Monday, January 04, 2010

Solat Jumaat: Patut Jadi Contoh Hotel-hotel Lain.


Solat Jumaat di hotel itu.

Jan, 10, Ampang: JARANG kita mendengar mengenai hotel yang menyediakan surau kepada pelanggan dan juga penduduk setempat untuk menunaikan solat Jumaat. Namun, apa yang ditampilkan oleh Surau Nurul Hikmah di Hotel De Palma Ampang, Jalan Ampang, Selangor sedikit berbeza.

Di sebalik hotel yang sering dilabelkan dengan pelbagai perkara negatif hotel ini tampil dengan elemen syiar Islam iaitu menyediakan surau taraf solat Jumaat kepada pelanggan hotel dan juga kariah berhampiran.

Pengerusi Surau Nurul Hikmah dan juga Pengurus Besar Kumpulan De Palma Hotel, Datuk Mohd. Ilyas Zainol Abidin, 57, memberitahu, beliau cuba membawa kelainan pada De Palma Hotel dengan hotel yang lain.

"Lagipun saya sudah berpengalaman selama 30 tahun dalam industri ini dan umur semakin lanjut. Mungkin ini merupakan salah satu cara saya berdakwah.

"Malah sambutan yang diberikan orang ramai cukup baik dengan 20 peratus jemaah terdiri daripada tetamui hotel sendiri," katanya sambil tersenyum.

De Palma Ampang merupakan hotel pertama di negara ini yang mempunyai surau untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat.

"Kami mendapat keizinan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menjadikan Surau Nurul Hikmah sebagai surau untuk solat Jumaat pada 10 Oktober 2008.

"Kami mempunyai empat orang imam yang mempunyai tauliah daripada JAIS selain surau itu dapat menampung sehingga 1,400 jemaah pada satu masa," katanya yakin.

Bicaranya lagi, pihaknya turut menjemput penceramah luar selain mengadakan bacaan hadis selepas solat Subuh, kuliah agama selepas Zuhur dan aktiviti solat sunat hari raya serta melaksanakan ibadat korban dan tahlil.

"Keempat-empat imam bertugas Surau Nurul Hikmah juga mempunyai tauliah untuk menjadi jurunikah selain membaca khutbah Jumaat.

"Malah mereka akan bergilir-gilir menjadi imam solat berjemaah pada waktu solat yang lain yang menjadikan surau ini tiada bezanya dengan surau di luar," katanya lagi. (Sumber Kosmos!/2MA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails