Wednesday, September 09, 2009

Nik Aziz Setuju Beri Kerjasama Cadangan Najib..




CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

KOTA BHARU, Sept 8 — Menurut The Malaysian Insider, sebagaimana dijangka, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan sikapnya, tidak sedia berbincang dengan Umno. Bagi beliau, ia isu lama dan tidak perlu dibangkitkan lagi. PAS, katanya, tetap dengan prinsipnya tidak akan bersetuju untuk mengadakan sebarang rundingan dengan Umno selagi parti itu tetap dengan apa yang ada padanya sekarang.

Kenyataan itu ditegaskan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu di pejabatnya petang ini sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Umno sanggup berunding dengan PAS untuk kepentingan umat Islam negara ini. Najib menyuarakan hasrat tersebut di dalam ucapannya pada satu majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama rakyat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai petang semalam.

Pada majlis yang sama Najib turut mengumumkan kerajaan pusat telah meluluskan projek pembangunan kawasan Manek Urai sebanyak RM8.9 juta sebagai menepati janji pilihan raya kecil Dun Manek Urai 14 Julai lepas. Antara projek yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat Manek Urai sampai sekarang ialah janji Barisan Nasional akan membina jambatan baru menghubungkan Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru.

Namun Nik Aziz, masih meragui keikhlasan Umno. Baginya, sekiranya Umno benar-benar ingin jaga Islam lebih baik Umno terus bertindak menukar dasar partinya supaya keikhlasan itu terbukti pada seluruh rakyat. Bagaimanapun beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan pusat menyediakan peruntukan pembangunan bagi Dun Manek Urai, dan berharap peruntukan itu akan terus dikesinambungkan kerana ia memang menjadi tanggungjawabnya.

Di Kuala Lumpur, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub menyifatkan tawaran Najib untuk sekian kalinya kerana Umno sekarang sedang tersepit. Umno perlukan PAS untuk menyokongnya selepas terperangkap dalam isu perkauman yang diciptanya sendiri, kata Salahudin.

Pada saya, walaupun tajuk asal The Malaysian Insider 'Nik Aziz: Terima kasihlah Saya Tidak Minat', sebenarnya boleh difahamkan bahawa Tok Guru Nik Aziz memang berminat, tetapi dengan syarat...

1.. Tukar perlembagaan UMNO kepada dasar Islam, dari dasar kebangsaan atau asobiah sempitnya.

2.. Buktikan dulu kejujuran UMNO. Contohnya beri balik wang royalti minyak Kelantan yang 'dipinjamkan' oleh Kerajaan Pusat. Tv malam tadi menyebutkan, semua sepatutnya telah dipersetujui, tarikh 'bayarbalik' saja yang perlu diuruskan segera, seperti kehendak Nik Aziz. Begitu juga menyiapkan pembangunan Manek Urai termasuk jambatan seperti yang dijanjikan dalam pilihan raya kecil di situ baru lalu.

Ada orang kata, dah BN tak menang di Manek Urai bagaimana nak lulus bantuan? Soalnya, itu bukan bantuan. Itu hak rakyat, kerana cukai kerajaan kutip atas rakyat. Kalau tak mahu siapkan pembangunan kepada rakyat Kelantan, jangan kutip segala macam cukai, termasuk cukai pendapatan kepada rakyat Kelantan. Biar Kelantan uruskan sendiri hak rakyatnya. Tapi ikut kenyataan di atas 'telah meluluskan projek pembangunan kawasan Manek Urai sebanyak RM8.9 juta'... Kita tunggu tengok.

Kira-kira sebulan lepas, saya bersama-sama penulis Harakah dijemput menghadiri majlis makan malam menyambut kemenangan Parti Rakyat dalam mendaftar partinya, pimpinan Saudara Hasan Karim. Siti Nor anak tokoh rakyat Hamid Tuah berucap, antara lain menyebutkan bahawa di saat Parti Perikatan (sekarang BN) tersepit selepas kegagalan pentadbirannya hingga berlaku peristiwa 13 Mei 1969, ayah kepada PM sekarang Allahyarham Tun Razak menghulurkan tangan meminta bantuan kerjasama dari PAS.

Disambut baik oleh Dato' Asri Yang Di Pertua PAS masa itu. Maka wujudlah Kerajaan Campuran bersama PAS. Juga bersama parti-parti lain lagi yang disebut Barisan Nasional (BN). Selepas yang tersepit ditolong, rupanya bila agak bebas dia gigit balik si penolong itu. Maka PAS diterajang keluar dengan biadap dari BN. Barulah PAS tahu, huduh sungguh perangai binatang itu!!

Mungkin itu sebabnya Siti Nor memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin pembangkang sekarang supaya jangan mengulangi lagi kesalahan lalu (kerjasama/perpaduan dengan BN). BN sekarang sudah tersepit lagi. Contohnya seperti keputusan dalam PRU 12 yang lalu. Kini anaknya PM Najib mengulangi lakonan ayahnya lagi. Al-hamdulillah, dalam kes ini Tok Guru menghimbau kembali kenagan lama bersama BN. Beliau ingat pesanan Nabi SAW, jangan dipagut ular dua kali dalam satu lubang. Itu sebab beliau letak syarat, UMNO mesti tukar dasar kepada Islam. Baru boleh percaya!

Kalau hal ini berlaku, ertinya UMNO setuju ikut Islam secara praktikal, bukan cuma mengaku saja, maka saya adalah orang pertama akan menyertai UMNO kalau ada kesempatan! Jadi, saya simpulkan makna tersirat berita di atas, Tok Guru Nik Aziz setuju beri kerjasama cadangan Najib... menurut syarat-syarat seperti yang di tentukan.

Wallahu 'aklam.

Ibnu Hasyim Catatan Santai
Sept 09, 2009.
KL.

2 comments:

mr edz said...

kenapa la ada orang yang beria ria nak sangat berpadu dengan umno sekarang ni.. takkan tak serik serik lagi.

Tabib Haji Norjae said...

Salam perkenalan buat Tuan rumah. Apakhabar ? Semoga kita mendapat lebih barakah di bulan Ramadan ini. :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails