Saturday, December 03, 2022

Hiburan: Konsert percuma Wings di PJ.. & Nik Abduh

Wings akan tampil berbeza menerusi Konsert Wings Ceritera Rakyat secara percuma, Sabtu ini.

1. Halaman Hiburan: Konsert percuma Wings di PJ Folklore 2022

KUALA LUMPUR: Sekembali mengerjakan umrah, kumpulan rock ikonik, Wings akan muncul dalam Konsert Wings Ceritera Rakyat di Dataran Petaling Jaya, Sabtu ini, jam 9 malam.

Konsert Wings Ceritera Rakyat secara percuma diadakan sempena Festival Folklore Antarabangsa 2022 (PJ Folklore 2022) yang berlangsung selama enam hari sejak 28 November lalu.

Jika diikutkan, Konsert Naga Kramat di Zepp Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu adalah penutup tirai persembahan kumpulan dianggotai oleh Datuk Awie selaku vokalis, Edrie (gitar), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar) itu.

Namun, Wings akur tidak menghampakan permintaan penganjur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) biarpun baru sahaja tiba dari Tanah Suci Makkah.

Awie berkata, Wings teruja kerana MBPJ menganjurkan festival berbentuk kebudayaan kepada masyarakat.

"Wings tidak sabar menghiburkan peminat secara percuma pada konsert itu nanti.

"Jadi, kepada peminat ingin menyaksikan persembahan Wings, jangan lupa untuk datang ke Dataran Petaling Jaya, Sabtu ini, jam 9 malam," katanya.

MBPJ buat kali ketujuh bakal menganjurkan PJ Folklore 2022.

PJ Folklore 2022 mengetengahkan konsep kepelbagaian, keunikan, keharmonian, kesenian rakyat, budaya komuniti tempatan dan antarabangsa, perkongsian ilmu dan ketamadunan negara serta memupuk kasih sayang dan cintakan budaya negara lain.

Festival itu turut membabitkan penyertaan kebudayaan dan pameran dari beberapa negara yang membawakan pelbagai acara percuma seperti PJ Fight Night, Pocket Show, Asian Food Festival, wayang kulit, persembahan kebudayaan rakyat dan dikir barat oleh pelawak dan pengacara, Issey Fazlisham.

Antara negara yang turut serta termasuklah Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Thailand, Mexico, Sri Lanka, Jepun dan Uzbekistan.

Penyertaan dalam negara pula menyaksikan wakil 10 negeri di Malaysia iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Johor.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohammad Azhan Md Amir berkata, penganjuran PJ Folklore 2022 bertujuan mempromosikan Petaling Jaya sebagai kota seni dan destinasi pelancongan antarabangsa.

"PJ Folklore 2022 adalah program yang dirangka oleh MBPJ untuk menghidupkan semula pusat bandar di Seksyen 52, selain usaha membangunkan Bandar Raya Petaling Jaya sebagai 'city with soul'.

"Ia juga memfokuskan usaha mewujudkan ruang interaksi sosial dalam kalangan penghuni bandar," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PJ Folklore 2022 yang menyasarkan penyertaan 30,000 pengunjung dalam usaha sama antara MBPJ dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, International Council of Organizations of Folklore Festival and Folk Arts dan Tourism Selangor.

"Selain itu, penganjuran PJ Folklores 2022 juga antara agenda menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya mampan," jelasnya.


2. Agama dalam politik adalah wajib 

TIDAK ada kekotoran dan kezaliman yang berlaku lebih besar daripada angkara dunia politik dan ahlinya. Politiklah sebenarnya yang paling menyuburkan kesyirikan dan kemaksiatan kepada Allah.

Kehadiran agama dalam politik adalah untuk menghalang dan menghapuskannya.

Jika diterima dan dibenarkan tohmahan bahawa kehadiran agama dalam politik adalah sebagai tunggangan dan alat yang dipergunakan oleh ahli politik untuk kepentingan diri dan parti politik mereka, maka selama-lamanya agama akan terpinggir dalam politik dan kehidupan. 

Bunyinya manis demi menjaga kesucian agama. Hakikatnya ia adalah racun yang dibawa oleh fahaman sekular Barat demi membunuh politik Islam dan jihad menegakkan nilai dan hukum agama.

Jika racun itu ditelan, agama akan terus terkurung dalam masjid dan berpencak di mimbar khutbah memberikan peringatan buat ahli masjid sahaja. Agama hanya akan menjadi peta perjalanan dari rumah ke masjid dan seterusnya ke lubang kubur.

Hakikatnya, agama adalah lebih luas daripada itu. Bahkan ia adalah kemuliaan dan keagungan tertinggi dalam kehidupan manusia. Islam itu tinggi dan tidak boleh dibenarkan apa pun yang lebih tinggi daripadanya.

Agama hadir dalam politik demi kemaslahatan dan kemanfaatan buat manusia di dunia dan akhirat. Agama menjaga hak dan kepentingan awam dan ramai tanpa mengabaikan hak individu. Ia menolak kepentingan diri dan puak-puak tertentu yang menguasai politik negara sehingga menzalimi puak yang lain.

Agama hadir dalam politik untuk menghukum ahli-ahli politik yang curang, mengkhianati amanah, memungkiri janji dan berakhlak buruk. Kerana itulah ahli politik amat takut terhadap kehadiran agama yang lebih awal menghukum tingkah laku buruk mereka sebelum dihukum kemudiannya oleh rakyat.

Agama juga hadir dalam politik untuk memelihara dan memuliakan ahli politik yang bersih, adil dan berakhlak mulia. Ia datang bagi memadamkan fitnah dan kepalsuan.

Justeru gembiralah dengan kehadiran politik Islam dalam negara. Lihatlah bagaimana indahnya pesan daripada al Rasul S.A.W yang menghukum umatnya yang berakhlak buruk dalam melaksanakan tanggung jawab kehidupan:

Sabda Baginda S.A.W:

لا إيمان لمن لا أمانة له، ولا دين لمن لا عهد له

“Tiada iman bagi orang yang tiada sifat amanah dan tiada agama bagi orang yang tiada berpegang pada janji.”

 (Hadis Sahih Riwayat Ahmad)

USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ – HARAKAHDAILY 29/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Hiburan: Konsert percuma Wings di PJ Folklore 2022.. & Nik Abduh

Menurut Nik Abduh anak Tok Guru Nik Aiz, bekas MB Kelantan, Agama juga hadir dalam politik untuk memelihara dan memuliakan ahli politik yang bersih, adil dan berakhlak mulia. Ia datang bagi memadamkan fitnah dan kepalsuan.

Bagitu juga perlunya kehadiran Agama dalam dunia hiburan di kalangan artis, bagi 'memelihara dan memuliakan' mereka, ke arah 'bersih, adil dan berakhlak mulia. Ia datang bagi memadamkan fitnah dan kepalsuan.

Oleh itu bergembiralah dengan kehadiran politik Islam dalam negara seperti yang ditunjukkan dalam PRU 15 lalu. Semoga berlanjutan ke PRU15 DUN-DUN pula.

Insya Allah!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2012

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails