Wednesday, November 30, 2022

Main pujuk-pujuk: B/Melayu, PM X lantik hakim, Taliban&DAP


Gambar fail, Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah. - Foto fail NSTP

1. Anwar diminta pujuk bukan Melayu, terima sistem pendidikan satu aliran

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diharap dapat menggunakan pengaruh kuatnya untuk mengajak kalangan bukan Melayu bersetuju dengan sistem pendidikan satu aliran.

Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah, berkata hanya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mampu memujuk bukan Melayu dan menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata, sistem pendidikan satu aliran yang diperjuangkan bukan semata-mata untuk menjaga orang Melayu, malah membela nasib bangsa lain secara keseluruhannya.

Beliau berkata, tuntutan dan perjuangan bukan Melayu berkaitan sistem pendidikan ketika ini, bercanggah dengan Perlembagaan negara.

"Pada hari ini, Perdana Menteri baharu (dilantik) disebabkan penerimaan dan sokongan padu terutama daripada orang Cina. Sudah pasti dengan semangat beliau dapat memujuk orang Cina supaya kembali ke pangkal jalan.

"(Meminta mereka) menerima asas Perlembagaan, apa yang mereka buat itu boleh dikatakan 100 peratus bercanggah dengan Perlembagaan," katanya pada sidang media di Wisma MPM Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perkembangan lain, MPM akan mengemukakan memorandum yang mengandungi 62 tuntutan dan bertemakan 'Membina Negara Makmur' kepada Kerajaan Perpaduan.

Memorandum itu disediakan oleh Sekretariat MPM bersama 12 biro yang menganggotai Jawatankuasa Pemandu.

Jawatankuasa Pemandu ditubuhkan pada September tahun lalu, membabitkan 10 wakil daripada kerajaan serta pembangkang, berkuat kuasa sepanjang tempoh Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, yang dimeterai dengan lima wakil kerajaan dipimpin Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan lima pembangkang.

Menjadikan Agenda Kemakmuran Negara sebagai tuntutan utama memorandum, MPN menggesa kerajaan supaya melakukan anjakan kepada agenda pembangunan.

Ini kerana sebelum ini, agenda kerajaan berpaksikan kepada pertumbuhan serta pembangunan dan pada masa kini, ia perlu diubah kepada pembangunan yang berpaksikan kemakmuran.

Justeru, katanya, memorandum yang mengandungi 12 domain untuk membina kemakmuran di negara ini membabitkan isu Hal Ehwal Islam; Pemerintahan, Politik dan Kepimpinan; Tadbir Urus dan Integriti; Pendidikan, Bahasa dan Nilai Budaya serta Ekonomi serta Kewangan dan Keusahawanan.

Selain itu, Keselamatan, Pertahanan dan Ketenteraman Awam; Kesihatan dan Kesejahteraan; Pembangunan Insan dan Komuniti Madani; Pemeliharaan Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Asli; Tanah Simpanan Melayu; Perlembagaan dan Perundangan serta Hak Asasi dan Hubungan Luar Negara.

Antara domain dilihat menarik adalah Hal Ehwal Islam, yang mana MPM menyarankan supaya kerajaan mengangkat kembali Indeks Syariah, yang dilancarkan pada 3 Ogos 2017 oleh Perdana Menteri terdahulu.

Melaluinya juga, MPM mencadangkan kewujudan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN), selain meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dirombak dan memindahkan kuasa pengendalian Skim Pensijilan Halal kepada Majlis Halal Negara (MHN).

Sementara itu, melalui domain Pemerintahan, Politik dan Kepimpinan, MPM menuntut kerajaan mewartakan Wasiat Raja-Raja Melayu dan mahu mahu Dewan Negara diletakkan di bawah kawal Penasihat Majlis Raja-Raja Melayu, selain menggubal Akta Dana Politik.

Sementara itu, Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad, berkata teras kepada memorandum itu ialah penggubalan Dasar Induk Negara, dengan menjadikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan utama.

Berikutan itu, katanya, satu akta khusus perlu digubal bagi melindungi dasar terbabit daripada dipinda, diabaikan atau disalah tafsir oleh mana-mana pihak dalam menjayakan agenda pembangunan negara yang aman dan makmur.

"Sebaik sahaja diumumkan pembentukan Kabinet, MPM akan menyerahkan memorandum ini secara rasmi kepada Perdana Menteri melalui wakil Barisan Nasional (BN) yang ada dalam kerajaan," katanya.

Pada masa sama, Hasan berkata, MPM yang memiliki ramai cendekiawan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersekutu dengannya, komited bersama kerajaan untuk melaksanakan segala yang dituntut.

Sehubungan itu, beliau berkata, MPM juga bersedia mengadakan dialog bersama Perdana Menteri jika diminta untuk berbuat demikian.

"Kalau Kerajaan Perpaduan panggil kami, Insya-Allah, bila-bila masa sahaja kami bersedia untuk mengadakan perbincangan dan menjelaskan perincian memorandum ini," katanya.


2. Majlis Raja-Raja saran PM tak terlibat lantik hakim 


Majlis Raja-Raja Melayu mahu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bebas daripada pengaruh perdana menteri.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang mempengerusikan Majlis Raja-Raja ke-260 hari ini bertitah bahawa struktur JAC perlu dikaji semula.

JAC bertanggungjawab melantik hakim dalam badan kehakiman. Di bawah peraturan semasa, lima daripada ahli jawatankuasa dilantik oleh perdana menteri manakala baki empat lagi iisi oleh hakim yang memegang jawatan terkanan.

Tuanku Muhriz bertitah saranan ini bagi memastikan JAC bebas menjalankan tanggungjawabnya, lima hakim yang dilantik oleh perdana menteri itu sebaliknya perlu diamanahkan kepada institusi lain seperti seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. 

"Dengan kaedah sebegini, keanggotaan JAC akan lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak," titah baginda.

Proses pelantikan hakim pada masa ini, titah baginda ada "kelemahan dan boleh diperbaiki"

Baginda juga mencadangkan agar kerajaan, anggota JAC, badan perundangan dan pihak berkepentingan lain mengkaji semula struktur JAC.

Tuanku Muhriz bertitah jika reformasi JAC dibuat, ia akan menjadi badan yang lebih berkesan, dan memastikan hakim dilantik daripada kalangan individu yang baik, telus dan adil.


3. Tuduhan ‘Taliban’ bukti DAP penyebar Islamophobia 

PAS Negeri Kedah menegaskan bahawa tuduhan Kerajaan yang dipimpin oleh PAS sebagai ‘Kerajaan Taliban’ oleh Ketua DAP Perak, Nga Kor Ming semasa berkempen tempoh hari membuktikan parti rasis tersebut sebagai penyebar Islamophobia dalam negara.

Meskipun Saudara Nga Kor Ming sendiri tahu bahawa tuduhannya itu sekadar omongan kosong, namun ia tetap dipertahan sehingga menimbulkan ketakutan masyarakat bukan-Islam bukan sahaja terhadap PAS, bahkan kepada Islam secara umumnya. 

Tambahan lagi, pemimpin DAP, Hew Kuan Yew atau dikenali sebagai ‘Superman Hew’ turut pernah menyampaikan ucapan berbaur hasutan dan menggambarkan salah faham terhadap Islam termasuk penghinaan terhadap masyarakat Melayu sendiri. 

Mereka sengaja membutakan mata pentadbiran cemerlang dan penuh bersih PAS memimpin Kerajaan Kelantan, Terengganu dan mengetuai kerajaan Kedah. Tidak ada seorang pun masyarakat bukan-Islam dinafikan hak ataupun dihalang beramal dengan agama mereka.

Justifikasi ini sebahagiannya cukup untuk menjelaskan sikap rasis DAP sebagai penyebar Islamphobia dalam negara ini. Ironinya, banyak pihak masih sengaja buat-buat tidak nampak terhadap apa yang berlaku, berkemungkinan didorong oleh kepentingan tertentu.

Oleh itu, PAS Negeri Kedah berpandangan apa yang diungkapkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang itu mempunyai bukti yang kukuh dan bukan sekadar melempar batu sembunyi tangan. Bahkan sewajarnya pihak berkuasa menyiasat ucapan-ucapan pemimpin DAP sedemikian rupa yang boleh dikaitkan dengan Akta Hasutan.

Sekian, terima kasih.

DATO’ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
30 November 2022 / 5 Jamadil Awwal 1444 H – HARAKAHDAILY 30/11/2022

Komen Weblog Ibnu HasyimMain pujuk-pujuk: B/Melayu, PM X lantik hakim, Taliban&DAP

Nampaknya, kerajaan baru ini, banyak main pujuk-pujuk. Anwar diminta pujuk bukan Melayu, terima sistem pendidikan satu aliran. Majlis Raja-Raja pula saran PM tak terlibat lantik hakim. Bahkan main pujuk-pujuk juga mengenai, ‘Taliban’ bukti DAP penyebar Islamophobia.

Kita lihat bagaimana kesan 'main pujuk-pujuk' ini. 

Pepatah Melayu mnyebutkan: Tanam pinang rapat rapat, biar senang puyuh berlari, bila ku pinang pinang tak dapat, ku pujuk-pujuk kubawa lari.

Dalam politik pemerintahan, wajarkah begitu?

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

Anonymous said...

Jom undi pas

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails