereka dalam PR, PAS tengah malam tadi mengeluarkan pendirian rasminya.

PAS mengambil pendirian ‘terbuka’ tetapi bersyarat dalam isu kontroversi terbaru dengan menegaskan penggunaan perkataan “Allah” dibenarkan untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Bagaimanapun PAS menegaskan penggunaan kalimah “Allah” secara salah dan tidak bertanggungjawab wajar dielakkan supaya ia tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

Muhd Nur menambah, pihaknya melihat fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani bahawa manusia memperakui penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmannya yang bermaksud “Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah…”.

Malah kata beliau adalah jelas penggunaan kalimah “Allah” untuk mengiktiraf dan membesarkan “Allah sebagai Tuhan adalah hak asasi setiap insan.”

“Ini adalah serasi dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di negara ini.

“Sesungguhnya, ini juga bersesuaian dengan muafakat Pakatan Rakyat yang diputuskan baru-baru ini,” katanya.

Kata Muhd Nur, PKR juga berpandangan perjuangan untuk menegakkan makruf dan mencegah mungkar akan menjadi lebih mudah dan selesa berasaskan firman Allah.

Sehubungan itu beliau menjelaskan, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara semua pihak perlulah menyelesaikan konflik ini dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan bijaksana.

Esok, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menetapkan untuk mendengar permohonan Kementerian Dalam Negeri bagi penangguhan perintah mahkamah yang membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald menggunakaan perkataan Allah.

Hakim Datuk Lau Bee Lan akan mendengar permohonan itu pada kira-kira 2.30 petang.

Kementerian itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu semalam.

Pada Dis 31 lepas, Hakim Lau memutuskan berdasarkan Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, majalah Herald berhak menggunakan perkataan itu untuk tujuan tunjuk ajar dan pendidikan bagi penganut agama Kristian.

Beliau juga berkata mengikut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan “Allah” untuk menyebarkan agama itu kepada orang Islam tetapi bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan keagamaan.

Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai terjemahan bagi ‘God’ dalam bahagian bahasa Malaysia. (AK)

Sila lihat..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails