Tuesday, September 08, 2009

Lihat Burung & Hidupan Liar, Jadi Sumber Pendapatan.

JOM KREATIF

Burung Kedidi.. ada kedidi Kaki Hijau Berbintik, Kedidi Dada Merah dan Kedidi Timor manakala kemunculan burung Kedidi Dian Kecil dan Kedidi Besar ialah antara yang terbanyak di Malaysia. Tengok kekerdilan alam nampak kebesaran Ilahi.

Peminat burung dari Persatuan Pencipta Alam Malaysia (MNS) melihat burung di mana kehadiran 32 species burung pantai telah dirakamkan pada 7 September 2009. Terdapat juga kira-kira 15,000 ekor burung air yang berhijrah dari iklim sejuk di Teluk Bako-Buntal di Kuching.-fotoBERNAMA. Manusia bijak berkreatif menggunakan sumber alam, tetapi Allah Maha Kreatif lagi.. dalam menciptanya.

TIMUR laut Bandaraya Kuching, terletak di 40 km ialah Teluk Bako-Buntal, sebuah kawasan luas dataran lumpur dipagari hutan serta Gunung Santubong yang tersergam di sebelah barat dan Taman Negara Bako di sebelah timur. Mata pencarian utama penduduk di dua kampung Melayu di kawasan itu, Kampung Bako dan Kampung Buntal, ialah menangkap ikan tetapi semakin ramai kini menceburi aktiviti pelancongan.

Lokasi Teluk Bako-Buntal, satu daripada dua tapak projek untuk Konvensyen Tanah Lembap (Konvensyen Ramsar) di empat negara Asia Tenggara, yang begitu dekat dengan ibu negeri ibarat 'pedang dua mata'. (Satu lagi tapak projek sebegini yang selalu disinggahi burung air ialah di zon utara/tengah pantai Selangor).

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Kuching, Rebecca D'Cruz berkata teluk itu mempunyai potensi besar bagi aktiviti eko-pelancongan tetapi wujudnya pembangunan infrastruktur dan kehadiran petempatan manusia yang tinggi bertindak sebagai satu tekanan yang berterusan terhadap kawasan dan sumber semula jadi di teluk itu.

"Kampung Bako ialah satu-satunya pintu masuk ke Taman Negara (Bako) dan penduduk memperoleh pendapatan yang baik dengan membawa pelancong keluar dan masuk manakala beberapa syarikat menawarkan pakej lawatan hidupan liar di kawasan teluk di mana Kera Bekantan (Monyet Hidung Besar atau Monyet Belanda), ikan lumba-lumba (dolfin), buaya, api-api serta beberapa spesies burung dapat dilihat secara dekat". Beliau memberitahu demikian kepada Bernama.

Peminat burung dari MNS Kuching sentiasa menjadikan kawasan di teluk itu sebagai tempat bagi aktiviti melihat burung di mana kehadiran 32 spesies burung pantai telah dirakamkan dan terdapat juga kira-kira 15,000 ekor burung air yang berhijrah dari iklim sejuk. Antara burung-burung air yang paling ketara sekali kehadirannya ialah burung Kedidi Kaki Hijau Berbintik, Kedidi Dada Merah dan Kedidi Timor manakala kemunculan burung Kedidi Dian Kecil dan Kedidi Besar ialah antara yang terbanyak yang dicatat di Malaysia.

"Apa yang signifikan di tahun-tahun kebelakangan ini ialah kehadiran 31 Burung Bangau Cina yang dicatatkan pada tahun 2003, iaitu sebanyak satu peratus daripada jumlah burung ini di dunia dan mungkin juga jumlah yang terbesar dicatat di Borneo hingga kini," kata D'Cruz.

Menurut beliau, rekod terdahulu ialah 13 ekor di Brunei pada Disember 1984 dan antara 15 hingga 25 ekor pada April 1986, yang menunjukkan betapa pentingnya teluk itu dari aspek perlindungan burung di dunia. Tinjauan berterusan yang dijalankan sejak tahun 1900-an dan juga catatan rekod lampau menyatakan burung Kedidi Kaki Hijau Berbintik telah kelihatan di Buntal sejak Februari 1913 manakala Kedidi Timor didapati dengan banyaknya di teluk berkenaan, kata beliau.

Kawasan teluk itu juga mencatatkan penambahan dalam populasi Kera Bekantan di mana spesies dilindungi ini telah membiak dan boleh ditemui hingga ke Santubong. D'Cruz berkata aktiviti melihat dolfin dan buaya semakin meningkat dan kawasan delta itu mempunyai kehadiran ketara tiga jenis ikan lumba-lumba iaitu Dolfin Empesut, Dolfin Merah dan Lumba-lumba Ambu serta juga buaya tembaga.

"Buaya yang agak besar boleh dilihat berjemur di atas tebingan lumpur dan mungkin merupakan populasi buaya yang terpenting di negeri ini," kata beliau, sambil menambah kata objektif kajian itu ialah untuk menambah baik status perlindungan di teluk berkenaan melalui kumpulan perlindungan tempatan (LCG). Dalam mempromosi kaedah pendekatan ini sebagai sumbangan efektif terhadap pelaksanaan Konvensyen Ramsar di Malaysia, LCG merupakan pertubuhan berasaskan komuniti yang bergerak untuk mencari penyelesaian isu-isu perlindungan alam semulajadi.

"Kejayaan pendekatan ini banyak bergantung kepada tahap kesedaran mereka yang terlibat," D'cruz menyentuh tentang projek untuk menggalakkan sumber rezeki lestari di kawasan tanah lembap terutamanya bagi penduduk Kampung Bako dan Kampung Buntal. Selain Malaysia, Thailand, Kemboja dan Vietnam juga terlibat dalam projek memperteguh kerjasama 'kerajaan-pertubuhan komuniti' yang disokong daripada tabung Darwin Initiative (United Kingdom), Keidanren Nature Conservation Fund (Jepun) dan Kementerian Alam Sekitar negara Jepun.

Projek itu juga menerima restu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang bertindak sebagai badan pentadbir bagi konvensyen terhadap tanah lembap di Malaysia. Pada mulanya projek itu akan berlangsung selama dua tahun dan mempunyai opsyen untuk disambung setahun lagi. "Tanah lembap Asia Tenggara penting untuk biodiversiti, ekonomi negara-negara dan juga kesejahteraan komuniti tempatan tetapi malangnya tanah lembap ini seringkali dilihat sebagai kawasan yang tidak produktif dan kemudian ditukar untuk kegunaan lain," kata D'Cruz.

Menurut D'Cruz kawasan tanah lembap dan separa lembap Asia Tenggara merupakan tempat bergantung spesies yang terancam serta endemik yang amat penting dari segi perkhidmatan eko-sistem bagi komuniti tempatan. Di seluruh negara terdapat enam kawasan yang diwartakan sebagai tapak Ramsar iaitu Tasek Bera, Pahang (1994), Pulau Kukup, Sungai Pulai dan Tanjung Piai di Johor (2003), Taman Negara Tanah Lembap Kuching, Sarawak (2005) dan Kawasan Tanah Lembap Hilir Kinabatangan-Segama, Sabah (2008) dengan jumlah keluasan 134,158 hektar. (Sumber Bernama dll/AK)

Sila lihat siri-siri kreatif..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails