Sunday, November 27, 2022

Eropah mogok, protes.. Ekonomi K'tan pertumbuhan positif

 

Pekerja Royal Mail mengadakan protes menuntut kenaikan gaji di depoh pos di London, Britain. - Foto EPA

1. Sebahagian besar Eropah hadapi mogok, tunjuk perasaan, protes

LONDON: kemelesetan ekonomi global kini mengakibatkan sebahagian besar negara Eropah menghadapi tunjuk perasaan, mogok pekerja dan protes kerana kenaikan kos sara hidup yang tidak selaras dengan gaji pekerja.

Di Britain, bulan depan, jururawat di seluruh negara akan mengadakan mogok pertama dalam sejarah 106 tahun kesatuan mereka, menyertai sebilangan besar pekerja United Kingdom (UK) lain yang mengambil tindakan industri berhubung gaji.

Kakitangan di England, Wales dan Ireland Utara akan memulakan mogok pada 15 dan 20 Disember ini, selepas Kesatuan Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) berkata kerajaan menolak tawaran untuk mengadakan rundingan.

Selain itu, kira-kira 400 kakitangan penghantaran makanan segera Best Food Logistics milik Tesco mengundi untuk mengadakan mogok membabitkan gaji, kata kesatuan GMB pada Khamis lalu.

Pekerja pos UK pula akan melancarkan mogok enam hari menjelang Krismas selepas Kesatuan Pekerja Komunikasi menolak tawaran gaji daripada Royal Mail.

Lebih 70,000 kakitangan di universiti dan guru British di Scotland mengadakan bantahan Khamis lalu untuk menuntut gaji yang lebih baik.

Ribuan pekerja kereta api Britain akan melanjutkan mogok dalam tempoh dua bulan akan datang membabitkan pertikaian lama mengenai gaji, sekali gus memberi petanda gangguan perjalanan sebelum dan selepas tempoh cuti Krismas. 

Penumpang terkandas di Stesen Waterloo di London, Britain, selepas kesatuan ASLEF mewakili pemandu kereta api mengadakan mogok menuntut gaji lebih tinggi. - Foto AFP

Ratusan pekerja di syarikat keselamatan Britain G4S mengundi untuk mogok selama 48 jam pada awal Disember ini dalam pertikaian mengenai gaji, memberi amaran tindakan itu boleh menyebabkan kekurangan aliran wang tunai ketika Krismas.

Exxon Mobil pula berkata keluaran 390,000 tong sehari (bpd) kilang penapisan minyak Fawley di selatan England tidak terjejas oleh tindakan mogok yang bermula 21 November lalu dan dijadualkan hingga 2 Disember ini.

Ribuan penjawat awam Britain merancang satu bulan 'tindakan industri yang berterusan' sepanjang musim sejuk susulan pertikaian gaji yang berterusan, kata kesatuan Perkhidmatan Awam dan Komersial pada 18 November lalu, selepas undian mogok terbesar dalam sejarahnya.

Di Jerman, Volkswagen bersetuju terhadap perjanjian gaji dua tahun bagi kira-kira 125,000 pekerja di kilangnya di barat Jerman, menawarkan kira-kira 8.5 peratus lebih bayaran gaji - di bawah kadar inflasi tetapi lebih banyak daripada tawaran majikan lain dalam beberapa minggu kebelakangan ini. 

Ahli Kesatuan Universiti dan Kolej (UCU) memegang sepanduk ketika protes menuntut kenaikan gaji, pencen dan suasana kerja lebih baik di Manchester, Britain. - Foto EPA

Kesatuan IG Metall Jerman bersetuju terhadap perjanjian gaji di bawah inflasi di wilayah kuasa besar dan menetapkan penanda aras untuk 3.9 juta pekerja sektor logam serta elektrik di seluruh negara.

Kesatuan sekerja Verdi berkata ia mencapai perjanjian gaji dengan syarikat tenaga RWE untuk kira-kira 18,000 pekerja termasuk bayaran sekali gus 3,000 euro (RM13,997) dan kenaikan gaji sekurang-kurangnya enam peratus mulai 1 Februari depan.

Lufthansa dan kesatuan UFO mencapai perjanjian gaji untuk 19,000 anak kapal kabin, menurut syarikat penerbangan Jerman itu.

Pengeluar kereta Jerman Audi memilih menawarkan pekerja bayaran sekali gus saja tanpa cukai dan bukannya kenaikan gaji tetap, kata pengarah sumber manusianya. 

Pekerja sektor tekstil Inditex, merangkumi pemilik logo fesyen Zara, Pull and Bear, Bershka, Stradivarius, Massimo Dutti dan banyak lagi, mengadakan protes anjuran Kesatuan CIG di La Coruna, Sepanyol. - Foto EPA

Di Belanda, BP berkata rancangan memulakan semula kilang penapisan besarnya di Rotterdam selepas ia ditutup kerana masalah teknikal, ditangguhkan selepas kesatuan sekerja berkata mereka tidak akan membantu dengan perkhidmatan kerana pertikaian gaji

Di Perancis, kesatuan sekerja UNAC dan SNGAF berkata mereka menggesa tindakan mogok atas keadaan kerja di Air France ketika cuti Krismas dari 22 Disember ini hingga 2 Januari depan.

Di Sepanyol, kumpulan kesatuan sekerja yang mewakili pembantu kedai di peruncit fesyen Zara melancarkan mogok dua hari membabitkan gaji ketika jualan 'Black Friday' pada 24 November dan 25 November di kedai di bandar syarikat itu diasaskan, di A Coruna, utara Sepanyol.

Syarikat Insurans Mapfre akan membayar bonus 400 euro (RM1,866) sekali gus pada Krismas kepada kira-kira 10,000 pekerjanya di Sepanyol untuk membantu mereka menghadapi inflasi yang melambung tinggi, selepas memberikan bonus 350 euro (RM1,633) pada bulan Julai. 

Penunjuk perasaan berarak ketika bantahan di Tolouse, Perancis selepas dua kesatuan sekerja utama, CGT dan FO, menuntut gaji lebih tinggi. - Foto AFP

Ribuan rakyat Sepanyol memenuhi dataran Plaza Mayor yang terkenal di Madrid bagi menuntut gaji lebih tinggi, dalam protes besar-besaran pertama negara itu sejak bermulanya krisis kos sara hidup.

Di Portugal, ribuan doktor, jururawat, guru dan penjawat awam Portugal keluar untuk menuntut kenaikan gaji ketika inflasi melambung tinggi di negara itu.

Di Austria, pekerja logam akhirnya memperoleh purata kenaikan gaji tahunan tujuh peratus melebihi kadar inflasi 6.3 peratus untuk tempoh rundingan, yang mungkin menjadi tanda aras bagi sektor lain. - REUTERS


2. Prestasi ekonomi Kelantan catat pertumbuhan positif 

KOTA BHARU: Prestasi ekonomi Kelantan mencatat pertumbuhan positif dan lebih baik pada tahun 2021 berdasarkan nilai dan kadar pertumbuhan KDNK.

KDNK Kelantan pada tahun 2021 ialah RM25.8 bilion meningkat 2.4 peratus berbanding negatif 1.2 peratus pada tahun 2020 pada nilai RM25.2 bilion.

Sektor perkhidmatan kekal menjadi penyumbang terbesar iaitu RM17.8 bilion (68.91 peratus) diikuti sektor pertanian RM5.9 bilion (23.1 peratus),
pembuatan RM1.3 bilion (4.5 peratus), pembinaan RM401 juta (1.6 peratus) dan Sektor Perlombongan dan Pengkuarian RM359 juta (1.4 peratus).

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, KDNK Kelantan dijangka terus mengukuh dan berkembang secara positif selari dengan unjuran perkembangan ekonomi negara.

“Tumpuan sentiasa diberi untuk meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran dan kewangan, mentransformasikan pengurusan pungutan hasil, perbelanjaan berhemah dan melaksanakan pembangunan mampan demi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri yakin dapat mencapai objektif Pelan Strategik Kelantan Melangkah Ke Hadapan: Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan 2016-2025 dalam tempohnya,” kata beliau ketika membentang Belanjawan Kelantan 2023 bertema Kelantan Maju Rakyat Sejahtera pada sidang Dun hari ini.

Belanjawan Kelantan 2023 memperuntuk sejumlah RM1.62 bilion bagi membangunkan ekonomi negeri secara inklusif meliputi segenap lapisan rakyat yang menjurus kepada enam teras.

Teras tersebut iaitu kewangan teguh, lestari, cakna rakyat, kebajikan, memakmurkan ekonomi, galakan pelancongan dan pembangunan modal insan.

Ahmad juga berkata, kerajaan negeri yakin enam teras tersebut akan menjadikan Belanjawan Kelantan 2023 lebih realistik, peka persekitaran ekonomi semasa, mewujudkan lebih banyak inisiatif kepada rakyat dan melindungi kebajikan golongan yang terkesan.

“Jumlah Belanjawan 2023 menunjukkan peningkatan sebanyak RM112.53 juta atau 7.45 peratus berbanding Belanjawan 2022 yang memperuntukkan RM1.51 bilion,” ujarnya.

Belanjawan itu meliputi perbelanjaan mengurus RM1.15 bilion dan RM474.61 juta diperuntuk untuk pembangunan. – HARAKAHDAILY 24/11/2022


3. 4 lagi bandar baharu dirancang tempoh lima tahun 

KOTA BHARU: Kelantan merancang mewujudkan empat lagi bandar baharu bagi memenuhi keperluan penduduk dan peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sekarang dalam proses permulaan kerja-kerja awal untuk melaksanakan projek perimpak tinggi tersebut.

Katanya, bandar baharu terbabit iaitu Madinah Salam, Tunjung; Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS), Machang; Bandar Dato’ Bentara, Gua Musang dan Taman Industri Tok Bali.

“Ini merupakan kejayaan dan kemajuan khususnya dalam aspek pembangunan wilayah yang dicapai kerajaan negeri dalam tempoh 2018 sehingga 2022.

“Selain itu dalam tempoh ini banyak kejayaan yang merangkumi aspek kewangan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan beberapa aspek lain,” katanya menjawab soalan Hilmi Abdullah (PAS-Guchil) pada sidang Dun hari ini.

Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri berjaya meningkat prestasi perbendaharaan menerusi kaedah pelaksanaan dan penjimatan.

Selain itu kata beliau kerajaan negeri juga berjaya mengekalkan status perbelanjaan negeri ‘surplus’ sejak tahun 2018.

“Kita berjaya mengukuhkan prestasi kewangan dengan peningkatan kutipan hasil dan mengukuhkan perbelanjaan secara berhemat.

“Selain itu mengekalkan belanjawan secara lebihan (surplus) bermula 2018 dan insyaAllah tahun ini pun jangkaan kita akan perolehi bajet lebihan,” katanya.

Dalam bidang pendidikan kata beliau antara yang dibanggakan kejayaan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra mendapat pengiktirafan sebagai Kolej Universiti. – HARAKAHDAILY 24/11/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Eropah mogok, tunjuk protes.. Ekonomi K'tan pertumbuhan positif.

Manusia boleh merancang, tapi Allah Maha Perancang!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails