Tuesday, January 05, 2010

Peguam Negara: Petra Didakwa Guna Pasport Palsu?

Petra didakwa jika guna pasport palsu.

EDITOR laman web Malaysia Today Raja Petra Raja Kamaruddin mungkin didakwa menggunakan sebuah pasport asing untuk meninggalkan negara ini sekiranya ada laporan terhadapnya, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan jika ada laporan seperti itu.

Beliau diminta mengulas kemungkinan penulis blog itu didakwa jika didapati menggunakan pasport asing untuk melarikan diri tahun lepas selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

"Kami perlu menimbang (mendakwa Raja Petra) jika ada laporan terhadapnya dan siasatan dijalankan berdasarkan laporan yang dibuat," katanya kepada pemberita di Putrajaya semalam.

Abdul Gani berkata perkara penting kini ialah untuk mendapatkan Raja Petra terlebih dahulu sebelum mendakwanya semula.

"Anda tidak semudah mendakwa seseorang apabila anda tidak mendapatkannya. Apabila hanya sudah pasti mendapatkan orang itu, maka anda boleh teruskan.

"Oleh kerana mahkamah membebaskan tanpa melepaskan Raja Petra, dia boleh didakwa semula atas tuduhan sama apabila dia kembali ke negara ini," katanya.

Katanya, kerajaan masih dalam proses mengenal pasti lokasi Raja Petra dan sebaik sahaja dikesan permohonan sewajar perlu dibuat mengikut undang-undang negara berkenaan untuk membawa semula dia ke Malaysia bagi menghadapi tuduhan.

Raja Petra didakwa menggunakan pasport sebuah negara jiran untuk melarikan diri ke Britain dan pihak berkuasa imigresen Malaysia telah mengesahkan tiada rekod menunjukkan dia telah melalui pemeriksaan di pintu keluar negara.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Dia didakwa menerbitkan artikel bertajuk 'Let's Send the Altantuya Murderers to Hell' dalam blog Malaysia Today bertarikh 25 April, 2008.

Selain itu, dia dituduh memfitnah Rosmah serta dua yang lain dalam satu akuan bersumpah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada 18 Jun tahun lepas.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 11 dan 13 Nov lepas membebaskan tanpa melepaskan Raja Petra kerana pihak polis gagal menyampaikan waran tangkap kepadanya.

- Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails