Thursday, January 07, 2010

Kalimah Allah: Mahkamah Tinggi Tangguh, Najib Jumpa Agung

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan dengan langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mencari penyelesaian terhadap isu penggunaan perkataan Allah, kata Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata, Datuk Seri Najib Razak hari ini menghadap Seri Paduka Baginda untuk memaklumkan isu itu serta langkah-langkah yang diambil untuk mencari penyelesaian.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri kemudian memaklumkan perkara itu kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat mingguannya hari ini. Kenyataan itu menyebut bahawa memandangkan perkara berkenaan telah diserahkan kepada mahkamah, adalah wajar bagi semua pihak menghormati proses undang-undang negara.

"Sementara proses rayuan berjalan, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk tidak membuat sesuatu yang boleh menjejaskan kepentingan dan kesejahteraan awam," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menangguhkan pelaksanaan perintah membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald menggunakan perkataan “Allah” berikutan persetujuan kesemua pihak terlibat - gereja dan Kementerian Dalam Negeri dalam kes ini demi kepentingan negara.

Hakim Datuk Lau Bee Lan membuat keputusan itu kamarnya petang semalam. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai permohonan itu berkata beliau secara peribadi telah meminta peguam-peguam yang mewakili gereja agar tidak menghalang permintaan itu “demi kepentingan negara.”

“Kami telah memohon dan mereka telah bersetuju untuk penangguhan pelaksanaan demi kepentingan nasional.

“Penangguhan ini dibenarkan sementara menanti rayuan dipertimbangkan di Mahkamah Rayuan,” kata beliau kepada pemberita di pekarangan mahkamah.

“Ini berlandasakan hakikat bahawa rayuan mesti didengar secepat yang mungkin,” tambah beliau.

Peguam gereja, Benjamin Dawson menyokong kenyataan Gani.

“Atas permintaan Peguam Negara, pemohon iaitu ketua biskop, telah menyatakan persetujuan untuk penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah yang diputuskan 31 Dis demi kepentingan negara,” kata Dawson.

Kata beliau tiada perhujahan panjang lebar dengan sesi berhujah berakhir dalam tempoh 15 minit. Mahkamah juga menolak usaha awal peguam-peguam kumpulan Muslim yang terdiri daripada enam Majlis Agama negeri dan Persatuan Muslim-Cina Malaysia yang menyokong usaha Kementerian Dalam Negeri.

Peguam Zainul Rijal Abu Bakar memberitahu percubaan mereka untuk berhujah di mahkamah ditolak kerana hakim juga telah menolak usaha mereka mencelah dalam kes utama pada 31 Dis lalu. Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) mendengar permohonan Kementerian Dalam Negeri bagi penangguhan perintah mahkamah yang membenarkan Herald menggunakaan perkataan Allah.

Kelmarin, kementerian itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu. Pada 31 Dis lepas, Hakim Lau memutuskan berdasarkan Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, Herald berhak menggunakan perkataan itu untuk tujuan tunjuk ajar dan pendidikan bagi penganut agama Kristian.

Beliau juga berkata mengikut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan “Allah” untuk menyebarkan agama itu kepada orang Islam tetapi bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan keagamaan.

Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai terjemahan bagi ‘God’ dalam bahagian Bahasa Malaysia. Perkataan ‘Allah’ digunakan secara meluas di kalangan pelbagai etnik beragama kristian di Sabah dan Sarawak, kebanyakan mereka bertutur dalam Bahasa Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri memberikan justifikasi bagi larangan penggunaan perkataan itu oleh akhbar itu atas alasan demi keselamatan negara dan mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan orang Islam. (Sumbar: Bernama & The Malaysian Insider).

1 comment:

Melor said...

Semoga Allah bersama dgn Muslimin yg berjuang mempertahankan ksucian agama Islam..dugaan dan ujian.Allhuakabar!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails