Monday, January 04, 2010

Penagih Dadah Pun Kreatif, Buat Dapur Dari Bahan Terpakai

BUKTI...pelbagai ‘dapur’ dihasilkan penagih dadah.

Dapur segera. hasil ciptaan penagih dadah gunakan bahan terpakai.

GOMBAK: Kreatif songsang itulah istilah tepat diberikan kepada segelintir remaja dan penagih dadah apabila bijak menghasilkan 'dapur segera' menggunakan bahan terpakai sebagai material utama sebelum melepas gian.

Perbuatan remaja itu dikesan dalam pemeriksaan yang pernah dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam beg milik seorang remaja berusia belasan tahun yang juga pelajar sekolah menengah di sekitar Gombak di sini dalam satu operasi, baru-baru ini.

Antara bahan buangan terpakai digunakan untuk menghasilkan dapur terbabit termasuk botol minuman keras, botol air mineral, bekas pewangi, paip getah dan pelbagai bahan lain. Difahamkan, dapur segera itu kerap digunakan untuk melepaskan gian dadah jenis ganja dan syabu berikutan lebih senang untuk dihisap, selain turut dikongsi dengan rakan.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pegawai AADK Gombak, Halili Busu, berkata pihaknya dalam operasi dilakukan sepanjang tahun lalu merampas pelbagai jenis dapur segera yang digunakan penagih dadah untuk melepaskan gian.

"Semuanya dirampas dalam operasi berkala di sekitar Selayang. Bagi mengelak gejala tidak sihat ini menular di kalangan remaja, kami dengan kerjasama pihak sekolah melalui program Sekolah Bebas Dadah sering mengadakan lawatan mengejut ke sekolah terpilih.

"Antara aktiviti dijalankan adalah ceramah juga ujian air kencing secara rambang terhadap pelajar disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah, sekiranya didapati positif mereka ini akan diletakkan di bawah program pemulihan khas," katanya.

Antara langkah pemulihan dilakukan adalah dengan memanggil ibu bapa pelajar terbabit untuk perbincangan dan diletakkan di bawah program khas dikenali Program Intervensi Pelajar supaya mereka tidak lagi terjebak dengan penagihan dadah.

"Mereka ini juga akan diwajibkan menghadiri kem khas yang biasanya dijalankan pada setiap musim cuti sekolah," katanya.

Katanya, sehingga kini daripada ujian air kencing dijalankan 10 pelajar disyaki terbabit penyalahgunaan dadah, bagaimanapun, ujian makmal mengesahkan hanya enam daripada mereka disahkan positif dadah jenis ganja. (myMetro online/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails