Wednesday, September 09, 2009

Pijak Kepala Lembu 6 Ke Mahkamah, UMNO Terlibat?

6 yang dituduh...

SHAH ALAM Rabu September 9, 2009: Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan membawa dan memijak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 28 Ogos lepas.

Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36, Ibrahim Sabri, 43, Eyzva Ezhar Ramly, 31, Mohd Azmir Mohd Zain, 35, Ahmad Suhairy Zakaria, 30, dan Mohd Hilmi Ni, 40, mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Hasbi Hasan.

Mengikut kertas pertuduhan, Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa bersama-sama telah memijak kepala lembu, Eyzva Ezhar didakwa membawa kepala lembu manakala Mohd Azmir, Ahmad Suhairy serta Mohd Hilmi didakwa bersama-sama membawa dan memijak kepala lembu dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Kesemua perbuatan itu didakwa mempunyai kecenderungan menghasut, yang mana perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan permusuhan terhadap rakyat beragama Hindu. Mereka didakwa didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pilihan iaitu dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan penganut beragama Hindu dengan melakukan kesalahan terbabit pada masa yang sama. Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Ahmad Mahayuddin dan Ibrahim merupakan pengerusi dan timbalan pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak

Penduduk Seksyen 23 di sini, yang mengetuai bantahan terhadap cadangan kerajaan Selangor memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 di sini ke kawasan berkenaan. Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar mencadangkan agar kesemua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin. Peguam Datuk Salehuddin Saidin, yang mengetuai pihak pembelaan, membantah jumlah jaminan yang dicadangkan kerana menganggap ianya amat tinggi dan satu bebanan kepada kesemua tertuduh.

Beliau berkata kesemua anak guamnya telah dimaklumkan semalam bahawa mereka akan dituduh hari ini dan mereka telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis. "Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh juga menunjukkan seolah-olah ia satu kesalahan menghina agama lain sedangkan mereka tidak berniat untuk berbuat demikian. Bagi orang Melayu lembu melambangkan kebodohan dan bukan membawa penghinaan kepada agama lain," katanya sambil memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM500 setiap seorang.

Mohd Dusuki pula berkata jumlah jaminan RM500 yang dimohon oleh pihak pembelaan tidak wajar dan tidak sesuai dengan pertuduhan kerana kes itu mendapat liputan meluas media elektronik dan cetak serta banyak laporan polis dibuat berhubung insiden itu. "Justeru mohon RM15,000 dikekalkan kerana jumlah itu wajar berdasarkan kepada latar belakang kes yang mendapat liputan meluas media dan melibatkan kepentingan awam," katanya.

Mendengar hujahan pihak pendakwaan, Salehuddin bangun dan berkata liputan meluas media terhadap kes itu tidak seharusnya dijadikan faktor oleh mahkamah dalam menentukan jumlah jaminan. "Takkan kita nak hukum tertuduh berdasarkan liputan meluas itu," katanya.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Kita nak tengok UMNO, MIC, PKR, DAP atau PAS yang terlibat? (Pelbagai Sumber/AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails