Friday, September 11, 2009

Syed Mokhtar Bukhary Lepasi Ujian Kesenangan.

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

Syed Mokhtar.. gambar atas bersama PM.

SEBENTAR tadi saya terbaca kisah jutawan Melayu Tan Sri Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary seorang ahli perniagaan dan usahawan Melayu yang terkaya di Malaysia. Menurut majalah Malaysian Business beliau mempunyai harta bernilai RM2.93 billion pada 2005 seterusnya menjadi orang ketujuh terkaya di Malaysia pada 2005.

Usahawan Melayu terkaya berusia 58, juga dipilih sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2009 tahun ini dan tersenarai antara 10 lelaki terkaya di Malaysia. Pemilihannya dibuat berdasarkan pelbagai kejayaan yang ditempa selama 43 tahun di dalam bidang perniagaan selain sumbangan amalnya. Syed Mokhtar pernah dipilih sebagai Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah/2008 Masihi, menjadikan beliau individu Melayu kelima menerima anugerah berkenaan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2005.

Beliau yang juga merupakan pemilik Yayasan al-Bukhary terlibat dalam perniagaan berasaskan perladangan, pembinaan, kejuruteraan, infrastruktur dan pelabuhan. Sebut fasal perladangan, teringat saya semasa dalam perjalanan saya dari Medan ke bandar kecil Singkil Aceh, yang terkenal dengan nama tokoh Islam silam Abdul Rauf Singkil. Perjalanan menaiki kereta atau van agak jauh lebih kurang setengah perjalanan dari Medan ke Banda Aceh, tetapi jalan yang berlainan.

Seorang lelaki duduk bersebelahan saya berkata setelah kami saling perkenalkan diri. "Saya berkerja dengan seorang majikan dari Malaysia. Dia membuka ribuan hektar ladang sawit, keuntungan hasil ladang itu digunakan untuk menghidupi sebuah pesantren di tempat kami." Katanya. "Saya tidak pernah jumpa orang kaya sebaik dia."

"Baik sangatkah, apa dia buat?"Saya tanya.

"Dia merendah diri, kuat berderma, ambil berat pekerja bahkan kuat ibadat pula!"

"Bagaimana kau tahu?"

"Dia pernah membawa kami pekerja-pekerjanya pergi ke rumahnya di Kedah, Malaysia. Hidupnya memang sederhana sekali berbanding orang kaya lain di Indonesia ini..."

Ya. Itulah Syed Mokhtar Al-Bukhari. Bila sebut kuat beribadat teringat lagi saya sewaktu kira-kira hujung tahun 1980an saya pernah berjiran pejabat dengannya di bangunan empat tingkat Jalan Pahang off Jalan Sarekei. Pejabatnya di sebelah Pejabat PAS waktu itu, dan pejabat saya adalah kedai buku GG Edar yang saya sewa di bawah pejabat PAS. Pagi-pagi ada juga kadang-kadang kami bertemu minum di gerai 'Kak Ros' depan pejabat kami itu. Saya juga pernah bertemu dengannya atau pekerja-pekerjanya.

Tetapi yang saya ingat sekali ialah abangnya Syed Anuar. Kami selalu berbincang-bincang. Dia pernah menjemput kami (saya & seorang rakan Cina Islam) hadir ke majlis usrah setiap Malam Jumaat, dengan ramai grupnya termasuk dari luar negara. Saya ingat syarikatnya pernah menyumbangkan susu kepada kepada penduduk miskin ibukota melalui PAS, dengan tidak mahu namanya dipamerkan. Kalau nak tahu lanjutnya, sila tanya Ustaz Ishak Surin YDP PAS Batu sekarang.

Mereka juga pernah membekalkan maklumat keselamatan kepada PAS yang sering diintip oleh musuh-musuh PAS waktu itu melalui jiran-jiran pejabat PAS. Itu antara jasanya kepada Pejabat Agung PAS waktu itu, yang saya tahu dan ingat. Kali terakhir saya bertemu dengan Syed Anuar Bukhari di sebuah kilang kasut di Meru, Kelang, setelah pejabat saya berpindah dari Jalan Pahang itu. Begitulah sifat tawadduk dan dermawan Syed Mukhtar berserta kumpulannya.

Maka sesuailah dengan cerita dalam kisahnya yang saya baca, sifat dermawan dalam diri Syed Mokhtar dipupuk oleh bapanya, Syed Nor AlBukhary dan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat. Beliau yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 1951, beliau memulakan perniagaannya sebagai seorang pengusaha daging pada tahun 1970. Kisah hidupnya bermula ketika membantu ibu bapanya berniaga lembu sekitar 1960an sebelum beralih kepada perniagaan perkhidmatan lori pada 1970an, selepas mendapat bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Daripada perniagaan lori, anak muda yang ketika itu masih pada usia awal 20an mula berniaga beras secara kecil-kecilan. Pendapatan pertama daripada perniagaan diusahakan sendiri yang dibawa balik ke rumah ialah sebanyak RM1,500. Pada 1970an, jumlah itu agak lumayan dan pastinya hati begitu gembira dengan wang sebanyak itu. Namun, apabila ibunya memberitahu bahawa setengah daripada pendapatan itu digunakan untuk adik yang lain, sementara setengahnya pula perlu diberi kepada 15 keluarga miskin, Syed Mokhtar tidak membantah.

Masa beliau bawa balik pendapatan pertama, ibunya beritahu RM750 akan digunakan untuk adik dan RM750 lagi kena bagi pada 15 keluarga jiran yang susah, orang tua dan lain-lain. Setengah pendapatan itu diambil ibunya untuk beri orang yang kurang kemampuan. Dari situlah jiwa dermawan dipupuk ibu bapa. Walaupun dari segi hukum, zakat pendapatan hanya 2.5 peratus, tetapi pendapatan Syed Mokhtar diambil 50 peratus. Selebihnya diberi kepada 15 keluarga dan sehingga kini beliau masih meneruskan amalan jariah membantu 15 keluarga berkenaan.

Kawan beliau, Syed Abdullah yang ditugaskan mengagih wang itu sejak mula pun sudah bercucu. Namun hingga kini beliau masih melaksanakan tanggungjawab itu. Dan lori serta syarikat berasnya masih beroperasi di Kedah. Ramai yang tidak mengetahui Syed Mokhtar hanya sempat tamatkan pendidikan sehingga Tingkatan Lima, tetapi tidak berpeluang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana tidak mempunyai wang untuk membayar yuran peperiksaan.

Kisah yang dilalui pada zaman sekolah ini mendorong beliau untuk menjayakan Program Tuisyen Albukhary pada 2001. Ketika itu, perniagaan yang dimulakan sejak 30 tahun lalu berbekalkan jerit perih sudah maju dan berkembang pesat dan Yayasan Albukhary sudah ditubuhkan sejak 1996. Matlamat penubuhan yayasan itu sebagai memenuhi impian orang tua, terutama ibu yang mendidik beliau mencari rezeki bukan saja untuk diri sendiri tapi membangunkan ummah dan membantu golongan miskin.

Syed Mokhtar Ayah kepada empat orang anak ini mengambil inisiatif membaik pulih Masjid Negara yang menjadi satu daripada destinasi pelancongan negara supaya sentiasa terang dan bercahaya seperti cerahnya Muzium Kesenian Islam Malaysia yang didirikan yayasan, bersebelahan Masjid Negara. Daripada muzium, masjid, perniagaan berkembang dan rezeki Syed Mokhtar bertambah. Berkat dengar nasihat ibu, setengah kena bagi balik, beliau mendapat keinsafan.

Keinsafan itu juga mendorongnya membina Kompleks Albukhary di Kedah yang menempatkan rumah anak yatim, hospital dan pusat dialisis yang semuanya diberi secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan supaya mereka dapat hidup selesa. Syed Mokhtar berkata, semua yang dilakukan datang daripada jiwa dan didikan asal ibu bapa, selain gerak hatinya, ikhlas kerana Allah. Semua yang dilakukan dengan niat satu tujuan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Atas inisiatif beliau juga, beliau memohon kuota haji untuk menghantar kumpulan yang difikirkannya sudah layak, tetapi tidak berkesempatan menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah kerana tidak mempunyai wang seperti imam, bilal dan siak masjid. Hartawan berusia 58 tahun itu berkata, beliau tidak pernah melihat dirinya seorang yang kaya kerana prinsip beliau ialah manusia ini hamba Allah dan Allah Yang Maha Kaya. Segala usaha, pelbagai dugaan serta cabaran dilalui sejak lebih 40 tahun lalu baginya adalah rezeki Allah. Dan rezeki itu dikongsi bersama 67,700 tenaga kerjanya.

Bagi Syed Mokhtar, jika seseorang itu rajin berusaha, dengan izin Allah mereka akan berjaya. Jadi, jika sesiapa bertanyakan apakah resipi kejayaan, jawapannya ialah menggunakan nikmat Allah untuk faedah orang ramai terutama dalam pencarian ilmu. Beliau pernah dipetik berkata, "Saya bersyukur saya sudah rasa semua nikmat Allah melainkan mati, belum rasa lagi. Saya sudah dapat lebih, apa lagi yang saya hendak. Jadi, apabila Allah beri, kita perlu gunakan nikmat itu untuk faedah orang ramai.

"Apabila melihat pertubuhan Kristian, Buddha dan wat Siam yang banyak di Kedah, saya terfikir kenapa kita orang Islam tidak boleh berkembang. Alhamdulillah, saya dapat buat semua dan berkembang seperti hari ini, walaupun terpaksa melalui pahit maung," kata Syed Mokhtar. Kini, Yayasan Albukhary yang diasaskan Syed Mokhtar berjaya memartabatkan Malaysia sebagai negara prihatin yang sentiasa membantu masyarakat dibelenggui kemiskinan, perang saudara dan bencana alam.

Ketika ditanya sumbangan amalnya selepas mengumpul pelbagai anugerah, Syed Mokhtar berkata, rezeki yang diperolehinya digunakan untuk kebajikan lebih 67,800 kakitangan. Kumpulan Albukhary dan selebihnya membantu golongan miskin. Kesempitan hidup yang terpaksa dilaluinya ketika zaman kanak-kanak menyebabkan beliau kini berusaha membantu golongan yang memerlukan terutama pelajar dan anak-anak yatim.

Umat Islam di Negeri Sembilan akan memiliki tujuh masjid baru tidak lama lagi hasil sumbangan Yayasan Albukhary, milik ahli perniagaan tersohor ini. Tujuh masjid itu akan dibina di Rantau; Seremban 2; Kampung Paroi; Kampung Gebok, Mantin; Kampung Melang, Kuala Pilah; Pedas Tengah, Rembau dan Taman Anggerik, Batu Kikir.

Syed Mokhtar juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun. Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), PERNAS, Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Seaport Terminal Johor Sdn. Bhd., Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi.

MMC telah bergabung dengan Gamuda Berhad dan berjaya mendapatkan projek landasan keretapi berkembar bernilai RM14.5 billion sebelum ia dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Syed Mokhtar juga dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor. Nama Tan Sri Syed Mokhtar turut tersenarai dalam senarai '40 Individu Paling Kaya di Malaysia Forbes Asia' bagi tahun ini.

Syed Mokhtar dilaporkan mempunyai kekayaan AS$1.1 bilion (RM3.86 bilion). Meskipun susut dari AS$1.8 bilion (RM6.32 bilion) pada tahun lalu, beliau masih mengekalkan kedudukan di tempat ke-8 dalam senarai '40 Individu Paling Kaya di Malaysia' tahun ini. Walaupun menjadi hartawan yang disegani, sifat rendah diri yang dimilikki beliau membuatnya tidak pernah lupa dan bersyukur akan nikmat Allah.

Malah, Syed Mokhtar mengingatkan supaya berhati-hati dengan nikmat yang Allah kurniakan. "Kadang-kadang nikmat yang kita dapat boleh merosakkan kita. Kita kena kawal supaya nikmat tidak merosakkan kita. Yayasan Albukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh merosakkan diri kita," pesan Syed Mokhtar.

Teringat saya kepada ceramah Allahyarham Ustaz Fadzil Noor Presiden PAS ke 6 sebelum yang sekarang, iaitu pesannya.. 'Cubaan itu ada dua, satu cubaan kesusahan dan satu lagi cubaan kesenangan. Ramai yang berjaya cubaan kesusahan, tetapi ramai yang gagal ujian kesenangan.' Lebih kurang begitu yang saya ingat.

Al-hamdulillah Syed Mokhtar pada saya telah berjaya mengharungi ujian kesenangan itu, berbanding dengan orang-orang kaya lain yang tidak sepertinya. Tetapi adalagi pesanan Ustaz Fadzil kepada orang yang menghadapi ujian kesusahan... 'Kalau dalam keadaan kamu tidak senangpun kamu kedekut membelanjakan harta dijalan Allah walaupun sedikit, maka jangan harap kamu nak belanjakan, ketika wang kamu telah banyak.' Begitu, lebih kurang yang saya ingat, untuk peringatan kita semua.

Wallahu 'aklam.

Ibnu Hasyim Catatan Santai
Sept 11, 2009.
KL.

7 comments:

VespaLuckySrtike said...

salam..
Terima Kasih kepada Tuan ibnu Hasyim kerana telah menulis tentang kehebatan seorang anak bangsa melayu yang pemurah dan merendah diri ini..saya begitu terharu dengan hasil tulisan dari tuan yang menunjukan bahawa masih ada orang yang senang di dalam malaysia ini rupa2nya ada yang baik ,dermawan,kuat ibadah dan segala macam lagi..jika lah semua hartawan ini mempunyai nilai peribadi yang sebegini saya pasti tiada lagi golongan yang susah maksud saya semua golongan sudah mampu memberi didikan anak2 untuk masa depan keluarga mereka hasil daripada bantuan dermawan2 yang begini..pasti tiada masalah kemiskinan yang melanda negara ini...semoga tuan dapat menulis lagi tentang EN.Muktahar ini kerana beliau merupakan seorang yang amat saya kagumi..dan saya berharap golongan2 kaya raya ini dapat membaca blog tuan ini dan dapat membuka mata mereka tambah2 lagi pada bulan ramadhan ini yang penuh dengan barkah..TERIMA KASIH TUAN

Ibnu Hasyim said...

Terima kasih, saya pun berharap begitu.

Kuda Perang said...
This comment has been removed by the author.
Kuda Perang said...

Ya Allah kekalkanlah sifat istiqamah Syed Mokhtar Al-Bukhary pada dirinya begitu juga segala sifat kebaikannya, dan mudahan2 menjadi contoh teladan yang diikuti oleh hartawan2 muslim dan ummat Islam Malaysia yang lain. Engkau berikanlah kesejahteraan kepada beliau dan ahli keluarganya serta keturunannya..amin..

VespaLuckySrtike said...

amin...

mr edz said...

wow.. bukan senang nak cari orang macam ni..

Shahabudeen Jalil said...

hebat..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails