Monday, September 07, 2009

PAS Ubah Dasar: Tapi Bukan Tangkap Muat -A. Fatah Harun


RANTAU PANJANG - Sinar Harian melaporkan, Pas tidak akan tergopoh-gapah dalam menerima bukan Islam sebagai anggota parti itu jika kerana semata-mata ingin menarik pengundi bukan Islam. Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, Pas lebih berhati-hati dalam menerima keanggotaan dan tidak mengamalkan sikap `tangkap muat’ bagi meramaikan ahli, tanpa memikirkan akibatnya.


“Pada asasnya kita (Pas) menyokong usaha menarik orang ramai, khasnya pengundi bukan Islam menyertai parti, tetapi dalam hubungan ini kita lebih berhati-hati,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tuku berkata, demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Kebangsaan, Hu Pang Chaw, supaya pemimpin terlebih dahulu meyakinkan masyarakat bukan Islam mengenai kesungguhan parti itu mempelawa mereka menyertai Pas termasuk kesediaan mengubah dasar dan perlembagaan parti.

Hu berkata, masyarakat bukan Islam juga ingin mengetahui hak-hak yang akan mereka peroleh termasuk sama ada suara dan pandangan mereka diterima oleh parti itu. Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bahawa sudah sampai masanya parti itu membuka keanggotaannya kepada bukan Islam selaras dengan dasar Pas yang tidak berteraskan perkauman.

Abdul Fatah berkata, Pas terlebih dahulu perlu meminda perlembagaan parti sebelum menerima keanggotaan parti daripada kalangan bukan Islam. “Ini kerana, di antara syarat keahlian PAS adalah terdiri daripada orang Islam.. Sebab itu, kita (Pas) tidak terburu-buru dan tergopoh-gapah da lam menerima keahlian parti semata-mata kerana ingin mendapat sokongan pengundi daripada bukan Islam,” katanya.

Mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan, Abdul Fatah berkata, Pas yakin akan merampas semula kawasan itu daripada tangan Barisan Nasional (BN). Ini katanya, berdasarkan majoriti 2,333 yang diperolehi penyandang calon BN, Allahyarham Azman Mohammad Nor, 54, adalah atas faktor undi pos. Allahyarham meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban, Jumaat lepas. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails